Jumaat, 6 Ogos 2010

Berfikir untuk Menang..!

Berulang kali dinyata dan diingatkan bahawa, kita perlu memastikan dengan sempurna cara kita berfikir dan beremosi. Tersalah fikir, tersalah kata, tersalah perasaan terhadap sesuatu, maka itulah yang kita tarik untuk menjadi milik kita. Jika kita fikirkan kejayaan, maka kejayaanlah yang akan menjadi milik kita. Namun jika sebaliknya...?!

Sebagai seorang peniaga, apa yang sering difikirkan adalah tentang keuntungan perniagaannya. Namun jika peniaga tersebut sering memfokuskan kepada kemungkinan kerugian yang akan ditanggung, maka sebenarnya dia sedang menarik kemungkinan kerugian itu menjadi kenyataan dalam dunia perniagaannya.

Memang tidak dinafikan, adat berniaga, pasti ada untung dan rugi. Namun, apa yang perlu adalah cara pemikiran yang sentiasa terarah kepada kejayaan dan keuntungan adalah lebih baik jika dibandingkan dengan memikirkan kepada kerugian. Semakin kuat kita memikirkan kerugian, ditambah dengan getaran rasa takut dan berdebar-debar kerana takut rugi, maka pasti kerugian itu akan menjelma dalam diri kita.

Kelmarin, aku sempat berbual dengan seorang rakanku tentang dunia perniagaan.
Dia telah bertanya kepadaku tentang jenis perniagaan yang akan aku lakukan apabila sudah tamat kerja nanti. Hal ini diajukan kepada aku kerana dia sendiri tidak tahu apakah jenis perniagaan yang sesuai untuk dia laksanakan.

Aku menyatakan tentang perancangan perniagaanku kepadanya dengan jelas dan terperinci. Nampak seperti tidak terlaksana kerana aku masih bekerja dengan kerajaan, namun semua itu dapat dilaksanakan kerana aku sudah membuat sedikit penelitian dan perancangan tentang perkara ini.

Reaksi pertama yang diberikan oleh rakanku itu adalah tentang kerugian yang bakal aku tanggung jika melaksanakannya. Reaksi seterusnya adalah tentang cabaran yang ada dalam perniagaan, dan reaksi-reaksi negatif yang lain. Aku hanya mendengar dan tersenyum. Setelah puas dia berhujah, maka aku katakan kepadanya, adakah tiada seorang pun dalam dunia ini yang telah berjaya dengan perniagaan yang aku maksudkan itu? Dia hanya terdiam. Aku jelaskan lagi bahawa, jika ada, walaupun seorang ahli perniagaan yang berjaya melaksanakannya, maka ia adalah perniagaan yang berpotensi untuk berjaya. Kegagalan adalah kerana kita memikirkannya. Kerugian adalah kerana kita menariknya menjadi sebahagian daripada apa yang kita mahukan.

Untuk berjaya, sebenarnya tidaklah sesukar mana. Impian, tindakan, dan cara pemikiran kita adalah perkara penting yang perlu kita sepadukan dengan baik untuk mencapai kejayaan. Jika kita berfikir untuk menang, maka kemenangan adalah milik kita...

2 ulasan:

  1. suka ke sini sebab banyak motivasi diri :)
    ada masa jemputlah ke blog suri
    http://cahayacinta.com

    BalasPadam
  2. Terima kasih atas kesudian itu...
    Sebenarnya saya memang salah seorang peminat yang sering mengikuti perkembangan cahayacinta.com

    BalasPadam