Selasa, 6 Julai 2010

Affirmasi

Affirmasi atau pernyataan diri adalah salah satu teknik dan kaedah untuk kita mengaktifkan kuasa minda. Hampir setiap hari dan setiap masa kita akan berkomunikasi dengan orang lain. Dalam pada itu, kita juga sentiasa berkomunikasi dengan diri kita sendiri. Kaedah berkomunikasi dengan diri sendiri ini adalah dinamakan pernyataan diri atau affirmasi. Namun harus diketahui bahawa, pernyataan diri yang positif adalah merupakan affirmasi untuk meningkatkan keupayaan mental kita dan begitu jugalah sebaliknya.
Setiap hari dalam berkomunikasi, kebanyakan pernyataan yang masuk ke benak kita adalah berkenaan perkara-perkara yang negatif. Keadaan ini sebenarnya sedikit sebanyak telah menenggelamkan potensi sedia ada diri kita. Rakan taulan malah sanak saudara di sekeliling kita mungkin boleh menghasilkan komunikasi negatif dengan kita. Perkataan seperti cemuhan, kritikan, pandangan serong, dan sebagainya adalah perkara berkaitan komunikasi negatif yang berlaku dalam kehidupan kita. Malah bukan orang luar sahaja yang sering berkomunikasi dengan jiwa negatif, diri kita juga kadang kala menghasilkan komunikasi negatif kepada diri kita sendiri...
'Aku ni tak pandai le macam dia...'
'Susah betul le subjek ni...'
'Alahai gaji lambat lagi, duit dah nak kering ni....'
Inilah sebahagian ungkapan-ungkapan komunikasi negatif yang terpancar dalam diri kita sendiri yang menghalang keberkesanan kuasa minda milik kita.
Pernah dulu dinyatakan; apa yang kita fikirkan, itulah yang akan berlaku kepada kita.
Kenyataan ini ada benarnya kerana ia adalah affirmasi kepada diri kita sendiri tentang apa yang kita inginkan. Keadaan yang selalu cenderung kepada perkara negatif telah membentuk satu getaran negatif juga kepada gelombang minda kita yang akhirnya akan menarik gelombang-gelombang negatif mendekati kita. Sebab itulah, apa yang kita fikirkan dan sebutkan akhirnya akan menjadi kenyataan secara tidak langsung kepada diri kita.
Cuba tukarkan kepada pemikiran dan pernyataan positif. Affirmasi dan ungkapan yang kita sebutkan akan menghasilkan satu bentuk gelombang dan semangat untuk terus mengejar sesuatu kejayaan, dan akhirnya ia pasti akan berhasil nanti. Jika kita menghadapi apa-apa cabaran, janganlah mengeluh... Sebaliknya tukarkan rasa keluhan itu dengan kata-kata semangat yang kita mampu untuk menghadapinya. Catatan berikutnya akan menyatakan tentang kaedah affirmasi dengan lebih mendalam lagi...

Jumaat, 25 Jun 2010

Bukti Hukum Tarikan

Hukum Tarikan @ Law of Attraction (LOA) yang telah dinyatakan sebelum ini memang terbukti memberikan kesan.

Pada hari ini inginku nyatakan betapa ia telah memberikan bukti yang sangat jelas kepada pemahaman dan kepercayaanku terhadap hukum alam ciptaan ALLAH ini.

Sejak seminggu yang lalu, aku telah mengaktifkan salah satu impianku dengan menggunakan teknik affirmasi, dan visualisasi. Teknik ini aku aktifkan untuk mencapai impian kereta baru yang aku ingin milikinya iaitu Naza CITRA. Setiap hari aku membayangkan kereta jenis ini akan menjadi milikku suatu hari nanti ( teknik visualisasi ), dan aku sering nyatakan kepada diriku bahawa aku pasti akan memilikinya ( teknik affirmasi ).

Pada ketika aku mengaktifkan kedua-dua teknik ini, mindaku telah mengeluarkan isyarat getarannya kepada alam semesta tentang apa yang aku inginkan. Mengikut hukum alam ciptaan ALLAH ini; hukum tarikan, maka apa yang aku lepaskan akan kembali kepadaku dengan nyata dan jelas. Maka buktinya, hampir setiap ketika, ada sahaja kereta jenis ini yang lalu di depan mataku. Kadang kala Naza CITRA akan melintasi keretaku, atau sering sekali aku mendapat parking dengan mudah di sebelah kereta jenis ini.

Apa yang ingin aku nyatakan adalah hukum tarikan telah menarik kereta impianku itu berada dekat dengan diriku. Walaupu aku belum lagi membelinya, namun ada sahaja 'kelibat' kereta ini akan muncul kepadaku.

Itulah keistimewaan hukum ALLAH ini.

Ini menunjukkan bahawa apa sahaja yang kita fikirkan akan tertarik semula kepada kita.
Jika kita memikirkan tentang kejayaan, pasti ada sahaja kejayaan yang akan menjelma dalam kehidupan kita. Begitu juga jika kita memikirkan sebaliknya...

Jadi sama-samalah kita mengaplikasikan hukum ini dengan sebaiknya.
Ada satu lagi bukti yang akan aku persembahkan di sini sedikit masa lagi.
Dan yang pasti, Naza CITRA pasti akan aku miliki suatu masa nanti....

Sabtu, 19 Jun 2010

Hukum Tarikan

Hukum Tarikan (Law of Attraction) adalah salah satu hukum alam yang tidak akan dapat disangkalkan lagi oleh sesiapa. Cuma sebilangan daripada kita sahaja yang masih belum mengetahui dan memahami hukum ini. Beruntunglah kepada sesiapa yang mengetahui dan memahaminya dan sebaliknya akan berlaku kepada yang mengabaikannya.
Sama seperti hukum-hukum alam yang lain, hukum ini adalah tetap kerana ia memang telah ditentukan oleh ALLAH atas kewujudan alam ini. Sebagai contoh, hukum graviti; apa sahaja objek yang mempunyai jisim akan tertarik ke bumi atas sebab hukum tarikan. Andai anda melepaskan segelas air dari genggaman tangan anda, pasti ia akan jatuh ke bumi tidak kira sama ada anda mahukan ia jatuh atau pun tidak. Samalah juga dengan hukum tarikan, ia akan berlaku tidak kira sama ada anda mahukan ia berlaku atau tidak.
Segala hukum tarikan ini ada pada pemikiran dan kehendak kita. Jika kita mahukan kejayaan dalam hidup, maka hukum tarikan akan berlaku dengan sendiri. Ia akan menjadi lebih berkesan dan efektif apabila disusuli dengan usaha dan kesungguhan anda 'menarik' keinginan itu menjadi milik anda.
Namun, siapakah antara kita yang mahu gagal dalam hidup?
Jawapannya; ADA..!
Ada antara kita yang memang mahu gagal dalam hidup. Dari segi asasnya, manusia inginkan kejayaan. Dalam pemikiran dan kehendak diri kita memang mahukan kejayaan dalam hidup. Ada yang mahu berjaya ke IPTA, ada yang mahu berkerjaya megah dan hebat, ada yang mahu rumah tersergam indah, dan segala macam perkara yang diandaikan sebagai suatu kejayaan. Namun terdetik sedikit di dalam hati, 'boleh ke aku berjaya?' Keadaan inilah yang memusnahkan impian kejayaan tersebut. Hal inilah sebenarnya yang dinamakan inginkan kegagalan dalam kehidupan.
Pada awalnya, hukum tarikan telah terjadi untuk mencipta kejayaan dalam kehendak yang dinyatakan tadi, namun apabila ada unsur negatif dalam pemikiran kita, maka kita telah menarik hukum tarikan terhadap kegagalan. Keadaan ini menyebabkan tarikan terhadap kejayaan berubah menjadi tarikan terhadap kegagalan. Inilah yang menunjukkan kita mahukan kegagalan dalam kehidupan.
Apa yang perlu dilakukan untuk memastikan kejayaan dalam hukum tarikan terhadap kejayaan?
Perkara yang paling utama ialah cara bagaimana kita berfikir.
Kita perlu sentiasa memikirkan tentang kejayaan. Jangan langsung memikirkan tentang kesukaran dan kegagalan dalam usaha itu. Hukum tarikan akan terus bekerja untuk menarik kejayaan tersebut dengan mudah jika kita terus memastikan cara pemikiran kita tetap dengan kejayaan yang ingin dicapai.
Selain daripada itu, terdapat beberapa perkara lagi yang perlu dilakukan untuk menarik kejayaan dalam hukum tarikan ini. Perkar-perkara seperti visualisasi, vision board, affirmasi, dan sebagainya perlu dilaksanakan seiring dengan cara pemikiran kita. Perkara-perkara ini akan dihuraikan dengan lebih mendalam nanti.