Salam kasih sayang….
Masih berhari raya? Jika ya, maka KM ingin mengucapkan selamat berhari raya. Sebenarnya, dalam Islam ada dua hari raya yang paling utama, Hari Raya Aidil Fitri, dan Hari Raya Aidil Adha. Pada hakikatnya, hari raya Aidil Fitri hanya disambut sehari sahaja manakala hari raya Aidil Adha adalah selama empat hari. Namun, oleh kerana kebiasaan manusia yang sentiasa mahukan keindahan, kebahagiaan, dan keseronokan, maka hari ini kita dapat lihat masyarakat Islam di Malaysia menyambut hari raya hingga sebulan lamanya. Tak pe lah, janji ia tidak menjejaskan amalan kita yang lain, dan terlalu berlebih-lebih sangat.
Pada hari raya yang lalu, KM telah bertemu dengan seorang sahabat lama yang sudah lama tidak bersua muka. Alhamdulillah, dia kelihatan semakin hebat dan berjaya sekarang. Satu yang menarik dalam pertemuan itu adalah, sahabat ini telah bertanya kepada KM tentang blog ini. Oh, rupanya dia telah sekian lama mengikuti catatan penulisan KM di sini…!
Sahabat KM ini bertanya, kenapa perlu tulis blog? Jawab KM, menulis adalah salah satu hobi. Selain itu, menulis adalah ruang untuk kita meluahkan pandangan dan pendapat tentang sesuatu. Tambahan pula, sekarang sudah ada blog, iaitu ruangan untuk sesiapa sahaja menulis. Andai ada yang membaca blog kita, maka kita telah berkongsi pandangan tentang sesuatu dengan orang lain. Malah, kekadang pandangn itu boleh dibincang dan diperdebatkan. Namun, andai tiada yang membaca penulisan blog itu, anggapkan sahaja ia adalah satu bentuk catatan minda kita di ruangan ini.
Apa yang pasti, apabila kita menulis dan terus menulis, dalam masa yang sama, kita telah menjana dan melatih minda untuk bekerja. Menulis bukan seperti aktiviti lain seperti makan, bersukan, dan sebagainya. Menulis perlu melibatkan aktiviti minda yang bergerak dan terus bekerja. Untuk itu, minda telah diaktifkan semasa penulisan berlaku. Biar apa sahaja yang kita tulis, atau bagaimanapun caranya; menulis menggunakan pena atau menaip, ia tetap berjaya menjana pergerakan minda.
Adakah persamaan keaktifan minda selain dari menulis? Jawapannya ada. Aktiviti seperti melukis, mengikur, mencipta sesuatu, dan berkarya adalah aktiviti minda yang sama aktifnya dengan menulis. Dalam erti kata yang lain, apabila kita melakukan sesuatu untuk menghasilkan sesuatu yang memerlukan minda bekerja, maka kita telah berjaya mengaktifkan minda kita.
Minda yang sentiasa aktif, akan menjadikan diri kita lebih ‘hebat’. Minda yang sentiasa aktif, akan menjadikan diri kita lebih bijak dan matang. Malah yang paling utama, minda yang aktif itu adalah lambang bahawa kita akan menjadi khalifah yang lebih berkualiti dalam melaksanakan tugasan kita di sini….
SALAM,
BalasPadamSANGAT SETUJU - MINDA YANG POSITIF DAN AKTIF !