Ahad, 28 Ogos 2011

Rahmat daripada Tetamu…

Salam penuh kedamaian…

Bercakap pasal rahmat, tentu semua orang mahukannya.  Rahmat ni ibarat satu hadiah daripada ALLAH kepada kita.  Apabila kita lakukan sesuatu dan mendapat rahmat, perkara itu tentu menjadi sesuatu yang hebat dan bernilai.

Bagaimana cara hendak mendapatkan rahmat?

Caranya, mestilah perkara yang dilakukan itu adalah perkara yang baik.  Sebelum melaksanakan perkara itu, hendaklah dimulakan dengan memuji kebesaran ALLAH, sekurang-kurangnya dengan bacaan bismillah…  Kemudian, terus-terusan berharap agar ia menjadi sesuatu yang diterima di sisi ALLAH.  Apabila selesai pula, diakhiri dengan ucapan memuji kebesaran ALLAH sekali lagi dengan bersyukur.  InsyaALLAH, pasti ia mendapat rahmat daripadaNya.

Rahmat, kadang kala datang kepada kita tanpa kita melakukan sesuatu.  Contohnya rahmat daripada tetamu.  Kebetulan dah dekat dengan Aidil Fitri ni, pasti ramai yang akan datang bertandang ke rumah kita nanti.  Jadi apa kata kalau kita berbicara sedikit tentang rahmat daripada tetamu ni….

Setiap tetamu yang datang ke rumah kita akan membawa rahmat ALLAH.  Lantaran itu, kita sewajarnya memulia dan melayan tetamu yang hadir dengan layanan yang baik.  Seorang rakanku yang belajar di Timur Tengah bercerita, orang di sana sangat memuliakan tetamu.  Apabila tetamu datang, mereka akan menyediakan makanan yang sedap-sedap untuk dihidangkan.  Ada yang sampai sembelih kambing, semata-mata untuk dihidangkan kepada tetamu.  Mungkin ia sudah menjadi adat dan etika melayan tetamu di sana, namun sebenarnya itu adalah cara mereka untuk memuliakan kehadiran rahmat yang dibawa oleh tetamu kepada kita.

Kita di sini, punya cara untuk melayan tetamu cara kita.  Tetamu boleh dilayan dengan baik dengan bercakap yang baik-baik, wajah yang manis dan sopan, dan hidangan makanan yang sesuai.  Keadaan ini akan membuatkan tetamu yang hadir merasa dihargai dan menjadikan hubungan semakin akrab.  Rasa seronok dan puas daripada tetamu kerana kebaikan layanan kita itulah yang akan menghadirkan rahmat kepada kita.

Cuba lihat suatu masa dahulu, apabila ada sahaja tetamu (contohnya saudara yang jauh datang bertandang), pasti keluarga kita akan merasa sangat teruja dengan kehadiran itu dan diberikan layanan yang istimewa.  Mereka dijemput untuk makan bersama, dan ada yang dijemput untuk bermalam.  Ini adalah gambaran bagaimana rahmt itu pinta berada bersama dengan kita dengna lebih lama.

Tetapi, zaman sekarang, sukar sekali kita hendak menerima tetamu (melainkan jika ada situasi tertentu seperti Hari Raya).  Keadaan ini mungkin disebabkan corak hidup kita yang sudah semakin berubah.  Pagi hingga ke malam sibuk dengan urusan kerja.  Cuti hujung minggu pula dipenuhkan dengan keperluan hidup seperti berehat dan berbelanja.  Jadi sudah kurang masa untuk kita bertandang ke rumah saudara, atau menerima kunjungan orang lain.

Hanya, di waktu musim perayaan ini sahaja, kita mampu untuk meluangkan masa dan bersedia untuk menerima kunjungan tetamu.  Oleh itu, sediakanlah hidangan yang sedap dan hebat, serta layanan yang mesra kepada semua tetamu yang hadir pada Aidil Fitri nanti…moga kita semua mendapat rahmat daripadaNya…

4 ulasan:

  1. ya betul tu KM...tadi baru ja cakap2 dengan mama tentang tetamu neh....

    tapi bila baca surat khabar tadi..kebanyakan remaja jarang melayan tetamu dan saudara mara sebab leka dan lalai dengan internet...hehe..

    semoga syawal bakal tiba kita semua dapat mengeratkan silaturahim sesama saudara mara dan rakan taulan...(eh macam lari topik pula)hehe

    BalasPadam
  2. Cik Hani...

    Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin
    :)

    BalasPadam
  3. Cik Ila...

    Dunia dah berubah. Remaja lebih leka melayan rakan di alam siber berbanding melayan saudara mara yang bertandang ke rumah. Itu hakikat masa kini. Namun, diharap semoga roh Aidil Fitri mampu merubah segalanya...

    BalasPadam