Salam bahagia…
Apabila Minda Separa Sedar kita berfungsi untuk melakukan penciptaan imej dalam minda, maka kita seharusnya merasa yakin terhadap imej tersebut.
Contoh :
Seorang pelajar tingkatan 5 mencipta imej berkenaan kejayaannya dalam peperiksaan SPM. Dia berjaya membayangkan dengan jelas bagaimana suasana kemeriahan semasa menerima keputusan kejayaannya itu. Dia seolah-olah telah benar-benar berada pada hari keputusan diumumkan. Tergambar jelas di fikirannya bagaimana ramainya rakan-rakan datang kepadanya dan mengucapkan tahniah atas kejayaan cemerlangnya.
Apa yang perlu ada dan apa yang perlu dielakkan ketika imej visual ini dicipta?
Perkara yang perlu ada adalah dua perkara iaitu; keyakinan dan emosi yang sesuai.
Keyakinan perlu wujud bahawa dia mampu untuk melakukan kejayaan tersebut. Dalam fikirannya harus ada keyakinan bahawa dia memang layak untuk menerima kejayaan itu. Lantaran keyakinan yang terhasil itu, maka Minda Separa Sedar akan ‘bangun’ dan melaksanakan tugasnya. Pada ketika itu, suatu bentuk kekuatan akan wujud dalam diri untuk melakukan usaha tertentu sesuai dengan kejayaan yang akan diterima. Jika dulu, pelajar ini kurang memberi tumpuan, namun kerana Minda Separa Sedar telah menguasai dirinya, maka pelajar itu dapat memberi tumpuan dengan lebih baik. Begitu juga dengan tindakan lain seperti sikapnya menjadi lebih rajin dan bersemangat, penerimaan yang lebih baik dalam pelajaran, meningkatkan tahap pemahaman dan memori, dan sebagainya.
Semua ini berlaku kerana Minda Separa Sedar telah diberikan kod dan maklumat bahawa ia perlu dilaksanakan untuk mencipta kejayaan tersebut.
Perkara kedua yang perlu ada adalah emosi. Semasa imej visual tentang kejayaan tersebut dihasilkan, maka emosi pelajar tersebut harus selari dengan imej yang dihasilkan. Jika imej itu menggambarkan kejayaan dalam keputusan SPM, maka emosi kegembiraan, terharu, kesyukuran, keriangan dan sebagainya, harus dihasilkan. Rasakan bagaimana dada ‘menggembang’ penuh kerana gembiranya perasaan kita menerima kejayaan itu (dalam imej visual). Mana mungkin ketika kita membayangkan kejayaan, tiba-tiba kita salurkan rasa sedih, duka, dan kecewa?!
Emosi sebenarnya penting untuk menguatkan penerimaan Minda Separa Sedar. Emosi yang sesuai dengan keinginan kita akan memberi keyakinan kepada minda bahawa itulah perkara yang memang benar-benar kita impikan. Apa yang lebih penting adalah emosi itu membentuk satu lagi kod dan kekuatan dalam diri bahawa perkara itu adalah benar dan ia mampu direalisasikan.
Bagaimana pula dengan perkara yang perlu dielakkan?
Perkara yang perlu dielakkan semasa imej visual ini dihasilkan adalah Keyakinan Yang Membantutkan (KYM).
KYM adalah perasaan tidak percaya, kurang yakin, dan ragu-ragu yang memang ada dalam diri. Contohnya semasa imej kejayaan itu terhasil, tiba-tiba ada rasa tidak percaya seperti diri pelajar itu memang tidak berapa pandai kerana berada dalam kelas kedua atau ketiga. Mana mungkin dia akan berjaya dengan cemerlang dalam SPM. KYM ini akan hadir dengan tiba-tiba dan mengganggu keyakinan dan emosi yang terhasil. Jika KYM ini menjadi lebih kuat, maka imej visual itu tidak akan berlaku kerana Minda Separa Sedar diarahkan kepada kegagalan, bukan kepada kejayaan.
Untuk menggambarkan KYM, mungkin boleh dijelaskan begini… Semasa kita hendak melakukan sesuatu kebaikan contohnya hendak menunaikan solat di awal waktu (gambaran menunjukkan diri kita yang yakin), tiba-tiba terlintas satu perasaan / suara negatif untuk menyekat perlakukan itu dengan kata-kata seperti ‘tak pe, waktu solat Asar panjang lagi, kejap lagi pun boleh solat’. Perasaan seperti itulah yang boleh disamakan dengan KYM.
Jika diberikan kekuatan, aku akan mencatatkan perkara yang berkaitan dengan KYM pada masa akan datang.
Teruskan usaha, kekalkan keyakinan, tambahkan emosi yang sesuai, dan laksanakan apa yang perlu kita laksanakan untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam diri…
Ok,dah faham...
BalasPadamYg salu buat impian saya gagal
adalah KYM...