Jumaat, 28 Mac 2014

Teruskan memberi….

Salam kedamaian buat semua….

Sebelum ini sudah beberapa kali KM berbicara berkenaan bersedekah, menderma, dan memberi sumbangan kepada yang memerlukan.  Bersedekah ini, bukan sahaja ada dalam tuntutan agama Islam, malah ia juga ada kaitannya dengan hukum tarikan.

Dalam hukum tarikan, semakin banyak kita memberi, semakin banyak yang akan kita terima.  Simple sahaja konsepnya, namun hanya beberapa orang sahaja di kalangan kita yang berjaya memahaminya.

Kita ambil contoh mudah begini; dalam ‘kumpulan’ kita ada 10 orang.  Tiba-tiba salah seorang dalam ahli kumpulan kita ditimpa masalah dan memerlukan bantuan kewangan.  Maka kita sepakat memberi bantuan RM1 setiap seorang kepada ahli kumpulan yang ditimpa musibah itu.  Beberapa ketika kemudian, kita pula yang ditimpa masalah (hanya sekadar contoh) dan rakan-rakan kita yang sama dalam kumpulan itu turut memberi bantuan sama seperti sebelumnya.

Dari segi konsepnya, suata masa dahulu kita pernah memberi hanya RM1 untuk membantu ahli kumpulan kita.  Dan kini dengan bermodalkan bantuan RM1 itu, kita menerima RM9.  Andai kata, kita tidak mahu membantu ahli kumpulan kita dahulu, adakah kita juga akan menerima RM9 itu?

Perkara di atas hanya sekadar contoh untuk dibuat perbandingan.  Namun, yakinlah bahawa ALLAH akan membalas semula setiap sumbangan yang kita berikan, bukan sekadar nilai yang kita berikan malah lebih lagi dari itu.

Ada satu kisah menarik, seorang kenalan KM pernah ceritakan kejadian yang berlaku kepadanya suatu masa dahulu.  Kita namakan kenalan KM itu sebagai Idris.  Ketika itu hari Jumaat dan Idris bersolat Jumaat di sebuah masjid di kawasan tempat beliau bekerja.  Ketika keluar dari masjid untuk balik semula ke tempat kerja, dia ditahan oleh seorang lelaki tua yang kelihatan daif.

Lelaki tua itu meminta sedikit wang daripada Idris, menurutnya sudah dua hari dia tidak makan.  Idris merasa serba salah kerana dalam dompetnya hanya ada RM10 sahaja.  Untuk ke bank, agak mustahil kerana bank tiada di kawasan itu.  Idris merasa serba salah kerana dia agak lapar dan perlu makan sebelum menyambung semula tugasannya.  Dalam keadaan ragu-ragu, dia kuatkan semangat dan membetulkan semula niatnya, dan Idris memberi RM10 itu kepada lelaki tua itu.  Ternyata sekarang Idris perlu pulang semula ke tempat bertugas tanpa dapat menjamah makan tengah hari.

Idris melangkah longlai.  Namun beberapa langkah meninggalkan masjid, namanya dilaung dan dipanggil-panggil.  Rupanya seorang rakannya yang sudah lama dia tidak bertemu.  Mereka berpelukan dan kelihatan sangat seronok kerana dapat bertemu semula.  Rakan Idris itu mengajaknya makan tengah hari kerana sudah lama tidak bertemu.  Sambil makan mereka berborak.

Tengah hari itu, Idris bukan sahaja dapat bertemu dengan rakan yang sudah lama tidak bertemu, malah dapat makan percuma kerana dibelanja rakannya itu.  Dan satu lagi ‘keajaiban’ berlaku, rakan Idris itu membayar wang yang dipinjamnya lama dahulu.  Idris rasa seperti tidak percaya, baru sahaja sekejap tadi dia tiada wang langsung untuk makan kerana memberi kepada lelaki tua tadi, dan sekarang dia dapat makan percuma dan menerima RM500 kerana rakan lamanya itu membayar hutangnya dahulu.

Ketika Idris menceritakan kepada KM tentang kisah ini, KM hanya tersenyum dan mengiakan bahawa inilah janji ALLAH, inilah hukum alam, inilah bukti hukum tarikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan