Isnin, 28 Februari 2011

Kemarahan…Di mana nilai kewarasan?

Salam penuh keceriaan…(jangan marah-marah hari ini)

marah Gambar daripada internet

Anda pernah marah?  Saya mengaku setulusnya yang saya pernah marah.  Sebagai manusia biasa yang punya keinginan tersendiri, pasti wujud rasa marah apabila keinginan itu diganggu.  Namun, sebagai manusia, kita juga dilengkapkan dengan akal dan fikiran.  Pada akal dan fikiran inilah terletaknya kewarasan untuk membuat penilaian kembali tentang kemarahan itu.

Apa yang kuceritakan ini bukan untuk memburukkan sesiapa kerana tiada nama orang dan tempat sebenar digunakan.  Apa yang kuceritakan ini juga semata-mata untuk menjadi bahan agar kita dapat memikirkan situasi ini pada diri kita….

Kita mungkin biasa melihat orang marah.  Kita mungkin biasa melihat orang bergaduh.  Kita mungkin biasa melihat ORANG LELAKI bertumbuk.  Namun, kejadian baru-baru ini adalah kejadian ORANG PEREMPUAN ‘bertumbuk’ yang berlaku di hadapan mataku.  Bukan seksis kepada jender (lelaki bertumbuk takpe, kalau perempuan je mula rasa pelik), BUKAN!  Namun cuba selami dahulu situasi yang ingin aku ceritakan ini.

Apa yang aku lihat ketika itu bermula dengan serang mulut daripada Kiah (bukan nama sebenar) kepada Mah (juga bukan nama sebenar).  Serangan mulut itu dijawab dengan lembut dan selamba oleh Mah.  Hal ini telah meningkatkan lagi api kemarahan di dada Kiah.  Kiah mula menjerit-jerit menyatakan kebenciannya kepada Mah.  Pada ketika ini aku sudah menjangkakan bahawa Kiah sudah ‘kurang waras’nya kerana kemarahan yang menyelubunginya.  Dan hilangnya kewarasan itu membuatkan Kiah menerkam Mah dan mencekiknya.  Mah terlentang ke belakang dan Kiah terus menerkam dan mencekik mangsanya lagi sambil menggoncang-goncangkan tubuh lawannya.  Mulutnya tidak berhenti bertempik tentang kebenciannya.

Pada ketika ini beberapa orang yang lebih hampir dengan kedua-dua yang sedang bergelut itu cuba meleraikan pergaduhan.  Namun ternyata kekuatan Kiah tidak mudah dileraikan.  Beberapa orang yang lain terus memberi bantuan dan tiba-tiba Kiah pengsan.  Semua yang berada di situ dan yang lalu lalang di kawasan itu terus merapat untuk melihat kejadian sebenar.  Mah telah dibawa pergi oleh seseorang, mungkin untuk menyembunyikannya daripada Kiah, atau mungkin dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan.  Kiah pula terus pengsan sambil beberapa orang mula memberi bantuan untuk memulihkannya.

Beberpa ketika kemudian, Kiah mula sedar.  Perkara pertama yang ditanya ialah ‘Mana Mah?!’  Jelas sekali api kemarahannya masih belum padam.

Kiah telah ditanya oleh seorang lelaki yang dihormati di kawasan itu tentang punca masalah, mungkin untuk diselesaikan.  Namun Kiah menceritakan tentang Mah yang bertindak mencekiknya.  Ketika bercerita, pandangan Kiah kosong, hanya terus memandang ke hadapan.  Pandangan yang tiada makna.  Dia seperti ‘hilang ingatan’, namun kadang kala sedar kembali.  Kiah akhirnya dibawa ke hospital.  Apa yang berlaku kepada mereka berdua, tidak aku ketahui selepas kejadian itu.

Kenapa aku menceritakan semua ini?  Ingin aku tegaskan lagi bahawa aku tidak bersikap seksis dalam situasi ini.  Namun apa yang berlaku sangat memalukan.  Pertama, ia berlaku di kawasan terbuka yang boleh dilihat oleh sesiapa.  Kedua, aku tahu mereka berdua orang yang bukan sebarangan kerana pakaian mereka sedikit mewah berbanding orang biasa.  Ketiga, ketika mereka ‘bergelut’ tersingkap pakaian mereka di sana sini, hingga tidak sanggup aku nyatakan di sini.  Segalanya menunjukkan kemarahan yang amat sangat sehingga mereka tidak memperdulikan situasi sekeliling mereka.

Lihatlah, bagaimana kemarahan boleh menghancurkan kewarasan.  Jadi, di mana otak dan fikiran kita yang boleh menilai sama ada perkara itu baik atau buruk, sama ada perkara itu boleh atau tidak kita lakukan, sama ada perkara itu wajar atau tidak?  Segalanya sudah hilang kerana kemarahan menyebabkan fungsi otak tersekat.  Segalanya berlaku kerana kemarahan itu dibiarkan merebak dan memuncak.

Lantaran itulah kita dianjurkan untuk mengawal kemarahan itu daripada merebak.  Jika kita marah dan ketika itu kita sedang berdiri, maka duduklah.  Jika sedang duduk, maka berdiri.  Jika tidak berjaya, segeralah mengambil wuduk, beristighfar dan bersolat.  Pasti kemarahan akan berjaya dikawal. 

Akal dan minda kita adalah yang paling hebat, namun ia mampu ditewaskan oleh NAFSU…

6 ulasan:

  1. fuhh.. teringin nak tengok perang mulut tu.. mesti besttt

    BalasPadam
  2. MDT takut kalau org nak marah tiba2..sbb tak suka lah nak cari gaduh, tapi kalau org tu yg saje cari pasal sampai membabitkan keluarga memang nak cari nahas la tu..

    BalasPadam
  3. As salam...

    Saya xde masalah kawal nafsu makan..
    Xde masalah gak kawal rase mengantuk..
    Tapi bab marah,memang SUSAH sgt nak kawal..
    Walaupun saya jarang marah,tapi bila dtg rase marah tu memang BOM trus la...Pastu bila sedar baru nyesal...

    BalasPadam
  4. -GC-...

    Tak best pun, memalukan je...

    BalasPadam
  5. Cik Shinju....

    Biasanya macam tu le, bila dah meletup memang tak ingat apa dah...

    Tapi bila dah 'sedar' semula, baru le menyesal. Itulah kelemahan kita semua. Harap kita semua akan terus dapat mengawal kemarahan dalam diri kita semua...

    BalasPadam