Selasa, 22 Januari 2013

Visualisasi ~ menetapkan matlamat…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua….

Catatan ini adalah berkaitan catatan yang lalu.  Sebelum melakukan visualisasi, kita harus ada matlamat yang jelas.  Apa yang dimaksudkan dengan matlamat yang jelas?  Maksudnya matlamat itu haruslah realistik dari segi masa, keadaan, dan emosi.

Maksudnya, apa sahaja matlamat impian yang hendak kita capai haruslah sesuai untuk memastikan kita berjaya.  Andai anda hendak menjadi seorang kaya, pastikan impian itu realistik.  Jika seorang pengemis (yang benar-benar pengemis, bukan ‘pengemis’ yang menyamar menjadi pengemis) berimpikan untuk menjadi kaya, adakah ia realistik?  Namun, jika seorang peniaga berimpikan untuk menjadi kaya, pasti ia boleh dicapai.  Seorang pengemis (bukan untuk menghina) pasti tidak realistik untuk menjadi kaya kerana dalam kehidupannya hanya meminta-minta untuk mendapatkan sesuap makanan untuk diri dan anaknya.  Mungkin, dengan kehendak ALLAH ia tetap akan jadi kaya andai ada ‘rezeki dari langit’ contohnya terjumpa dengan barang berharga dan sebagainya.  Namun, kita bukan berbicara tentang andaian, kita perlu berbicara tentang realistik.

Matlamat yang realistik adalah matlamat yang sesuai dengan kehidupan, kemampuan, dan usaha.  Seorang pekerja biasa tidak perlu untuk meletakkan matlamat mengambil alih syarikat tempat dia bekerja, andai secara realitinya dia sendiri seorang yang pemalas, tidak berdisiplin, tidak produktif, dan pelbagai kerenah negatif lain.  Pasti sahaja impiannya untuk memiliki syarikat itu tidak realistik kerana dalam mindanya sendiri penuh dengan kegagalan, mana mungkin dia menetapkan impian yang sebegitu besar.

Contoh :

Seorang pelajar berimpian berjaya cemerlang dalam peperiksaan SPM dengan mendapat 10 A.  Impian itu ditetapkan sejak dia berada di tingkatan 4 lagi.  Dia yakin impian itu realistik kerana masa yang panjang untuk berusaha dan belajar dengan tekun, keadaan yang sesuai untuk mencapai kejayaan itu kerana rajin berusaha dan berbincang dengan gurunya, dan emosinya sangat ‘seronok’ untuk mendapatkan kejayaan itu.

Tetapi, jika seorang pelajar yang sangat malas, menetapkan matlamat untuk mendapatkan 10 A, dan masa yang dia ada hanya tinggal seminggu sebelum SPM bermula, anda rasa adakah visualisasi akan berjaya? 

Hal inilah yang KM nyatakan bahawa matlamat harus realistik!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan