Ahad, 5 Jun 2011

Melihat dan Percaya…~2

Salam kasih sayang daripadaku…

Pernah ke pasar malam?  Pernah melihat kehebatan dan kepetahan orang menjual ‘ubat kuat’?  Atau orang bermain dengan ular yang begitu dan begini?  Jika pernah, apakah reaksi anda dan orang-orang lain di sekeliling yang turut sama mengerumuni si petah berkata-kata itu?

Aku pernah berada di kawasan dan lokasi orang yang menjual ubat kuat ini hampir setengah jam.  Bukan kerana aku berminat untuk membeli ubat kuat tersebut, tetapi sebaliknya memerhatikan si penjual ubat dan gelagat orang yang datang mendengar hebahannya tentang sesuatu.  Memang, jangka masa setengah jam itu tidak cukup lama, berbanding dengan si penjual ubat yang mampu  berpidato hampir 3 atau 4 jam tanpa henti untuk mempromosikan ubatnya.  Namun, seperti yang aku katakan tadi, aku di situ bukan untuk membeli ubat sebaliknya hanya untuk memerhati.

Perhatikan, jika si penjual ubat ada di kawasan anda, pasti dia berjanji untuk menunjukkan sesuatu.  ‘Sesuatu’ itu sangat istimewa, dan dia mendapatkannya juga dengan cara yang sangat istimewa, dan dia hanya akan menunjukkan ‘sesuatu’ itu setelah dia menjelaskan tentang kehebatan ubat yang dibawanya pada malam itu.  Maka si penjual ubat pun mulalah bercerita tentang keunikan dan kehebatan ubatnya.  Namun apabila dia menyedari orang mula meninggalkan lokasinya, dia akan membuka semula cerita tentang ‘sesuatu’ tadi.  Dia mula membuka sedikit rahsia ‘sesuatu’ itu seperti jelmaan daripada roh terdahulu.  Cuba perhatikan, orang ramai tidak jadi pula meninggalkan kawasan itu kerana berhasrat menunggu lagi, dengan harapan mungkin ‘sesuatu’ itu sudah hampir dipamerkan.  Maka berterusanlah menunggu di situ.  Hal ini kekadang berlaku beberapa kali.  Malah ada yang bertekad meninggalkan kawasan itu dan kemudian datang kembali untuk melihat sama ada ‘sesuatu’ itu sudah dipaparkan atau belum.

Perhatikan situasi ini…

Apa yang menarik perhatian orang ramai bukan sekadar kepada ubat yang dijaja oleh si penjual ubat.  Sebaliknya apa yang sangat rahsia yang ingin ditunjukkan oleh si penjual ubat.  Rahsia itu ada kaitannya dengan penghasilan ubat yang dikatakan sangat mujarab itu.  Rahsia itulah yang sangat menarik perhatian orang ramai.

Di sinilah letaknya melihat dan percaya.  Apabila mereka berada di situ, mereka masih belum percaya tentang keunggulan ubat tersebut.  Namun mereka dijanjikan untuk diperlihatkan tentang sesuatu yang unik yang ada kaitan dengan ubat tersebut.  Andai dipaparkan dengan sebiji batu yang mengeluarkan cahaya berkilau-kilau, dan batu itu pula sangat unit dengan mengeluarkan bunyi dengungan apabila didengar dengan penuh perhatian.  Apa yang akan berlaku?  Pasti sahaja ubat jualan itu akan laris seperti pisang goreng panas.  Laris bukan kerana ubat, tetapi kerana si penjual ubat memperlihatkan sesuatu yang berjaya meningkatkan kepercayaan orang ramai kepada ubat tersebut…

Dalam hal ini, apabila kita melihat sesuatu yang sangat mengagumkan, maka kita akan membentuk satu kepercayaan dalam diri tentang orang yang memilikinya atau sesuatu yang ada kaitan dengannya.  Jika ada mudah dipengaruhi dengan kaedah ini maka anda perlu lebih berhati-hati…

Satu contoh mudah sebagai penutup.

Andaikan anda (perempuan) meminati Lisa Surihani.  Minat anda kepadanya kerana kecantikannya, keayuannya, cara percakapannya, dan sebagainya.  Maka berminatlah anda kepada si Lisa yang cantik rupawan itu dengan penuh perasaan.  Tiba-tiba anda terlihat satu iklan baru di televisyen, produk kecantikan…!  Dan yang lebih mengujakan adalah Lisa Surihani ialah model yang dikatakan telah menggunakan produk tersebut dan terbukti berkesan, dalam hanya 2 minggu je….

Pada ketika ini, melihat dan percaya berlaku dalam minda.  Melihat dengan mata menunjukkan betapa cantiknya Lisa dalam iklan itu.  Lisa tu memang dah cantik, tapi dalam iklan tu semakin cantik.  Dan anda mula membentuk kepercayaan dalam minda bahawa produk itu mampu untuk menjadikan anda secantik Lisa….

Fikir-fikirkan…

7 ulasan:

  1. adakah anda juga minat Lisa? Tettt! hehe :P

    BalasPadam
  2. Saya plak jenis manusia yg susah nak percaya...
    bagus atau x bagus camtu?

    BalasPadam
  3. Sarah...

    Lisa? Minat? Heheheh...dia yang minat kat saya.
    ;)

    BalasPadam
  4. Cik Shinju...

    Bagus atau tidak, itu adalah perkara subjektif. Ada ketika, ia menjadi bagus, dan ada ketika ia menjadi tidak bagus. Bergantung kepada situasi dan keadaan bagaimana berlaku.
    Apapun, percaya atau tidak, kita kena menilaikannya dengan sebaik mungkin dari segi baik buruk kepada kita...

    BalasPadam
  5. ubat kuat??? wujud lagikah ubat tuh?? hahaha.....manusia memang cepat terikut dengan gaya yang cantik mata memandang....juga mudah mempercayai pada sesuatu benda bila di matanya itu UNIK...lumrah lumrah..hehehe

    BalasPadam
  6. saya macam cik shinju jugak. susah nak percaya. kalau saya cuba sendiri baru saya percaya. heheh~

    BalasPadam
  7. aa susah nk percaya ubat2 ni..biaarla modelnya secantik mana pun..huhu

    BalasPadam