Ahad, 8 Ogos 2010

Menyelesaikan Masalah dari Dalam

Kadang kala, apabila kita ditimpa masalah, kita sering menyalahkan orang lain kerana menyebabkan masalah tersebut. Kita sering menuding jari kepada orang lain yang menyebabkan perkara tersebut berlaku. Kita sering menyatakan bahawa orang itu dan orang ini yang bersalah.... Itulah yang sering berlaku.

Namun, pernahkah kita memikirkan bahawa kita perlu menilai semula setiap perkara yang berlaku itu, ada kalanya adalah berpunca daripada diri kita sendiri. Jadi, orang-orang yang berada di luar sana tidaklah bersalah seperti yang kita sering katakan, sebaliknya kitalah sendiri yang bersalah dalam banyak hal.

Sewajarnya kita sering menilai sesuatu dari dalam diri kita sendiri, sebelum menilainya kepada orang lain. Itu adalah perkara yang sangat wajar dan perlu kita laksanakan jika kita mahu menjadi insan yang terus cemerlang dan berjaya dalam kehidupan.

Sebagai contoh, jika kita tidak berjaya dalam pelajaran, janganlah kita menyalahkan guru-guru kerana tidak pandai mengajar, janganlah menyalahkan ibu bapa kerana tidak membeli buku rujukan itu dan ini, janganlah menyalahkan rakan taulan kerana sering mengajak kita berpeleseran, janganlah menyalahkan sekolah kerana tidak menyediakan ruangan belajar di situ dan di sini, janganlah menyalahkan sesiapa....sebaliknya cuba kita fikirkan, apakah kesalahan yang mungkin kita lakukan hingga menyebabkan perkara ini berlaku. Jika kita berjaya menemui jawapannya, maka pasti kita akan dapat membetulkan masalah tersebut dengan baik dan teratur.

Kita ambil sebatang pokok rambutan sebagai gambaran.
Jika pokok itu mengeluarkan daun yang banyak, dan buah yang merimbun; merah dan manis, maka kita sebenarnya dapat merasakan bahawa pokok itu sebenarnya mempunyai akar yang baik. Namun, jika pokok itu tidak berbuah lebat, daunnya layu dan kusam, batangnya berlumut dan merekah, maka janganlah menyelesaikan masalah dengan meneliti kepada batang, daun, dan buahnya sahaja. Apa yang perlu adalah menyelesaikan masalah tersebut dari dalam, iaitu dari akarnya. Apabila akar pohon tersebut sudah tidak berjaya, mana mungkin bahagian yang lain hendak berjaya juga. Selesaikan masalah akar tersebut dengan menggembur dan membaja yang sesuai, pasti masalah lain akan turut berjaya diselesaikan.

Inilah yang dinamakan menyelesaikan masalah dari dalam.
Akar pokok adalah ibarat diri kita. Jika kita menyelesaikan semua masalah kita, pasti masalah lain tidak akan berlaku.

Jika aku berjaya, pasti orang di sekelilingku juga akan berjaya...
Jika aku berjaya, pasti orang di sekelilingku juga akan bahagia...
Diriku adalah kejayaan...
Diriku adalah kebahagiaan...
Terus berjaya, cemerlang, dan bahagia...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan