Selasa, 8 Jun 2010

Visualisasi

Ada yang bertanya kepadaku;
"Perlukah kita melaksanakan visualisasi?"
Jawapanku;
"PERLU!"
Visualisasi bukan hanya sekadar angan-angan kosong. Visualisasi adalah satu gambaran mental yang kita laksanakan untuk menunjukkan apa yang sebenarnya kita mahukan. Dengan melaksanakan visualisasi secara betul, apa yang kita impikan, dan usahakan untuk mendapatkannya akan tercapai dengan lebih mudah.
Contohnya, jika kita mengidamkan sebuah kereta Honda, kita mungkin akan melaksanakan apa sahaja usaha untuk mendapatkannya. Bermula dengan mengumpulkan wang pendahuluan untuk mengeluarkan kenderaan tersebut, sehinggalah membayarnya setiap bulan. Memang itu benar akan berlaku walaupun tanpa visualisasi. Namun, jika setiap tindakan itu disertai dengan visualisasi, maka pasti kereta Honda yang kita impikan itu akan menjadi kenyataan dengan lebih cepat dan mudah.
Namun, cara untuk 'menarik' kereta Honda itu untuk menjadi milik kita haruslah betul.
Lakukan visualisasi 2 kali sehari, sekurang-kurangnya 5 minit setiap sesi.
Gambarkan dengan tepat dan jelas kereta idaman kita itu, dari segi warna, bentuk, suasana di dalam kereta apabila kita menaikinya, malah cuba membina imaginasi seolah-olah kita mampu untuk menghidu bau 'kereta baru' kita itu. Itulah gambaran mental yang terhebat jika kita dapat melaksanakannya. Jangan ditukar-tukar gambaran itu; sekejap kereta Honda, sekejap kereta BMW, JANGAN! Kerana menukar-nukarkan visualisasi itu akan menyebabkan minda kita menjadi keliru tentang apa sebenarnya yang kita impikan.
Bayangkan dengan jelas kita mampu untuk memandu kereta itu ke sana ke mari. Rasakan kehebatan kereta tersebut dari segi pergerakannya, sistem audionya, malah kesejukan aircondnya. Bayangkanlah....bayangkanlah sejelas-jelasnya.
Visualisasi ini bukan hanya sekadar mengangankannya, malah sebenarnya ia menarik apa sahaja kehendak kita untuk menjadi kenyataan, lebih cepat daripada masa yang sepatutnya. Itulah kuasa minda yang ALLAH kurniakan kepada semua manusia, namun hanya sebahagian sahaja yang mampu memahami dan dapat melakukannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan