Khamis, 17 Januari 2013

Hukum Tarikan; suatu penjelasan ~3

Salam kedamaian daripada KM buat semua….

KM sengaja mencatatkan kembali penerangan berkenaan Hukum Tarikan (LOA) dan dinamakan suatu penjelasan ini kerana, ada seorang kawan yang menganggap hukum ini adalah palsu.  Malah, kawan ini mengatakan yang KM terikut-ikut dengan ilmuan barat yang cuba memesongkan akidah.

Pertamanya, KM memohon maaf andai apa yang KM tulis dalam blog ini dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kuasa minda tidak disenangi.  Bukan KM katakan yang kita ini akan dapat apa sahaja melalui minda kita, tetapi itulah sebenarnya yang berlaku.

KM nak imbau kembali tentang persamaan hukum graviti dan hukum tarikan.  Graviti adalah hukum yang ALLAH tetapkan berlaku di bumi ini.  Ia akan menarik apa sahaja mendekatinya.  Lantaran itu, kita tidak akan terapung-apung di awangan.  Graviti akan menarik apa sahaja, tidak kita baik atau buruk.  Andai ada meteor (batuan besar di angkasa) yang menghampiri bumi, ia tetap akan ditarik.  Dan jika batuan itu sampai ke bumi sebelum sempat terbakar di atmosfera, maka pasti bencana besar akan berlaku di bumi.  Pun begitu, ALLAH masih maha kuasa lebih daripada kuasa graviti itu.  Jika ALLAH katakan tidak kepada tarikan graviti, maka pasti batuan besar itu terus terapung dan menjauh daripada memasuki bumi.

Sama juga dengan hukum tarikan.  Hukum ini juga ciptaan ALLAH, bukan ciptaan ahli sains Barat.  Dalam hukum ini, manusia akan menarik apa sahaja yang difikirkan untuk mendekatinya.  Tidak kita perkara itu baik atau buruk, maka pasti ia akan menghampiri kita kerana kita yang menariknya melalui hukum tarikan.  Namun, jika ALLAH katakan tidak kepada apa yang difikirkan, maka pasti ia tidak akan berlaku jua kerana ALLAH lebih berkuasa daripada hukum tarikan.

Penjelasan KM kepada kawan KM yang tidak berpuas hati itu, hukum ini adalah hukum ALLAH.  DIA menciptakannya kepada manusia, dan hanya manusia yang tahu sahaja akan berjaya menggunakan hukum tarikan ini.  Beruntunglah kepada mereka yang telah menguasainya.  Malangnya, rugilah orang yang mempersendakannya kerana sentimen Islam vs Barat.  Bagi KM, kita wajar untuk terus mengkajinya dan mencari jawapan tentang hukum ini, bukan meminggirkannya hanya semata-mata ia telahpun terlebih dahulu dikaji oleh ilmuan dari Barat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan