Sabtu, 6 November 2010

Bisa Ular vs Ubat Herba

Beberapa minggu ini, perjalanan kehidupanku penuh dengan aktiviti kembara.
Peruntukan yang 'melimpah ruah' daripada jabatan minta dihabiskan sebelum penghujung tahun menyebabkan banyak aktiviti luar dilaksanakan. Menjadi tugasku sebagai salah seorang jurulatih aktiviti pendidikan luar menyebabkan aku 'laku' seketika saat ini. Banyak sekolah dan jabatan memerlukan jurulatih untuk mengiringi dan mengendalikan aktiviti yang dirancang.


Hari ini aku pulang semula ke rumah setelah beberapa lama berada di luar. Hanya seminggu aku akan berada di sini kerana bermula akhir minggu ini aku akan kembali melaksanakan aktiviti luar kerana ada satu slot aktiviti lagi yang perlu diselesaikan. Itupun kerana aku telah menolak dua lagi tawaran aktiviti kerana melibatkan tarikh yang sama atau hampir bertindan antara satu sama lain.


Hari ini aku ingin menceritakan salah satu pengalamanku semasa membawa sekumpulan remaja ke sebuah kawasan rimba di sekitar Besut (Orang Besut tentu tahu tempat yang aku maksudkan).


Dalam perjalanan ke puncak, salah seorang peserta perempuan telah jatuh terjelepok. Katanya dipatuk ular. Aku dan rakan-rakan jurulatih telah mengambil tindakan awal mengikut prosedur yang ditetapkan. Memeriksa kawasan patukan dan menangkap ular yang mematuk adalah tindakan utama yang perlu dilakukan segera. Semasa aku memeriksa, aku dapati tiada kesan patukan yang ada di kaki peserta itu. Namun, simptom awal patukan ular memang ada pada peserta itu; kakinya menjadi sejuk, suhu badan menurun, menyebabkan kebiruan di bibir, muka menjadi pucat namun berpeluh-peluh. Ular yang dimaksudkan hilang entah ke mana. Namun pada firasatku berdasarkan pengalaman, aku yakin bahawa peserta itu bukanlah dipatuk ular.


Tindakanku seterusnya adalah mendapatkan beberapa pokok herba hutan yang kebetulan ada di kawasan itu dan membuat sedikit ubat herba. Ubat itu kulumurkan ke kawasan yang didakwa dipatuk ular. Beberapa minit kemudian, remaja perempuan itu terus kebah dan dapat berjalan semula.

Alhamdulillah....


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Keterangan :

Perkara pertama,

Aku sangat pasti remaja itu tidak dipatuk ular. Ini adalah kerana tiada langsung kesan patukan pada kakinya. Aku sangat pasti dia terlalu keletihan menyebabkan mindanya terganggu dan merakamkan kejadian itu seperti benar-benar berlaku. Apabila mindanya menyatakan sedemikian, menyebabkan simptom patukan ular berlaku pada dirinya.


Perkara kedua,

Ubatan herba yang aku lakukan itu juga palsu. Daun pokok yang aku gunakan bukanlah untuk menyembuhkan bisa ular. Daun itu adalah sejenis daun yang digunakan untuk mengubat sakit perut ringan. Namun, kenapa ia berhasil? Kerana remaja perempuan itu benar-benar menyakini bahawa dia telah diberikan penawar.


Kedua-dua keadaan ini menunjukkan bahawa minda kita sangat hebat dan berkuasa untuk membentuk perjalanan diri kita. Jika kita menyakini sesuatu itu berlaku, pasti ia berlaku. Sama juga macam kita makan ubat apabila sakit seperti demam, batuk, dan sebagainya. Kita menyakini bahawa kita akan baik dan sembuh apabila makan ubat itu mengikut saranan doktor. Keyakinan minda kita akan membina kekuatan dalaman pada diri kita menyebabkan kesembuhan itu berlaku. Namun, harus diingat dan terus-terusan diyakini bahawa, kesembuhan itu berlaku atas kehendakNya semata-mata. Ubat, ramuan, jampi, atau apa sahaja kaedah yang digunakan, hanya akan berhasil jika ALLAH menghendakinya berlaku. Minda manusia kurniaan ALLAH, akan bekerja kepada tubuh kita berdasarkan apa yang difahami dan diyakini, dan dapat mengawal tubuh untuk sama-sama menjadi kuat bagi melawan penyakit yang dihadapi.


Setelah selamat kembali dari ekspedisi, baru aku menceritakan kepadanya kisah sebenarnya tentang ramuan herba yang aku buat, dan penerangan tentang minda manusia. Remaja perempuan itu tersenyum mendengar ceritaku dan dia mengakui bahawa dia sendiri tidak pasti apa yang berlaku. Apa yang dia tahu adalah merasakan seperti ada yang mematuk kakinya dan membuatkan dirinya hampir pengsan.


Apa sebenarnya yang 'mematuk' kakinya?

Jawapanku, mungkin kakinya itu tersangkut dengan akar-akar kecil yang menjalar hingga menyebabkan dia merasa seperti dipatuk. Ditambah dengan tubuh yang lemah, dan semangat yang juga lemah, menyebabkan dia memikirkan tentang terkena patukan ular...

3 ulasan:

  1. gua pernah mengalami simptom simptom tu tapi bukan sebab kene gigit ular..

    time tu gua darjah dua.. balik mengaji belagak nak balik sensorang .. sampai tengah jalan sekor kelawar terbang tak pakai gps ketepek rempuh pipi gua..

    gua punya lari seratus meter gua agak tak sampai lima saat.. tup tup gua sedar dah sampai pintu rumah..

    badan gua dah layu dah cuma tangan jer masih bersemangat ketuk pintu lagi..

    mak gua bukak pintu dan tanya kenapa..

    gua jawap ada hantu tanglung langar gua ..

    bila mak gua tengok gua ada simptom simptom kaki sejuk, suhu badan menurun, mulut biru, muka pecah peluh.. terus mak gua panggil bapak dan kakak gua ..

    bapak dan mak gua tak gunakan daun sebagai ubat.. diorang gunakan pendekatan gelak secara berjemaah je..


    daripada muka biru terus jadi merah..


    hahaha.. kejam betul..


    .

    BalasPadam
  2. salam sdra...sy tak pernah alami lg tp pengalaman sdra ini begitu penting nnti jika sy akan alaminya huhuuhh

    BalasPadam
  3. Tentu pengalaman itu semua jadi kenangan dalam diri....

    BalasPadam