Salam kasih sayang daripada KM…
Suatu masa dahulu, di kala KM masih muda remaja aka budak kecil, hari raya adalah hari yang paling penting dan sangat ditunggu-tunggu. Sama seperti bebudak zaman sekarang, kepentingannya adalah kemeriahan berhari raya. Acara yang paling ditunggu-tunggu adalah pergi beraya di rumah orang (jalan satu kampung). Zaman tu, setiap rumah akan beri 10 sen sebagai duit raya. 10 sen kalau dikumpulkan satu kampung, mau hampir seratus ringgit.
Zaman sekarang, bila KM pula yang memberi, bagi duit raya RM1 pun, masih ada budak yang komen. ‘Eleh, singgit je…!’ kata bebudak yang mulut tak ada insurans tu. Nasib baik hari raya, kalau tak siap le bebudak tu.
Bila ingatkan keadaan ini, KM akan teringat suatu masa dahulu, mak KM akan selalu ingatkan kepada kami semua yang hendak pergi berhari raya… Yang pertama, jaga adab sopan kat rumah orang. Bila masuk beri salam, cium tangan dan cakap selamat hari raya, dan minta maaf… Bila makan, elok-elok, jangan sampai bersepah-sepah. Paling penting, kena ucapkan terima kasih bila orang beri duit raya….
KM ingat semua tu sepanjang karier KM menjadi budak yang pergi berhari raya di rumah orang.
Tapi, KM sedih…. Bebudak zaman sekarang macam tak de adab, macam tak de roh berhari raya. Mereka datang ke rumah-rumah, beri salam terpekik-pekik. Bila ada orang datang ajak masuk, mereka kata tak nak masuk, cuma nak duit raya. Itulah yang KM paling tak puas hati. Kalau dulu, walaupun tak nak makan apa-apa, tetap masuk dulu dan duduk sekejap di rumah orang yang di’ziarahi’. Walaupun pada ketika itu, niatnya sama sahaja iaitu nak kutip duit raya, namun tetap utuh dengan adab dan tatasusila. Tapi sekarang, nak masuk pun tak nak. Mereka datang bukan untuk membawa ‘rahmat’, hanya sekadar hendak mengutip keuntungan di hari raya…
KM selalu cakap kepada budak-budak yang datang, kalau nak datang beraya, kena masuk dulu… Ada yang masuk dan duduk, kemudian makan sedikit kuih raya, dan ada yang tidak mahu masuk lalu berlalu pergi. Kepada yang sudi masuk, dapat le KM bertanya anak siapa, cucu siapa….sekurang-kurangnya KM tau si polan dah ada anak, si polan dah ada cucu…. Almaklumlah KM ni kan hidup di perantauan, jadi dah kurang kenal dengan anak kawan-kawan yang lama ditinggalkan.
Semoga di hari raya ni, makin ramai yang datang ke rumah KM untuk membawa keberkatan dan rahmat ALLAH Taala…
Selamat Hari Raya Aidul Fitri. Mohon ampun dan maaf andai ada kesalahan dalam berbicara yang tidak menyenangkan semua….
hmmm budak zaman dulu dengan sekarang jauh berbeza. teringat zaman kecik-kecik dulu betapa segan nak pergi rumah ke rumah semata-mata nak kumpul duit raya. hehe
BalasPadambtw terima kasih atas nasihat yang di beri (entri dulu) ;)