Khamis, 14 April 2011

Pengulangan Kata-kata Hebat untuk Minda…

Salam hormat…

Jika dahulu, pernah kubicarakan tentang kuasa perkataan yang boleh mempengaruhi pemikiran, perasaan, dan getaran minda kita.  Ya, itu memang benar-benar berlaku dan kita harus berhati-hati dengan kuasa perkataan yang kita ucapkan.

Jika perkataan yang diucapkan itu memberi kebaikan maka pasti ia memberi semangat dan kekuatan yang lebih tinggi kepada diri kita. 

Hari ini, aku ingin menghuraikan sedikit lagi tentang perkataan; bagaimana kesannya jika diulang-ulang…

Tahukah anda, kita sebenarnya boleh mempengaruhi minda dengan melakukan pengulangan perkataan.  Contohnya dengan berkata-kata kepada diri kita bahawa ‘aku adalah jutawan’ berkali-kali, maka akhirnya minda akan menerima kata-kata tersebut dan mempercayainya.  Kesannya, minda akan bertugas untuk melaksanakan tanggungjawab dan mencipta usaha tertentu agar pencapaian pendapatan kita bertambah hingga mencecah kepada jutawan. 

Perkataan yang diucapkan berterusan itu haruslah dengan menggunakan perkataan yang sama, atau hampir sama agar ia dapat memberi kesan dan mempengaruhi minda dengan lebih berkesan.  Selain itu, tidaklah perlu kita mengucapkannya seperti berzikir, cukuplah jika kita mengucapkannya dengan lafaz secara berkala seperti mengucapkannya sebanyak 5 kali setiap jam.

Mungkin anda kurang merasa yakin bagaimana pengulangan kata-kata ini akhirnya akan mempengaruhi minda anda dan ‘menukarkan’nya.  Cuba lihat bagaimana perang saraf yang dilakukan di televisyen dan radio untuk  mempengaruhi minda rakyat sesebuah negara oleh pemimpin negara tersebut.  Mungkin pada mulanya rakyat merasa tidak percaya, namun setelah sumber itu mengulang perkara yang sama, maka akhirnya ia mempengaruhi pemikiran dan penerimaan rakyat terhadap isu yang diutarakan tersebut.  Perang saraf pemikiran ini sering berlaku di negara komunis satu masa dahulu jika sekiranya kerajaan nampak seperti ada gelombang kebangkitan rakyat berlaku untuk menentang pengaruh kerajaan.  Pengulangan tentang kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan akhirnya telah menurunkan kadar semangat penentangan rakyat dan akhirnya rakyat akan akur semula kepada kerajaan.

Sentiasalah mengucapkan kata-kata yang baik kepada diri.  Sebaiknya, ucapkan perkataan yang menggambarkan apa yang kita impikan seperti berjaya, hebat, kekayaan, kebahagiaan, dan sebagainya.  Setiap pengucapan itu haruslah diulang-ulang hingga membentuk satu kepercayaan baru kepada diri…

4 ulasan:

  1. ok saya faham...!!!!!ni yg semangat ni

    BalasPadam
  2. Hebat...tips yg sgt berguna..
    Mekasih :)

    BalasPadam
  3. Fitri Senin...

    Kata-kata semangat akan memberikan dorongan semangat yang sangat tinggi kepada minda.
    Cuba amalkan dalam diri. Berkata-kata kepada diri tentang perkara baik contohnya aku hebat, aku rajin...pasti nampak perubahan dalam setiap tindakan kita.

    BalasPadam
  4. Cik Shinju...

    Sama-samalah kita berkongsi di sini...

    BalasPadam