Selasa, 25 Mac 2014

Rahsia Otak Cemerlang

Salam kedamaian daripada KM buat semua.

Kita semua pasti ingin jadi orang yang cemerlang.  Orang yang cemerlang akan lebih berjaya dan bahagia berbanding orang yang ‘biasa-biasa’.  Jadi, apakah tahap yang menunjukkan kita cemerlang atau tidak?

Cemerlang atau tidak kita bergantung kepada cara kita menggunakan otak.  Jika seorang peniaga itu berjaya, pasti dia telah berjaya menjana idea-idea untuk menarik pelanggannya datang dan membeli di kedainya.  Sama ada dari segi bentuk susunan barang, cara layanan yang mesra, dan perakaunan kewangan yang baik dari segi wang keluar masuk semasa aktiviti perniagaan itu berlangsung.  Semuanya menggunakan otak untuk menjana cara dan tindakan untuk berjaya dan cemerlang.

Lantas, apa yang perlu dilakukan untuk menjadikan otak kita cemerlang hingga berjaya menjana idea-idea power itu?  Caranya mudah; sentiasa aktifkan penggunaan otak. 

Otak manusia adalah seperti komputer.  Ia mempunyai sistem input, sistem memori, dan sistem output.  Jika kita mengaktifkan penggunaan ketiga-tiga sektor ini, maka kita akan menjadikan otak kita lebih cemerlang.  Apabila otak kita menjadi lebih cemerlang, maka kita akan dapat mengeluarkan idea yang lebih bernas, mampu melakukan analisa dengan lebih teliti, malah menghasilkan idea kreatif yang tidak terfikir sebelum ini.  Kuncinya; aktifkan ketiga-tiga sektor otak iaitu melakukan input maklumat baru, menyimpan, dan mengeluarkannya semula.

Contohnya, seorang pensyarah.  Kita nampak dia seorang yang sangat hebat.  Kenapa?  Kerana dia menggunakan ketiga-tiga sektor otak ini.  Beliau melakukan kajian tentang sesuatu.  Pada ketika ini sebenarnya pensyarah ini telah memasukkan maklumat ke dalam sektor input.  Maklumat itu akan tersimpan dalam memori.  Kemudian, beliau akan mengeluarkan semula maklumat itu (menggunakan sektor output) semasa bersyarah di hadapan pelajar-pelajarnya.  Sebab itu kita sentiasa lihat pensyarah orang yang bijak dan memiliki pemikiran yang cemerlang.

Contohnya seorang penghafaz al-Quran @ Hafiz.   Ahli hafiz akan membaca dan cuba mengingat surah yang dihafal.  Ketika ini dia telah menggunakan sektor input.  Kemudian, ayat atau surah hafalan itu akan disimpan dalam sektor memori.  Ahli hafiz akan mengulang-ulang hafalannya itu semasa senggang atau semasa solat.  Pada ketika ini menunjukkan dia telah menggunakan sektor output dalam otaknya.  Hal inilah yang menjadikan kita lihat seorang hafiz itu sangat hebat dan menonjol cara pemikirannya.

Nak jadi orang yang memiliki otak yang cemerlang?  Jangan lupa lakukan pengaktifan kepada ketiga-tiga sektor ini; masukkan maklumat, ingat dalam memori, dan keluarkannya semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan