Isnin, 18 Julai 2011

Tertekan…?

Salam kasih sayang buat semua…

Kepada pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah, yang bakal menghadapi peperiksaan percubaan tidak lama lagi; semoga berjaya dengan cemerlang, dan JANGAN TERTEKAN…!

tertekan

Kenapa aku membangkitkan tentang tertekan?

Semalam, seperti biasa aku mengadakan kelas tambahan.  Almaklum, anak-anak FELDA di tempat ini memang memerlukan kelas tertentu.  Bukan bermaksud kelas di sekolah tidak mencukupi hingga perlu di tambah pembelajaran mereka ke kelas malam, bukan begitu.  Tetapi situasi di kelas tambahan berbeza.  Jika dalam kelas mereka ada 35 orang murid yang perlukan perhatian seorang guru, namun dalam kelas tambahan mereka hanya 15 orang bersama dengan seorang guru.  Lantaran itu kelas tambahan menjadi ruang untuk menambahkan maklumat dengan lebih berkesan.

Semasa kelas tersebut, aku dapat mengesan perubahan seorang daripada muridku.  Dia mendiamkan diri, termenung, dan tidak ceria.  Aku menegur perubahan sikapnya itu dan bertanya apa yang sudah berlaku?  Biasanya jika keadaan seperti ini berlaku bermaksud remaja itu ada masalah.

Murid itu menyatakan yang dirinya tertekan kerana peperiksaan semakin hampir.  Lantas aku bertanya lagi; apa yang menyebabkan dia merasa tertekan kerana peperiksaan tersebut?  Murid itu menjawab; takut untuk menghadapi peperiksaan kerana bimbang tidak dapat menjawab dengan baik, sekaligus tidak berjaya mencapai kejayaan dalam peperiksaan tersebut.

Nah, di sinilah masalahnya!

Kita sering takut dan terganggu kerana sesuatu perkara yang kita sendiri tidak pasti.  Sebagai contoh, dalam situasi di atas, adakah kita memang pasti soalan yang bakal kita hadapi nanti memang tidak dapat kita jawab?  Mana mungkin kita sangat pasti bahawa tidak dapat menjawab soalan itu sedangkan kita sendiri tidak tahu apakah soalan yang akan diterima?

Lantaran kerana memikirkan sesuatu yang tidak pasti, dan fikiran yang digunakan adalah melalui medium negatif, maka ia akan membuatkan pemikiran kita menjadi terganggu.  Hal inilah yang dikatakan ‘tertekan’ di kalangan murid dan pelajar yang akan menghadapi peperiksaan.

Jauhkan rasa tertekan itu.  Kita perlu menyelesaikan situasi tegang ini dengan lebih berhemah.  Perkara pertama, jangan fikirkan negatif seperti tidak dapat menjawab soalan.  Seharusnya kita mencari jalan untuk dapat menjawab soalan itu dan bukannya berfikir tentang tidak dapat menjawabnya.

Perkara kedua, sentiasa bertenang.  Keadaan tenang dalam diri akan menyebabkan jumlah oksigen yang disedut mencukupi dengan keperluan.  Ini membantu degupan jantung yang tenang jua, aliran darah dapat bergerak dengan tenang jua, dan minda akan dapat berfikir dengan sangat tenang.  Oleh itu, cuba bertenang.

Perkara ketiga, jangan fikirkan masalah, sebaliknya fikirkan jalan penyelesaian.  Dalam hal ini, jika anda merasa takut tidak dapat menjawab soalan, jadi bersiap sedialah untuk memantapkan minda anda dengan kaedah menjawab yang betul.  Apabila anda merasa sangat bersedia, maka tiada lagi rasa takut, gusar, dan rasa tertekan untuk menghadapi peperiksaan kerana anda merasa sudah bersedia.

2 ulasan:

  1. ye..hidup ni memang sentiasa ada cabaran dan dugaan. kita sendiri hendakla kuat dalam menghadapi setiap yg mendatang.

    BalasPadam
  2. FitriSenin...

    Betul pandangan itu. Apa yang penting, sama ada berjaya atau gagal semasa kita mengharungi cabaran itu, kita akan tetap mendapat pengajaran yang dinamakan pengalaman hidup...

    BalasPadam