Ahad, 21 Ogos 2011

Memberi dan Menerima… (kisah benar suatu hari di bulan Ramadhan)

Salam kedamaian…

kerabu kerang Gambar daripada internet

Semakin banyak kita memberi, semakin banyak kita akan menerimanya…

Ini adalah salah satu konsep dalam ilmu minda manusia.  Dalam konsep ini, jika kita memberikan sesuatu dengan kebaikan, maka kita akan mendapat kebaikan juga sebagai balasannya.  Namun, jika kita memberi sesuatu berbentuk negatif, maka perkara negatif juga akan pulang kepada kita sebagai balasan.

Dalam Islam sendiri, konsep memberi dan menerima ini ada dinyatakan dengan jelas.  Contohnya, memberi derma dan sumbangan secara ikhlas.  Balasannya, kebaikan yang tersembunyi yang akan dipulangkan kepada kita.  Sekurang-kurangnya, balasan pahala yang menjadi saham kepada kita di sana nanti.

Ingin kupersembahkan satu situasi yang berlaku di hadapan mataku.  Kisah benar di bulan Ramadhan beberapa hari yang lalu….

Almaklum, pada ketika ini, peniaga makanan di pasar Ramadhan tumbuh seperti cendawan.  Peniaga-peniaga ini wujud hanya pada bulan mulia ini sahaja.  Mereka akan menjual juadah berbuka puasa yang pastinya mendapat sambutan daripada pembeli.  Dari makanan berbentuk kuih, hinggalah kepada lauk-pauk, malah peniaga mercun dan bunga api turut mengambil peluang untuk mengaut keuntungan.

Di sebuah gerai suatu hari lalu, aku membeli sedikit lauk untukku berbuka dan bersahur.  Alhamdulillah, aku ini jenis tak cerewet bab makanan.  Apa sahaja yang ada, aku mampu makan dan bersyukur.  Hatta aku berbuka dengan telur goreng sekalipun, sudah cukup bagiku.  Jadi aku hanya membeli sejenis lauk berkuah sahaja untuk menambah rasa pada makananku. 

Pada masa yang sama, ada seorang perempuan tua yang ingin sama membeli sejenis masakan (kerabu kerang).  Perempuan yang kulihat agak daif itu meminta kepada peniaga untuk membeli RM2 sahaja.  Namun permintaan perempuan itu disambut dengan kata-kata marah dan sedikit penghinaan daripada peniaga tersebut.  Kata peniaga itu lagi, dia hanya menjual minimun RM3.  Sambil mengomel dia lantas tidak menghiraukan perempuan itu, dan perempuan tua itu berlalu pergi.  Aku akhirnya membeli lauk yang ingin kubeli dan aku tambah dengan masakan kerabu kerang sebanyak RM3. 

Cepat-cepat aku bayar dan bergegas mencari perempuan tua itu.  Niatku adalah untuk memberi kerabu itu agar dia tidak terlalu kecewa.  Malangnya aku kehilangan perempuan tua itu sekelip mata dalam lautan manusia yang sibuk dengan urusan berjual beli.  Aku terus berlegar-legar mencari perempuan itu dan alhamdulillah aku bertemu dengannya di suatu sudut.  Akhirnya aku berjaya memberi hidangan itu kepadanya.

Perempuan tua itu tersenyum dan seolah-olah mengerti bahawa aku membeli kerabu itu untuk di’hadiah’kan kepadanya.  Sambil dia menerima dan mengucap terima kasih, dia merungut-rungut tentang sikap peniaga yang tidak beradab itu, yang sanggup memarahinya di hadapan khalayak ramai.  Banyak yang dirungutkannya dan aku hanya mampu untuk meminta perempuan itu bersabar…

Kisah di atas, menunjukkan kepada kita bagaimana memberi dan menerima akan berlaku dalam situasi yang sama.  Apabila meniaga itu memberi kemarahan kepada perempuan itu, maka kemarahan juga akan pulang kepadanya (walaupun perempuan itu tidak mampu untuk memarahi peniaga itu secara berdepan).  Bagaimana agaknya jika peniaga itu menunaikan permintaan perempuan itu dengan menjual kerabu itu dengan harga RM2?  Peniaga itu mampu untuk melakukannya, cuma kurangkan kuantiti kerabu itu daripada dua senduk kepada satu senduk dan jualkan sahaja dengan harga RM2, pasti kemarahan tidak akan berlaku dalam situasi ini.

Cuba kita fikirkan keadaan ini sejenak.  Memang semua orang sudah maklum, harga barangan sekarang memang sangat tinggi.  Keadaan ini membuatkan jualan RM2 untuk satu hidangan sudah tidak releven.  Namun perbuatan peniaga itu memarahi dan menghina perempuan itu sudah cukup keterlaluan.  Apa yang dapat aku simpulkan adalah, kemarahan yang diberikan telah mengundang kemarahan yang lain datang kepadanya.  Pertama, kemarahan daripada perempuan itu, dan kemarahan serta rasa tidak senang daripada pelanggan lain yang ada di situ pada ketika kejadian.  Bagi aku sendiri, rasa cukup marah dan tidak senang dengan peniaga yang biadab itu.  Lantaran itu, pasti terdetik dalam hatiku untuk memboikot gerai itu selepas ini.  Jika ada 10 orang yang ada di kawasan itu dan menyaksikan keadaan ini, dan 5 daripada mereka (pastinya termasuk aku) memboikot, pasti gerai itu sudah kehilangan 5 orang yang akan datang membeli di gerainya pada hari yang mendatang.

Itulah keadaannya, apa yang kita beri, kita akan menerimanya kembali….

3 ulasan:

  1. Ya Allah...sedihnya baca kisah neh..hampir hendak mengalir air mata ,kesian perempuan tua itu...n terharu KM sudi tolong dia...

    memang tak patut la peniaga itu,kalau dia hati baik dan ikhlas, apa salahnya sedekahkan untuk wanita perempuan tua itu, beza hanya seringgit ja pun...tak suka juga peniaga macam tu...ini la manusia, macam2 ragam ada...

    BalasPadam
  2. Ye, itulah yang KM nak sampaikan; sedekah.
    Dengan bersedekah, maka dia telah memberi sesuatu yang baik kepada orang lain, akhirnya kebaikan yang akan diterima kembali; pahala, rasa kepercayaan, dan yang paling penting adalah doa kemurahan rezeki daripada perempuan tua itu kepadanya.

    BalasPadam
  3. amat tamak peniaga itu kan....sangat tidak bertimbang rasa..trime kasih atas entri nie..byk beri pengajaran kpd kita

    BalasPadam