Jumaat, 25 Januari 2013

Nikmat Bersyukur…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

Bersyukur, atau mengucapkan terima kasih kepada ALLAH, adalah perkara yang sangat penting dalam membangunkan diri kita.  Dengan adanya rasa bersyukur, kita akan merasa lebih dekat dengan nikmat yang diterima daripadaNya.

Hari ini, KM nak menceritakan sedikit kisah tentang bersyukur.  Cerita ini KM pernah baca di sebuah penulisan blog (maaf, KM tak ingat di mana) dan merasakan ianya sangat sesuai untuk dikongsikan bersama.

Kisah berlaku di sebuah negara yang diperintah oleh seorang sultan.  Sultan ini mempunyai seorang bendahara yang sangat rapat dengannya dan sentiasa bersama walau ke mana baginda berada.  Sultan ini, mempunyai minat memasak, dan baginda memang selalu mencuba pelbagai jenis masakan.

Suatu hari, semasa baginda memasak, jarinya terluka terkena pisau.  Bendahara yang sentiasa bersama dengannya mengucapkan syukur kepada ALLAH.  Keadaan ini membuatkan Sultan ini murka dan mengarahkan bendahara tadi dipenjara.  Memang baginda sangat murka kerana jarinya terluka namun orang kanannya sendiri mengucapkan syukur seolah-olah mempersendakannya.

Beberapa hari kemudian, baginda dan pasukan pemburunya keluar ke hutan untuk berburu.  Semasa mengejar seekor pelanduk, baginda telah terpisah daripada pasukan pemburunya.  Hal ini menyebabkan baginda tersesat di dalam hutan.

Sultan ini akhirnya ditangkap oleh sekumpulan orang asli di hutan itu.  Kebetulan masyarakat orang asli itu sedang membuat persiapan untuk mengadakan persembahan mengikut kepercayaan mereka.  Kononnya, sultan inilah yang akan dijadikan korban untuk dipersembahkan kepada tuhan.

Sebelum menyembelih sultan yang sudah tidak berdaya ini, ketua puak orang asli itu dipanggil untuk membuat penilaian terakhir sama ada korban ini sesuai atau tidak.  Ketua orang asli itu mula memeriksa seluruh tubuh sultan malang itu.  Akhirnya dia terjumpa dengan paruh luka di jari sultan, dan mengarahkan sultan itu dilepaskan kerana kononnya, mengikut syarat persembahan sang korban perlu bersih dari parut dan luka.

Maka Sultan ini dilepaskan dan berjalan mencari jalan keluar.  Akhirnya, dengan kebesaran ALLAH, baginda berjaya sampai semula ke istananya.  Sultan ini mengarahkan bendahara dibebaskan dari penjara.  Bendahara dipanggil mengadap.

Sultan menceritakan kisah baginda ditangkap dan memohon maaf kepada Bendahara kerana baginda mula sedar bahawa kerana lukanya itulah, baginda terselamat daripada menjadi korban persembahan.

Bendahara sekali lagi mengucapkan syukur kepada ALLAH.  Bendahara itu berkata dia bersyukur kerana dipenjarakan oleh sultan atas ‘kesalahannya’ mengucapkan syukur semasa jari sultan terluka.

Bertanyalah sultan kenapa pula dia mengucapkan syukur akibat dipenjara?

Jawab bendahara, memang patut dia merasa bersyukur, kerana akibat dipenjara itulah menyebabkan dia tidak bersama-sama dengan sultan tersebut semasa berburu.  Andai dia bersama-sama dengan sultan pada ketika itu, pasti dialah yang akan menjadi korban kerana dia tidak ada sebarang luka dan parut di tubuhnya.

Para pembaca, bolehkah agaknya kita merasa bersyukur seperti bendahara tersebut?  Yang faham erti bersyukur sebenarnya.  Yang sentiasa bersyukur walau apapun keadaan yang berlaku kepadanya.

Sama-sama kita fikirkan….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan