Salam kedamaian buat semua…
Jika dalam catatan yang lalu aku berbicara tentang tekanan yang dirasakan oleh murid atau pelajar sekolah yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi, maka pada catatan kali ini aku hendak bicarakan tentang harapan pula.
Apakah harapan? Harapan adalah keinginan, kehendak, permintaan dalam diri, dan sesuatu yang dihajatkan untuk benar-benar berlaku. Jika kita selidiki apakah itu harapan maka kita akan memahami bahawa ia sangat penting dan mendalam, yang diimpikan oleh seseorang.
Kebetulan pada malam tadi ada sedikit majlis solat hajat dan bacaan yasiin di sekolahku. Kehadiran ibu bapa bersama dengan anak-anak mereka memang sangat menggalakkan. Selepas sesi bacaan yasiin, ada sedikit ruangan tazkirah yang membicarakan tentang harapan ini. Aku sangat tertarik dengan apa yang disampaikan itu dan merasakan kita semua harus mempraktikkannya.
Kata motivator yang menyampaikan tazkirah itu;
“Kita semua mahukan kejayaan anak-anak kita, namun pernahkah kita menyatakannya…? Ada sesetengah ibu bapa yang menghantar anak setiap hari, namun hanya sekadar menghantar dan mengambilnya pulang. Tetapi kita tidak pernah menaruh apa-apa impian dan harapan tentang masa depan anak itu.”
“Kita seharusnya menyatakan apa yang kita mahukan. Contoh, anakku Azhar, besar nanti ayah nak kamu jadi doktor… Ini adalah harapan ibu bapa yang disampaikan dan diberitahu kepada anak semasa menghantarnya ke sekolah. Harapan ini nanti akan memberi satu kesan yang sangat mendalam ke dalam diri….”
Ulasan;
Apabila ibu bapa, atau seseorang yang rapat dengan kita menyatakan impiannya, dan dinyatakan berulang kali, (bukan hanya sekali atau dua kali tetapi berulang kali tanpa jemu), maka sedikit demi sedikit ia mula membentuk jaringan dalam minda, antara orang yang menyatakan impian itu dengan orang yang menerima pernyataan itu.
Bayangkan, seorang anak yang agak malas belajar, jika datang ke sekolah sekalipun hanya untuk bermain dan bertemu dengan rakan sebaya….Andainya si bapa yang menghantarnya ke sekolah setiap hari mengungkapkan harapannya itu setiap hari kepada si anak (semasa bersalaman atau semasa menghulurkan duit belanja), maka lama kelamaan ia akan membentuk jaringan minda antara anak dengan bapa tersebut. InsyaALLAH, ada ketikanya, akan ada kesedaran yang diberi dan dikurniakan kepada anak itu dan dia akan berubah menjadi murid yang lebih baik untuk mengejar cita-citanya dan menjayakan impian bapanya.
Minda manusia bersifat frekuansi. Oleh itu, ibu dan bapa harus mencari frekuansi yang sama dengan frekuansi anak untuk mendapatkan ‘siaran’ yang sama. Apabila siaran itu sama, barulah kita dapat mendengar lagu yang sama. Bagaimana hendak mendapatkan frekuansi yang sama itu? Caranya haruslah berterusan mencari, bukan hanya sekadar membuka radio dan terus berharap mendapat siaran… Teruskan mencari frekuansi yang sama, pasti kita akan berjaya mendapat siaran itu dengan lebih jelas dan sedap didengar…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan