Ahad, 24 Julai 2011

Semangat Jangan Dibiarkan Jatuh…

Salam penuh kebahagiaan…

Semalam Julai 23, selesailah sudah tugas aku sebagai salah seorang hakim kawad kaki negeri.  Banyak kenangan manis yang mungkin dapat aku kongsikan di sini.  Tapi untuk catatan kali ini, aku ingin berbicara tentang semangat.

Apabila melihat semua pasukan yang terpilih dari daerah masing-masing dan berkumpul di sini untuk pertandingan, aku menjadi sangat teruja.  Keterujaan aku itu kerana aku sangat memahami bahawa semua pasukan pastilah pasukan yang terbaik di daerah dan berkumpul untuk mencari yang paling terbaik di kalangan semua pasukan.  Pastinya mereka sudah gigih dan giat berlatih paling kurang sebulan untuk bertanding dalam jangka masa hanya 15 minit pertandingan.  Apa yang paling penting, semua pasukan pasti sahaja mahu menunjukkan persembahan kawad yang paling menarik, terutama kepada para hakim.

Namun ada satu situasi yang dapat aku perhatikan dengan jelas.  Ada antara mereka masih belum cukup ‘kuat semangat’.  Dalam bidang sukan sekalipun, faktor permainan psikologi memang memberi kesan kepada pesaing yang lain.  Contohnya dalam perlawanan bola sepak, jika pasukan lawan bersaiz besar, mempunyai nama, dan berpakaian yang hebat, pasti sedikit sebanyak akan mempengaruhi semangat pemain.  Begitu juga dengan apa yang dapat aku saksikan di kalangan pasukan yang bertanding tadi.

Situasi 1; pasukan tidak dapat melakukan persembahan dengan baik, ada sahaja kesalahan yang dilakukan.  Ini berpunca daripada sorakan gangguan daripada pasukan lain yang menonton persembahan mereka.  Bagi aku, ini adalah perkara biasa.  Biasa apabila sekumpulan remaja lelaki menjerit dan mengusik sekumpulan gadis manis, itu adalah biasa (selagi tiada gangguan kata kesat atau sentuhan fizikal).  Aku katakan biasa kerana mereka semua remaja yang memang suka mengusik gadis manis.  Masalahnya sekarang, pasukan perempuan kelihatan sedikit terganggu dengan sorakan, hingga menyebabkan persembahan mereka agak gugup.

Situasi 2; hujan mengganggu persembahan.  Ini berlaku kepada kedua-dua gender.  Pada awal pagi pertandingan, cuaca sangat baik.  Namun berbeza di sebelah petang.  Hujan mula turun renyai-renyai.  Tetapi pertandingan tetap diteruskan.  Ada satu pasukan perempuan yang memulakan persembahan kawad semasa hujan renyai dan menjadi semakin lebat semasa pertengahan kawad mereka.  Pada mulanya, semuanya berjalan lancar, namun apabila hujan makin lebat, persembahan mereka juga terganggu.  Aku sangat bersimpati.

Situasi 3; kesalahan kecil menyebabkan kesalahan yang lebih besar.  Perkara ini berlaku pada satu pasukan lelaki.  Pada mulanya, aku menjangkakan merekalah yang akan menjadi juara.  Ini berdasarkan susuk tubuh mereka yang sama paras, tidak seperti pasukan lain yang mempunyai campuran pelbagai saiz dalam satu pasukan.  Persembahan pasukan ini juga lancar dan tepat.  Namun ada satu situasi, kerana kesalahan arahan daripada ketua platun menyebabkan pasukan ini terkeluar sedikit dari gelanggang (markah dipotong jika hal ini berlaku).  Pasukan aku lihat sudah mula goyah.  Semuanya serba tidak menjadi selepas itu.  Keadaan jadi kacau…

Semua situasi ini menunjukkan mereka mudah goyah.  Semangat mereka jatuh apabila ada ganngguan atau terganggu dengan situasi tertentu.  Mungkin faktor usia remaja mereka menyebabkan semangat mereka masih belum kental.  Justeru, untuk menjadi pasukan yang lebih berjaya, kita bukan hanya sekadar menyiapkan kehebatan daripada fizikal sahaja, malah turut menjadi keutamaan adalah dari segi mental.

Apabila sebut berkenaan mental, semuanya ada pada minda manusia.  Minda manusia yang hebat ini boleh dilatih dan diperkukuhkan sama seperti melatih fizikal manusia.  Malah, dengan adanya minda yang hebat, kita pasti berjaya mengawal situasi cabaran yang ada.  Semangat menjadi lebih hebat dan kukuh.  Setiap pekerjaan akan menjadi lebih produktif dan bermakna.  Kuasai minda, pasti kita akan dapat menguasai keadaan….

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pagi ini aku akan melapor diri di PUSAKO untuk aktiviti kejurulatihan pendidikan luar.  Seminggu aku berada di sana.  Moga aku berjaya pulang dengan kejayaan dan dapat menulis semula nanti…

1 ulasan:

  1. semoga berjaya...

    baca entry ini untuk tajamkan minda...hehe...

    BalasPadam