Khamis, 11 November 2010

Mengekalkan perubahan

Apabila kita melakukan perubahan dalam diri, adakah perubahan itu akan berkekalan?

Ia akan berkekalan apabila ia telah sebati dengan diri kita.  Untuk menjadikan suatu perbuatan dan perlakuan itu sebati dengan diri kita, maka kita perlu melalui beberapa jangka masa yang ditetapkan dalam diri masing-masing.  Mungkin kita biasa melihat kepada perubahan yang dilakukan oleh seseorang dalam kehidupannya, namun beberapa hari kemudian, dia kembali dengan perlakuan negatif yang cuba diubahnya.

Contoh yang paling jelas adalah merokok.  Memang ramai perokok yang berazam untuk berhenti.  Pelbagai cara dilakukan untuk berhenti menagih rokok.  Namun, beberapa hari kemudian dia kembali merokok.  Malah mungkin lebih banyak lagi!

rokokIni menunjukkan bahawa, perubahan yang dilakukan masih belum menjadi kebiasaan dalam dirinya (tabiat).  Ini menyebabkan dia kembali kepada perlakuan asalnya…

Apa yang boleh kita lakukan untuk cuba mengekalkan perubahan yang telah dibuat, sekurang-kurangnya hingga menjadi tabiat dalam diri.

Pertama sekali kita perlu mengaitkan emosi kita terhadap perubahan yang dilakukan.  Emosi adalah perasaan dalaman diri setiap kita.  Setiap manusia sukakan emosi yang stabil dan menyenangkan.  Oleh itu, sentiasa ciptakan emosi kegembiraan dan keseronokan kerana telah berjaya berhenti melakukan perkara negatif yang lalu (contoh merokok).  Ciptakan emosi betapa seronoknya kita bebas dari menagih.  Sentiasa rasa riang kerana dapat meninggalkannya.  Apabila emosi itu telah tercipta, maka kita akan tetap merasa seronok kerana tidak lagi merokok.

Perkara kedua yang perlu dilakukan ialah mengganggu tabiat yang lalu.  Maksudnya, jika sebelum ini kita akan terus mencapai rokok dan menghisapnya seusai kita makan sesuatu, maka sekarang cuba ganggu tabiat itu dengan melakukan perbuatan lain.  Contohnya, apabila selesai makan, terus capai sebiji epal dan makan.  Perlakuan ini telah menyebabkan kita mengganggu tabiat lama dan menukarkannya dengan tabiat yang baru.  Ini akan menyebabkan perubahan yang berlaku dapat dikekalkan hingga ia menjadi tabiat yang baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan