Sabtu, 5 April 2014

Tenaga Pemikiran

Salam penuh kasih sayang daripada KM buat semua.

Pemikiran kita adalah tenaga, itulah yang akan KM huraikan hari ini. 

Setiap benda memiliki tenaga tersendiri.  Tidak kira sama ada benda hidup atau benda bukan hidup; tetap mempunyai tenaga yang telah dipinjamkan oleh ALLAH.  Malah, cara pemikiran kita juga mempunyai tenaga.

Sebelum ini pun KM sudah pernah huraikan bahawa pemikiran kita akan menghasilkan gelombang.  Gelombang ini akan keluar dari ruang aura diri kita dan akan menarik gelombang yang sama untuk bersamanya.  Jika kita fikirkan perkara baik, maka gelombang baiklah yang akan keluar, dan menarik perkara baik juga mendekati kita.  Sebab itu KM selalu ingatkan, JAGA PEMIKIRAN kita.

Mari kita buktikan pemikiran mempunyai tenaga…

Kumpulkan ahli kumpulan kita (rakan setugas, atau ahli keluarga).  Kemudian kita nyatakan sesuatu yang sedih dan bermasalah.  Perhatikan apa yang akan berlaku selepas itu.  Perkara pertama, kita akan nampak kesedihan dalam wajah ahli kumpulan kita.  Hal ini sahaja sudah membuktikan bahawa pemikiran yang kita keluarkan tadi sudah mempunyai tenaga dan membentuk kesedihan dan masalah kepada orang lain.  Perhatikan lagi kepada tindakan mereka selepas itu.  Pasti sahaja kita akan dapat lihat mereka tidak bermaya dan melakukan tugasan dengan lemah dan tidak bersemangat.  Nampak tak bagaimana tenaga mereka menjadi kurang dan tidak bersemangat.

Cuba kita lakukan keadaan yang sama namun dengan situasi yang berbeza; berikan kata-kata semangat atau harapan yang positif.  Pasti sahaja apa yang akan dapat kita lihat sangat berbeza.  Ahli kumpulan kita akan menjadi lebih cergas, bersemangat, dan dapat melakukan tugasan dengan lebih sempurna.  Kenapa ini berlaku?  Kerana kita telah memberi ‘tenaga’ dalam pemikiran kita dan disalurkan kepada ahli kumpulan kita.

Contoh:

“Kalau ayah dan ibu lihat prestasi pelajaran kamu semakin naik, kita akan melancong cuti penggal nanti”  kata seorang ayah kepada anaknya.

Agak anda, bagaimana motivasi, semangat, dan jiwa di anak apabila mendapat corak pemikiran seperti ini daripada seorang ayah?  Percayalah bahawa anak itu akan menjadi lebih rajin, bersemangat, dan tekun.  Bukan sekadar untuk menuntut janji si ayah, sebaliknya timbul semangat baru yang tidak dapat dipastikan arah datangnya.

Segalanya ada dalam minda kita….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan