Salam kejayaan buat semua.
Sambungan kepada catatan yang lalu, KM ingin cadangkan 5 langkah untuk mencipta kejayaan menjadi ‘bintang’ (super hebat).
1. Jika kita inginkan kejayaan, binalah impian yang besar.
Impian yang besar akan menjadikan kita lebih bersemangat. Impian yang besar akan menjadikan kita lebih fokus untuk mencipta sesuatu kejayaan itu. Suatu masa dahulu, Tuan Guru KM pernah berkata, jadilah seperti tupai yang melompat dari dahan ke dahan. Apabila ia (tupai) melompat, ia tidak akan melompat ke dahan yang rendah. Sebaliknya ia akan berusaha untuk melompat ke dahan yang tinggi. Ini adalah fitrah tupai. Andai kata tupai itu tersilap langkah dan tidak berjaya mendarat ke dahan yang tinggi itu, sekurang-kurangnya ia tidak terus jatuh kerana di bawah daripada dahan tinggi itu masih ada dahan rendah yang dapat dituju.
Daripada perumpaan gambaran ini KM dapat simpulkan bahawa apabila kita mengimpikan sesuatu, cuba impikan kejayaan yang besar. Andai kita tidak mampu mencapainya, sekurang-kurangnya kita masih berjaya mencapai kejayaan yang lebih kurang daripada impian itu. Namun, jika kita terus berjaya mencapai kejayaan besar itu, maka ia adalah satu keuntungan kepada kita.
2. Tuliskan impian itu.
Menulis impian adalah sesuatu yang berkait rapat dengan minda. Apabila kita menulis, kita terus memberi isyarat kepada minda terhadap apa yang kita mahukan. Ini akan memberi gambaran jelas kepada minda dan minda akan bersedia untuk melaksanakan tugasnya mencapai kejayaan tersebut.
3. Tetapkan tempoh masa.
Dengan menetapkan tempoh masa, kita sekali lagi memberi isyarat kepada minda terhadap apa yang kita impikan. Menetapkan tempoh masa haruslah realistik dan bersesuaian dengan impian itu untuk dicapai. Andai kata kita menetapkan masa itu tidak sesuai, maka pasti kita tidak berjaya untuk mencapainya. Begitu juga jika tempoh masa terlalu panjang, maka kita akan lebih leka dan lalai untuk melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan.
4. Buat perancangan.
Perancangan harus dilakukan. Walau apapun projek atau kerja yang hendak dilakukan, ia harus ada perancangan. Dengan adanya perancangan, maka minda akan lebih fokus. Cuba lihat kepada aktiviti kita seharian. Jika ada perancangan, maka perjalanan aktiviti menjadi lebih teratur dan bersistematik. Ini akan menyebabkan tindakan kita berfokus kepada apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak perlu dilakukan dalam kehidupan.
5. Hadapi halangan.
Seperti mana yang KM sebelum ini, setiap kejayaan pasti ada halangan. Namun, jangan difokuskan kepada halangan itu. Sebaliknya fokus kepada tindakan untuk menghadapi halangan itu. Dengan mencari jalan penyelesaian, maka kita akan dapat menghadapi halangan itu. Cuba gunakan teknik pemikiran yang kritis dan kreatif untuk mengenalpasti halangan dan jalan penyelesaiannya.
mmg bagus entri ni. kene print pastu baca selalu!
BalasPadam