Isnin, 30 Ogos 2010

Gelombang Otak Manusia ~ Bahagian 3


Bagaimana cara untuk mencapai gelombang tahap alpha?
Terdapat tiga keadaan yang menunjukkan situasi gelombang otak kita berada di tahap alpha.




Bermeditasi
Meditasi adalah suatu keadaan bagaimana manusia berusaha untuk mencapai tahap tenang yang optimum. Biasanya kita mendengar meditasi dilakukan sebagai salah satu ritual golongan tertentu. Jangan salah faham, meditasi bukan tertakluk kepada konsep keagamaan, ia adalah bidang ilmu yang membawa manusia berada di dalam suasana hening dan damai. Oleh kerana ia dipraktikkan oleh sekelompok bangsa tertentu, maka pandangan kita, ia adalah ritual agama. Sebenarnya tidak...

Dalam Islam juga terdapat unsur meditasi. Aktiviti khalwat, iaitu beribadat secara bersendirian yang dilakukan oleh para anbia' atau golongan sufi adalah suatu bentuk meditasi. Aktiviti berzikir dan berwirid di malam yang hening merupakan satu bentuk meditasi. Keadaan ini menunjukkan manusia meninggalkan pemikiran berkenaan perkara kehidupan dan melakukan suatu amalan yang menenangkan jiwanya.

Ketahuilah, pada ketika ini, tahap gelombang otak manusia berada di tahap alpha. Pada ketika ini, setiap saranan akan diterima dengan mudah. Contohnya pada ketika ini terilham dalam diri untuk menjadi seorang manusia yang zuhud dan menyerah diri kepada ALLAH, maka dengan mudahnya perkara itu diterima oleh manusia tersebut.

Berkhayal
Situasi di mana manusia berkhayal juga menunjukkan kita sedang berada di tahap alpha. Mungkin kita pernah mengalaminya sendiri apabila kita mendengar sebuah ceramah, atau ucapan sesuatu, atau seseorang sedang berbual dengan kita, namun dalam masa yang sama pemikiran kita menerawang ke perkara lain, atau perkara yang sedang diperkatakan itu. Keadaan ini berlanjutan sehingga kita di'kejut'kan dan tersedar dari khayalan.

Semasa berkhayal itulah, gelombang pemikiran kita berada di tahap alpha. Pada ketika ini, apa sahaja saranan dan gagasan yang diperkatakan akan kita terima dengan mudah. Hal inilah yang digunakan dalam iklan-iklan di televisyen bagaimana iklan tersebut 'mempengaruhi' kita untuk mendapatkan barangan yang diiklankan dengan mudah. Atau saranan yang diberikan semasa mendengar ceramah agama, atau ceramah politik, disampaikan hingga kita 'terkhayal' seketika dan mencapai tahap alpha. Lantaran keadaan ini, mudahlah untuk saranan diberikan dan menjadi ikutan kita kerana gelombang otak yang berada dalam keadaan yang sangat tenang pada ketika itu.

Oleh itu, berhati-hatilah.... :)

Visualisasi
Aktiviti visualisasi adalah perkara yang kita bayangkan untuk mendapatkan sesuatu. Contohnya kita inginkan sebuah rumah banglo mewah di tepi pantai yang damai. Apabila kita berjaya memvisualkan setiap perincian gambaran banglo tersebut; warnanya, keindahannya, bunyi ombak yang damai, suasana ketenangan di dalam banglo tersebut, maka pada ketika ini kita telah berada di tahap alpha, sehinggalah kita tersedar semula dan berada di bumi yang nyata.

Biasanya aktiviti visualisasi ini memang sangat mujarab untuk melaksanakan saranan dan menggambarkan impian kita. Bagi diriku sendiri, setiap kali aku bervisualisasi tentang impianku, memang apa yang aku gambarkannya akhirnya akan menjadi kenyataan. Cuma masa dan ketikanya sahaja yang tidak menentu. Segalanya adalah berdasarkan sejauh mana kemampuan kita untuk memvisualkan sesuatu itu dengan betul dan berjaya menghayatinya.

2 ulasan:

  1. diantara 3 nie mana yang paling bagus??

    BalasPadam
  2. Jika kita hendak menyatakan apa yang terbaik antara ketiga-tiganya, adalah sesuatu yang subjektif. Ia seperti menilai sesuatu, pada pandangan seseorang mungkin A adalah terbaik, dan bagi seseorang yang lain pula, mungkin B lebih baik. Apa yang penting adalah kita mengetahui dan menyedari apa yang terjadi adalah daripada usaha dan kehendak daripadaNya jua.

    Bagi diriku sendiri, meditasi adalah cara terhebat. Meditasi yang aku maksudkan adalah meditasi ala Islam. Dengan melakukan solat hajat, berzikir, dan berwirid, sebenarnya kita telah berjaya merendahkan gelombang otak kita ke tahap alpha. Lantaran itu, kita mudah untuk meminta dan mengharapkan setiap sesuatu itu berlaku. Dan, sebagai orang yang beriman, tentu sahaja kita letakkan kepercayaan dan keyakinan bahawa apa yang berlaku itu tentulah daripada kehendak ALLAH Taala semata-mata.

    Maaf jika kuberikan suatu contoh tipikal...
    Pemulihan penagihan dadah. Jika mengikut kaedah yang dilakukan selama ini, kita hanya mengurung dan menghalang pengambilan dadah di kalangan penagih di pusat serenti. Kaedah ini nampak berkesan kerana penagih terhenti daripada menagih. Namun apa yang berlaku selepas mereka keluar? Ada yang benar-benar pulih, namun 80% daripada mereka akan kembali ke dunia penagihan.

    Berbanding dengan suatu kaedah perawatan Islam yang mengurung mereka, menghalang pengambilan dadah, dan dalam masa yang sama mereka didekatkan diri dengan ALLAH. Mereka dianjurkan untuk berjemaah dalam komuniti 'pusat serenti' itu. Mereka di'paksa' untuk solat malam dan berzikir. Mereka dibentengkan dengan Islam dan Iman. Maka cara ini nampak lebih berkesan dari segi jangka panjang. Ini adalah kerana apabila kita berjaya menurunkan gelombang minda pelatih pusat serenti ke tahap alpha (dengan solat dan zikir) kemudian diberikan saranan untuk meninggalkan dadah, maka mereka akan dapat menerimanya dengan lebih mudah.

    Apa yang pasti, apabila gelombang minda kita berada di tahap alpha, maka apa sahaja yang diminta, maka kita akan melakukannya. Itulah hukum alam yang ALLAH telah janjikan berkaitan dengan kuasa minda yang ALLAH berikan kepada kita semua...

    BalasPadam