Rabu, 25 Ogos 2010

Bulan Ramadhan Bulan Rahmat

Belum terlambat untuk aku membicarakan tentang Ramadhan.
Lagi pun, aku bukan nak menghuraikan tentang kelebihan Ramadhan, bagi aku, huraian tentang kelebihan dan keberkatan Ramadhan ini sudah ramai yang mengulas dan membacanya. Apa yang aku nak ungkaikan di sini adalah kuasa minda manusia-manusia yang berada di bulan Ramadhan.

Sedar atau tidak, Ramadhan dan puasa yang diwajibkan ke atas kita telah berjaya mendidik kita menjadi insan yang lebih baik. Jika dulu, kita makan secara berlebihan maka di bulan ini kita menjaga dan mencatu pemakanan kita. Jika di bulan lalu kita sibuk bercerita tentang si polan dan si polan, maka di bulan ini kita lebih banyak mendiamkan diri untuk menjaga pahala puasa.
Maka secara sedar atau tidak, puasa telah berjaya mendidik kita.

Malah ALLAH telah berjanji bahawa dengan berpuasa maka akan bertambah takwa di dada.
Sekali lagi menunjukkan kita akan menjadi lebih baik kerana tarbiyah di bulan mulia ini.

Bagaimana dengan cara pemikiran kita?
Aku sangat yakin dan percaya bahawa kita akan menjadi lebih berhemah dalam memikirkan sesuatu. Tiada lagi bayangan-bayangan 'mengghairahkan' hingga mengganggu emosi semasa di bulan ini. Tiada lagi pemikiran untuk bergaduh dengan orang itu atau orang ini. Tiada lagi pemikiran untuk bermaksiat di sana dan di sinun.
Maka apa yang sebenarnya berlaku pada minda manusia ketika ini?

Minda manusia akan menjadi lebih hebat kerana sentiasa mengeluarkan getaran positif di bulan Ramadhan. Pada bulan ini minda manusia lebih bertenaga kerana banyak berfikir tentang kebaikan dan menginsafi kejahatan lalu. Pada ketika ini terlalu banyak getaran positif dilepaskan. Secara sedar atau tidak, semua ini menambahkan lagi keberkatan dan rahmat Ramadhan.
Keberkatan dan rahmat yang asalnya daripada ALLAH Taala, menjadi bertambah lagi kerana hukum alam yang ALLAH tetapkan berkaitan getaran positif ini. Maka berbahagialah kita yang mampu untuk memahaminya dan melaksanakan kebaikan ke atasnya...

Dan, alangkah baiknya jika kita terus mengekalkan cara pemikiran kita ini pada bulan-bulan yang akan datang, moga kita dapat terus menghasilkan pemikiran positif dalam kehidupan, dan membekalkan getaran positif itu terus-terusan ke alam semesta.
Alangkah baiknya...

2 ulasan: