Salam kedamaian buat semua…
Hari ini, KM akan memulakan satu siri catatan berkenaan hari Jumaat. InsyaALLAH jika diberikan kekuatan daripadaNya, akan KM catatkan perkara dan amalan yang baik pada setiap hari Jumaat untuk tatapan dan amalan kita semua.
Siri Renungan Jumaat kali ini KM mulakan dengan amalan berselawat. Selawat adalah satu bentuk doa dan puji-pujian kepada Baginda Rasulullah s.a.w. Melalui berselawat, kita mengucapkan pujian dan berdoa selamat untuk Baginda. Amalan ini mungkin tidak asing bagi kita. Ini adalah kerana kita memang akan sentiasa berselawat kepada Baginda, sekurang-kurangnya semasa bersolat. Pun begitu, amalan berselawat ini memang sangat tinggi hikmahnya.
Jadikan amalan berselawat ini sepanjang masa. Melalui berselawat, kita akan sentiasa ingat dan kasih kepada Baginda. Telah ALLAH janjikan, kepada orang yang sentiasa berselawat (maksudnya sentiasa ingat kepada Rasulullah) akan diberikan bantuan dan syafaat semasa berada di alam kubur dan semasa hari pembalasan.
Ironinya seperti ini, apabila kita sentiasa ingat dan puji kepada seseorang, maka kita akan disayangi oleh orang itu. Tiada kira sama ada orang itu rakan, apatah lagi jika orang itu majikan kita. Ini akan mengukuhkan hubungan dua hala antara kita dengan orang yang selalu kita puja itu.
Andainya orang itu orang biasa, sudah memberi kebaikan kepada kita dengan adanya hubungan itu, apatah lagi jika orang yang sering kita ingat dan puji itu adalah Junjungan Besar Rasulullah. Pasti kita akan mendapat kebaikan yang berlipat kali ganda daripada pujian kepada orang biasa.
Berselawat bukan sekadar menyebut di mulut. Ia harus hadir terus menusuk ke dalam sanubari. Ini akan memberikan kenikmatan yang tidak mungkin dapat dihuraikan dengan kata-kata.
Banyakkan berselawat (bermula dari Asar pada hari Khamis) hinggalah ke waktu Asar hari ini. Pasti hadir rasa kelembutan dalam jiwa kita jika dapat mengamalkannya…
Assalamualaikum.
BalasPadamSalawat dan salam untuk junjungan Nabi saw.
Semoga amalan ini dapat kita amalkan untuk bagi hayat kita.
TQ