Salam kemakmuran buat semua.
Setiap daripada kita pasti mahukan kejayaan. Kejayaan adalah perkara subjektif. Ia meliputi pelbagai perkara yang melibatkan keunggulan dan kemenangan terhadap sesuatu. Jika kita seorang peniaga, kejayaan yang kita impikan tentu sahaja keuntungan hasil daripada perniagaan tersebut. Ditambah dengan keupayaan untuk mengembangkan perniagaan itu menjadi industri yang lebih besar. Mungkin itulah kejayaan yang diidamkan bagi seorang peniaga. Andai kita seorang pelajar, kejayaan mungkin berkaitan dengan kecemerlangan dalam pelajaran dan peperiksaan.
Sukarkah untuk mencipta kejayaan?
Kejayaan akan menjadi sukar jika kita memikirkannya sebagai suatu yang sukar. Namun, kejayaan akan menjadi mudah jika kita memudahkannya dalam pemikiran kita. Memang diakui, untuk menjadi bintang dan mengecap kejayaan itu pasti ada halangan. Namun jangan jadikan halangan itu sebagai pemusnah kepada kejayaan. Seharusnya, halangan itu menjadi cabaran agar kita menjadi lebih matang dan bersedia untuk menghadapi kejayaan itu.
Jika kita sentiasa memikirkan kesukaran, maka minda hanya memfokuskan kepada kesukaran dan halangan itu. Ini akan menyebabkan minda disumbat dengan pelbagai kesusahan, kemustahilan, kemunduran dan sebagainya. Hal ini akan menyebabkan minda membeku dan sukar untuk mencari jalan penyelesaian kepada kesukaran itu.
Cuba kita fikirkan kejayaan itu sebagai suatu yang menyeronokkan. Ini akan menjadikan minda lebih hebat dan bersedia. Keseronokan untuk berjaya akan membuatkan minda berkembang. Walau apapun halangan dan cabaran yang mendapat, kita pasti akan berusaha untuk menyelesaikannya kerana fokus kita kepada kejayaan, bukan kepada masalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan