Ahad, 22 Ogos 2010

Aku dan Masa


Sudah lebih seminggu aku tidak mengemaskinikan blog aku ini. Bukan kerana aku sudah bosan untuk menulis, bukan kerana aku tiada lagi idea untuk berceloteh (idea membuak-buak gile ni...), atau bukan kerana aku terlalu dan terlalu sangat tawadduk di bulan Ramadhan ni, tetapi semuanya hanyalah kerana masa....

Kita sering mendengar rungutan tentang 'tiada masa', 'tak cukup masa', tak sempat, dan sebagainya. Aku sudah mendidik dan berjaya mendidik diriku agar tidak mengungkapkan kata-kata itu dalam kehidupan aku ini. Kerana aku sangat sedar bahawa setiap yang kita kata, ungkap, fikir, dan rasa, akan membawa perkara itu kepada kita. Jika kita mengatakan kita tiada masa, maka memang itulah yang akan berlaku kerana berlaku pelbagai peristiwa di hadapan kita hingga menyebabkan kita benar-benar tiada masa untuk melakukan sesuatu.

Aku dan masa...
Aku bukan tak cukup masa untuk mengetuk papan kekunci untuk menulis di sini, cuma masa yang aku ada aku terpaksa tumpukan kepada 3 perkara penting, seminggu yang pertama di bulan mulia ni.

Perkara pertama, tentu sahaja beribadat. Rugi kalau aku dan kalian tidak beribadat bersunggug-sungguh di bulan ini. Kata-kataku ini janganlah disalahtafsirkan pula... Bukan maksudku untuk menyatakan bahawa beribadat hanya di bulan Ramadhan, bukan..! Beribadat adalah amalan yang dilaksanakan sepanjang masa. Cuma, di bulan ini kita perlu dan wajar menambahkannya. Sudah lebih seminggu masa berlalu di bulan Ramadhan. Dan seminggu jugalah aku melakukan eksperimen masa tentang amalan di bulan Ramadhan. Aku akan kongsikannya nanti apabila Syawal menjelma, kerana aku ingin meneruskan kajian masa di bulan Ramadhan ini sehingga genap tempoh masa yang ALLAH berikan.

Perkara kedua, aku sedang menduduki ujian semester OUM.
Alhamdulillah, kelmarin adalah kertas terakhir yang aku lalui untuk semester ini. Memang tuntutan belajar sangat memerlukan aku menumpukan lebih masa sehingga terpaksa melupakan seketika blog ini. Nah, sekarang exam dah habis, maka aku boleh menulis semula di sini...!

Perkara ketiga, anak-anak didikku sekarang sedang 'kencang berlari' dalam persediaan menduduki peperiksaan UPSR mereka. Jangka masa yang ada hanya lebih kurang 30 hari sahaja lagi. Maka masa yang bersisa ini memang aku dan mereka terus berkejaran menghambat waktu melakukan persediaan dan membetulkan mana-mana yang masih belum sempurna.

Masa sentiasa ada.
Cuma, kita yang perlu menguruskannya dengan sempurna.
Salam Ramadhan penuh ceria buat semua...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan