Isnin, 29 Mac 2010

Senyuman

Setiap masa manusia akan mengeluarkan tenaga (energy). Hukum fizik dan hukum alam telah menetapkan bahawa setiap molekul akan bergetar dan getaran itu berlaku dalam setiap saat mengikut tenaga yang dibebaskan. Sebab itu apabila kita berasa riang, maka 'getaran' perasaan yang terhasil berbeza dengan perasaan semasa kita berasa sedih. Walaupun ada yang kita lihat seseorang itu gembira sehingga mengalirkan air mata, namun perasaan semasa mengalirkan air mata itu berbeza sama sekali dengan perasaan mengalirkan air mata semasa sedih.

Senyuman adalah salah satu perlakuan manusia. Getaran tenaga yang berlaku dalam senyuman akan membuatkan manusia akan berasa tenang, riang, gembira, bahagia, dan damai. Getaran itu akan berterusan selama mana manusia menguntumkan senyumannya.

Apa yang lebih penting adalah konsep tenaga yang dibebaskan.
Semasa manusia mengalirkan tenaga senyum ke alam semesta, getaran senyuman itu akan menarik lebih banyak getaran yang sama menghampirinya. Oleh itu lebih banyak senyuman akan mendekati orang yang memberikan senyuman. Hal ini memang tidak dapat disangkal lagi kerana jika kita memberikan senyuman kepada orang lain, pasti senyuman itu bersambut dan dibalas dengan senyuman juga. Dalam hal ini, orang yang memberikan senyuman akan menerima balik senyuman itu daripada orang lain. Namun ada juga yang berlaku apabila senyuman itu tidak berbalas, tetapi hal ini adalah sedikit sahaja dan mungkin ada perkara lain yang berlaku yang menyebabkan senyuman tidak berbalas.

Keadaan memberi senyuman dan menerima senyuman ini adalah merupakan contoh jelas tentang getaran frekuansi yang dibebaskan ke alam semesta menarik balik getaran yang sama menghampiri kita. Bayangkan jika kita mempraktikkan hukum ini kepada perkara lain seperti menarik kekayaan. Lepaskan getaran frekuansi kekayaan, maka frekuansi kekayaan itu akan hadir kepada kita dan menjadi milik kita nanti.

Dalam Islam sendiri sering dianjur memberikan senyuman. Rasulullah pernah bersabda berkenaan dengan memberi sedekah, dan ada sahabat yang mengadu tidak memiliki apa-apa untuk diberikan kepada orang lain sebagai sedekah. Lantas Rasulullah menganjurkan berikan senyuman kerana senyuman adalah sedekah rohani kepada sahabat kita. Senyuman yang ikhlas akan membuatkan sahabat kita merasa tenang dan damai. Itulah yang dinamakan sedekah rohaniah yang diberikan kepada orang lain.

Senyum dapat menarik hukum senyuman yang sama menjadi milik kita.
Senyum adalah sedekah rohani kepada sahabat.
Senyum akan membuatkan kita berasa tenang dan damai.
Senyum akan menguatkan hubungan persahabatan.
Senyumlah...
Senyumlah...
Senyumlah dengan ikhlas bermula hari ini untuk mendapatkan semua kebaikannya...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan