Selasa, 23 Mac 2010

Sayangnya Mat Jenin...

Kuasa minda ini banyak cabang dan haluan untuk memilikinya. Selain dari kuasa menulis, ada suatu lagi perlakuan yang sentiasa perlu ada kepada sesiapa yang cuba untuk menguasai mindanya dengan kuasa power ini. Perlakuan yang dimaksudkan adalah visualisasi.

Visualisasi adalah merupakan gambaran mental tentang sesuatu. Bukan hanya sekadar menggambarkan sahaja pada kotak fikiran, sebaliknya lebih menghayatinya ke peringkat perasaan dan keseronokan (emosi), malah ada yang berjaya sampai ke peringkat yang lebih tinggi seperti merasainya dan bau tentang perkara yang difikirkan.

Dalam erti kata yang mudah, visualisasi adalah berangan.
Tetapi awas! Berangan bukan sebarang berangan. Berangan yang ini ada matlamat dan visi yang jelas yang perlu dicapai dalam mengangankannya.

Pernahkah anda berangan untuk mendapatkan sesuatu? Angan yang nyata dan mampu untuk anda realisasikan dalam pencapaian anda. Dalam visualisasi, bukan hanya ada angan-angan itu sahaja, malah kita dapat merasakan apa yang kita impikan itu memang pasti yakin berjaya anda miliki suatu hari nanti. Kesannya, ia memang benar-benar berlaku dan anda berjaya memilikinya.

Masih ingat dengan cerita dongeng Mat Jenin? Mat Jenin (MJ) adalah contoh perlakuan orang Melayu yang suka berangan. Sebenarnya dalam cerita ini digambarkan betapa buruknya perlakuan berangan ini. Namun di sebalik moral yang memang acap kali disogokkan kepada kita itu, ada tersimpan satu misteri kehebatan kuasa minda manusia. Angan-angan MJ adalah contoh visualisasi. Dalam cerita tersebut, MJ sedang memanjat pokok kelapa kerana mengambil upah untuk mendapatkan sesuap nasi. Semasa sedang memanjat MJ telah mula berangan tentang hasil pendapatannya hari ini untuk membeli anak ayam.

Kononnya anak ayam itu akan dibela sehingga besar dan membiak dengan banyak. Kemudian ternakan ayamnya yang banyak itu akan dijual dan MJ akan membeli pula dua ekor kambing. Sama seperti ayam tadi, kambing itu akan dibela sehingga membiak dan beranak-pinak. Kemudian kambing yang banyak itu dijual pula sehingga mampu pula MJ menternak lembu....

Kisah angan-angan MJ ini berterusan sehinggalah dia berjaya berkahwin dengan puteri raja. Penutup cerita ini MJ terjatuh dari pokok kelapa yang sedang dipanjatnya kerana terlalu gembira ingin memeluk puteri raja tersebut.

Dari segi moralnya, cerita ini sering digunakan oleh generasi tua untuk mendidik anak-anak agar jangan kuat berangan. Benarkah begitu?!
Benar, dan tidak benar!

Benar, kerana jika terlalu kuat berangan, kita hanya mampu bermimpi di siang hari. Hanya berangan dan bervisualisasi untuk mendapatkan sesuatu tanpa melakukan apa-apa untuk memilikinya.
Tidak benar, kerana angan-angan dan visualisasi inilah punca kepada peningkatan kuasa minda dan semangat untuk kita memiliki impian kita itu.

MJ telah menunjukkan contoh visualisasi kepada kita untuk memiliki sesuatu.
Sayangnya MJ....telah berangan dan bervisualisasi dalam tempoh yang terlalu panjang. Dari memiliki ayam ke kambing ke lembu ke kapal dagangan dan berahhir dengan anak dara puteri raya yang ayu. Itulah kesilapan MJ, angan-angan yang terlalu panjang dan terkeluar daripada kehendaknya yang sebenarnya.

Jadi, bagaimana untuk melakukan visualisasi yang betul? Nanti dikhuatiri visualisasi hanya menjadi angan-angan MJ pula!
Caranya ialah tetapkan apa yang kita benar-benar kehendaki sahaja, saat itu sahaja. Fikirkan betul-betul tentang yang kita ingin miliki pada ketika itu sahaja dengan sebenar-benarnya, dan bukan melayang dan terus melayang hingga tak berpijak di bumi yang nyata.

Teknik untuk melakukan visualisasi akan diutarakan nanti dengan lebih jelas...

1 ulasan: