Sabtu, 13 Mac 2010

Zikir meningkatkan ketenangan

Bagi orang muslim, ibadat seperti berzikir adalah satu cara untuk membentuk ketenangan. Ketenangan yang hadir adalah kerana jiwa berada dalam aman, sejahtera, dan damai pada ketika aktiviti berzikir dijalankan.

Dalam dunia kuasa minda, semasa seseorang itu sedang berzikir, maka getaran gelombang minda yang berlaku pada manusia itu akan menurun ke tahap yang sangat perlahan. Pada ketika ini, jiwa manusia akan sangat tenteram dan menerima apa sahaja saranan yang hadir. Jika pada ketika ini, dalam jiwa manusia mensarankan diri untuk menjadi manusia yang sangat baik, maka setiap perilaku yang berlaku selepas ini akan menjurus kepada kebaikan bagi manusia tersebut.

Pada masyarakat lain seperti orang India, aktiviti yoga adalah contoh yang terbaik untuk menunjukkan ketenangan jiwa. Begitu juga dengan masyarakat Cina yang mengamalkan chi sebagai satu usaha untuk menenangkan jiwa.

Aktiviti berzikir, selain dari menenangkan jiwa, terdapat juga kebaikan lain yang akan berlaku. Ini bergantung kepada niat seseorang semasa melaksanakan aktiviti berzikir tersebut. Apa yang dimaksudkan ialah ganjaran pahala kesan daripada perlakuan zikir tersebut.

Cubalah sentiasa berzikir dalam hati. Mulakan dengan amalan berzikir yang mudah-mudah seperti menyebut berulang kali kalimah ALLAH....ALLAH....ALLAH, kemudian apabila sudah stabil dan terbiasa maka teruskan berzikir dengan kalimah atau ungkapan yang lebih panjang seperti selawat, atau doa-doa pendek yang lain. Pasti ada sesuatu kesan yang baik yang akan berlaku dalam kehidupan diri kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan