Isnin, 1 Ogos 2011

Ibarat Padi Masak…

Salam kasih sayang buat semua…

Kata pepatah; Jadilah seperti padi, kian berisi kian menunduk, jangan seperti lalang, kian panjang kian menegak.

Pepatah ini menggambarkan keadaan padi dan lalang, dan perlambangannya kepada kedudukan manusia dalam kehidupan ini.  Padi adalah sesuatu yang memberi kegunaan makanan kepada manusia, manakala lalang pula hanya menyemakkan mata (pun begitu, lalang tetap ada gunanya….)

Digambarkan lagi, dengan sifat yang memberi kebaikan kepada manusia, namun padi tetap menunduk.  Tidak seperti lalang yang kian lama kian panjang dan menyusahkan orang untuk lalu lalang di kawasan itu, tambahan pula lalang mencemarkan pemandangan.

Pepatah ini sangat sesuai untuk kugambarkan kepada seorang lelaki berhemah yang aku kenali, Tn Hj Ahmad Tarmidi.  Beliau merupakan seorang pegawai berpangkat tinggi di jabatanku.  Kisah berlaku di depan mataku betapa hebatnya keperibadian lelaki ini yang sangat ‘menunduk’ walaupun punyai ketinggian jawatan.

Dua minggu yang lalu, sewaktu aku bertugas di padang C Pertandingan Kawad Kaki Negeri, Tn Hj Ahmad Tarmidi telah datang sebagai pemerhati.  Beliau hanya berpakaian biasa dan berlagak seperti penonton biasa.  Kepada yang mengenalinya, beliau menegur dan melemparkan senyuman.  Ada yang mengambil peluang bersalaman dengannya. 

Pada ketika itu, keadaan padang kawad masih belum sedia sepenuhnya.  Keadaan ini adalah kerana terdapat beberapa lopak air bertakung di kawasan dataran kawad itu akibat hujan lebat pada malamnya.  Beberapa orang petugas (pelajar sekolah) dibantu oleh guru yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan persiapan tempat sedang menolak air agar dapat diratakan, supaya mudah kering dek terik mentari.  Pada ketika itulah, dengan selambanya, Tn Hj Ahmad Tarmidi turut merapati pasukan pelajar tersebut dan sama-sama membantu menolak lopak-lopak air tersebut.

Apabila terpandang sahaja keadaan itu, maka berpusu-pusulah orang bawahannya datang mendekat dan sama-sama menolak air.  Mungkin kerana malu atau tak sangka bahawa seorang lelaki yang berjawatan Ketua Unit di jabatan sanggup untuk memegang penyapu dan sama-sama melakukan kerja tersebut…

Aku yang pada ketika itu duduk di meja urusetia, sedang menguruskan pendaftaran pasukan yang baru hadir melapor diri.  Aku sendiri merasa terkesima dengan keadaan itu.  Dalam hatiku terdetik bahawa inilah lelaki yang sangat tinggi hemah dirinya, yang sanggup meletakkan jawatan tingginya di tepi dan sama-sama berada di bawah untuk membantu apa yang termampu.

Ibarat padi masak….mampukah kita menjadi sepertinya..?

5 ulasan:

  1. salam ramadhan..

    sebenarnya ila mmg suka pegang prinsip ini...biarla kita ikut seperti resam padi...makin berisi makin menunduk..

    tapi kita manusia kadang2 lalai dan alpa..kita lupa nak merendah diri ataupun "lupa daratan"

    ;-)

    BalasPadam
  2. Kalu cik hani pun mesti terkesima tengok lelaki yang sangat tinggi hemah dirinya sanggup meletakkan jawatan tingginya kat tepi dan sama-sama berada katbawah untuk membantu apa yang termampu.

    BalasPadam
  3. salam KM....

    ila nak pinjam pepatah ne yer...

    minta share ye.hehe

    BalasPadam
  4. Cik Hani...
    Lelaki seperti ini memang masih wujud, namun bilangannya teramatlah sedikit pada zaman ini. Semoga cik Hani akan bertemu dengan lelaki berhemah seperti ini suatu hari nanti...

    BalasPadam