Selasa, 18 Mac 2014

Otak Kiri Otak Kanan

Salam kedamaian daripada KM buat semua.  Ketemu lagi kita setelah lama KM tidak dapat menulis di sini…

Kita semua sudah sedia maklum bahawa otak utama kita terdiri daripada dua bahagian iaitu otak sebelah kiri dan otak sebelah kanan.  Kedua-duanya mempunya fungsi dan kelebihan tersendiri.  Kebiasaannya manusia akan mendominasi salah satu daripada bahagian otak ini, walaupun ada juga antara kita yang mempunyai dominasi kepada kedua-duanya.

Otak sebelah kiri melibatkan nombor, kira-kira, logik, puzzle, dan penganalisaan.  Oleh itu, orang yang mempunyai otak dominan sebelah kiri akan mampu menguasai perkara berkaitan dengan matematik lebih mudah.

Otak kanan pula melibatkan muzik, kreativiti, imaginasi, dan warna.  Biasanya orang yang mempunyai otak kanan lebih kreatif dan berbakat seni.

Hal ini merupakan fakta.  Ia bukan berbentuk hukuman tetap.  Maksudnya, orang yang mempunyai otak dominan kanan juga sebenarnya mampu untuk menguasai kemahiran matematik, sama seperti orang yang mempunyai otak dominan kiri mampu untuk menulis puisi.

Ada juga manusia yang ALLAH kurniakan otak dominan pada kedua-dua bahagian.  Ini akan menjadikan orang itu mampu menguasai kemahiran pada otak kiri dan otak kanan.  Hasilnya, orang ini akan menjadi lebih hebat dan menonjol berbanding orang lain.  Pun begitu, sebenarnya kita juga masih boleh mengaktifkan kedua-dua belah otak walaupun pada hakikatnya kita tidak di’anugerah’kan sebegitu.

Maksudnya begini;

Jika kita merupakan orang yang mempunyai otak dominan kiri iaitu yang melibatkan nombor, kita boleh mengaktifkan juga otak kanan dengan melakukan perkara-perkara seperti melukis, mewarna, berimaginasi, dan sebagainya.  Keadaan ini akan menjadikan otak dominan kiri terus kekal dominan, dan dalam masa yang sama kita melatih otak kanan untuk meningkatkan keupayaannya.  Jika kita terus melatih dan mengaktifkan kedua-dua belah otak kita, maka kita juga akan mendapat ‘anugerah’ tersebut.

Seorang pensyarah KM pernah berkata, salah satu cara untuk mengaktifkan kedua-dua belah otak adalah dengan menggunakan kedua-dua belah anggota badan kita.  Memang hal ini ada kaitannya kerana otak kiri akan mengawal anggota badan sebelah kanan manakana otak kanan akan mengawal anggota badan sebelah kiri.  Dengan melakukan perkara-perkara yang melibatkan kedua-dua belah anggota badan, maka secara tidak langsung kita merangsang kedua-dua belah otak kita.

Adakah anda menggunakan tetikus aka mouse ketika ini untuk melayari internet atau melakukan kerja-kerja di komputer?  Biasanya orang akan menggunakan mouse dengan tangan sebelah kanan, menunjukkan orang itu memiliki otak dominan sebelah kiri.  Apa kata sesekali kita tukar menggunakan tangan sebelah kiri pula untuk perkara menggerakkan mouse itu.  Memang agak kekok, namun teruskan.  Mungkin dalam satu sesi latihan, setiap 4 kali menggerakkan mouse dengan tangan kanan, kita tukar pula menggerakkan mouse dengan tangan kiri.  Ulang perkara ini beberapa kali dan kita akan mula rasa selesa dengan menggunakan tangan kiri tersebut.  Nah, apabila sudah rasa selesa maka kita sebenarnya telah berjaya mengaktifkan kedua-dua belah otak kita.

Orang yang bersukan sebenarnya juga telah mengaktifkan kedua-dua belah otak.  Semasa kita bersukan dan bergerak aktif, kita telah menggunakan kedua-dua belah bahagian badan dengan lebih.  Pada ketika ini, kita telah berjaya merangsang aktiviti kedua-dua belah otak kita.

Jika kita mahu menjadi orang yang unggul dan hebat, maka salah satu perkara yang perlu kita lakukan adalah dengan mengaktifkan kedua-dua belah otak.  Jadi, apa kata mulai hari ini kita cuba lakukan perkara-perkara yang melibatkan penggunaan kedua-dua belah tangan, atau gunakan secara berselang seli contohnya semasa menyapu sampah atau mengelap tingkap.  Pasti bila kita berjaya mengaktifkan kedua-dua belah otak kita, sesuatu keistimewaan akan muncul dalam cara kita berfikir dan bertindak.

1 ulasan: