Ahad, 7 November 2010

Ujian Pandu Arah

Pandu arah @ Orientering adalah salah satu aktiviti pendidikan luar yang biasanya dilaksanakan dalam sesuatu program. Pada kebiasaannya, peserta akan diajar dan ditunjukkan tentang cara penggunaan kompas, mengorientasikan peta, dan sedikit latihan simulasi. Semua ini memberi pengalaman kepada mereka jika berlaku situasi sesak di hutan dan apa tindakan yang perlu dilakukan.

Aku ingin selitkan aktiviti ini dengan kehidupan kita sendiri.
Dalam kehidupan kita ini, kita adalah pengembara. Kita sedang menuju ke suatu tempat yang kita tahu, tetapi kita seolah-olah tersesat seketika. Maka proses mengorientasikan keadaan bermula. Kompas dan peta digunakan. Semangat membara menuju terus ke hadapan. Tiba-tiba, ada halangan di tengah jalan, ada gaung dalam dan curam di hadapan.

Apa yang perlu kita lakukan?
Adakah kita perlu turun sahaja ke dalam gaung itu, dan bersedia menghadapi segala risiko yang mungkin berlaku? Atau kita perlu mengalih arah perjalanan melalui kawasan yang lebih selamat, dan kemudian berpatah balik ke koordinat sebenar untuk menemui tempat yang kita cari?
Pilihan berada di tangan kita. Kita yang tentukan kerana kita adalah pemandu arah dalam perjalanan kehidupan ini. Jika memilih cadangan yang pertama, mungkin kita berjaya sampai setelah berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran. Atau mungkin juga tidak sampai kerana terhalang dengan risiko yang lain.
Jika memilih cadangan yang kedua, mungkin kita akan sampai, tetapi perjalanan yang dialih tentu membuatkan masa bertambah. Namun tidak mengapalah, kerana kita akhirnya sampai sambil melalui laluan lain yang tentu memberi pengalaman baru kepada kita.

Pilihlah mana-mana usaha yang mungkin kita mampu lakukan, kerana kita mesti terus bergerak dan mesti sampai ke destinasi kita. Mahu atau tidak mahu, kita perlu berusaha untuk sampai ke sana. Inilah ujian pandu arah sebenar dalam kehidupan kita....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan