Selasa, 1 April 2014

Kawal Perasaan, Kawal Emosi

Salam penuh kasih sayang daipada KM buat semua.

Kadang kala, kita diserang tekanan perasaan@stress.  Tekanan perasaan yang melampau akan mengakibatkan tekanan jiwa.  Awas, jangan biarkan ia berlanjutan!

Dalam sains minda, kawalan perasaan dan emosi adalah amat penting.  Jika kita tidak dapat mengawal perasaan dan emosi kita, maka kita akan terjebak dengan kegagalan untuk mengaktifkan kuasa minda kita.  Perasaan ragu-ragu, bercelaru, cemas, sifat dendam dan dengki, dan pelbagai perasaan negatif akan bersarang dalam hati dan mengakibatkan kita kurang keupayaan untuk berimaginasi dan melakukan visualisasi dengan tenang.

Mengikut kajian ahli psikologi dan pengkaji sains minda,  rasa stress atau tekanan ini berpunca daripada kesalahan sewaktu berfikir, pengaruh minda bawah sedar, dan aktiviti ‘bahan kimia’ dalam badan yang dinamakan adrenaline overdose.

Semua ini dapat kita kawal dengan menggunakan keyakinan diri dan membentuk disiplin untuk mengekalkan corak pemikiran.  Segalanya ada dengan cara kita berfikir.  Semakin cemas corak pemikiran kita, maka kita akan membangkitkan rasa cemas dalam diri kita.  Oleh itu, jika ada masalah; jangan fikirkan masalah tersebut, sebaliknya fikirkan cara penyelesaiannya.

Aktiviti pernafasan terkawal juga akan memberikan ketenangan kepada kita.  Lihat cara kita bernafas.  Jika kita berada dalam keadaan kekalutan dengan masalah, corak pernafasan kita akan menjadi tidak sekata.  Mungkin kita akan bernafas dengan lebih laju, atau lebih parah kita akan tercungap-cungap.  Cuba bertenang, tarik nafas perlahan-lahan, tahan seketika, dan hembuskan semula juga secara perlahan-lahan.  Lakukan beberapa ketika hingga kita merasa lebih tenang dan dapat mengawal minda dengan lebih stabil semula.

Berzikir, membaca al-Quran, dan solat juga merupakan aktiviti terbaik untuk mengurangkan fasa tekanan dalam diri.  Fokus kepada aktiviti zikir, tilawah, atau solat itu, dan kita akan rasa lebih tenang.  Ketenangan itulah yang akan menjana idea atau ilham dalam minda untuk menyelesaikan tekanan yang kita hadapi.  Inilah terapi terbaik yang perlu kita amalkan jika berhadapan dengan tekanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan