Rabu, 8 Mei 2013

Menang dalam Jiwa…

Salam kedamaian daripada KM buat semua.  Sudah lama benar KM tak dapat menulis di sini.  Setelah sibuk dengan beberapa siri pendidikan luar, sambung pula dengan kesibukan di SPR.  Dan sekarang, barulah KM berasa lapang dan tenang untuk mula menulis semula.

Sebelum KM teruskan penulisan kali ini, KM hendak maklumkan bahawa apa yang KM tuliskan ini bukanlah sokongan, atau kecenderungan KM kepada mana-mana parti politik, sebaliknya ini adalah tulisan berdasarkan pandangan dan kata hati KM.  Lagipun, blog KM ini bukan blog berkaitan dengan politik, jadi diharap tidak ada yang memandang serong kepada apa yang hendak KM bicarakan ini.

Dalam pilihanraya pada kali ini, memang KM sendiri dapat lihat ‘kebangkitan’ di kalangan rakyat Malaysia.  Bukan sekadar melihat dari jauh, KM cuba selami apa yang ‘mereka’ inginkan dengan melakukan bacaan, perbincangan, dan berbicara secara terus dengan beberapa orang sahabat berkenaan keadaan ini.  Kesimpulannya, KM berpandangan bahawa pembangkang pasti akan menang dan membentuk kerajaan baru setelah lebih 50 tahun berada dalam satu kerajaan yang sama.

Itulah pandangan awal KM….

Bila keputusan diumumkan, ternyata kebangkitan ini belum berjaya menandingi keputusan ramai.  Maka, kalahlah pembangkang sekali lagi walaupun pada awalnya mereka nampak sangat berjaya membangkitkan semangat rakyat kebanyakannya.  Kata seorang rakan KM, kebangkitan rakyat Malaysia belum berjaya menandingi ‘kebangkitan semangat rakyat Bangladesh dan Indon’.  KM tidak mahu mengulas lanjut, namun KM akuinya sahaja.

Pemimpin pembangkang nampaknya sangat tenang walaupun ada kegeruhan di wajah setelah menerima keputusan pilihanraya.  Ada satu ungkapan daripada salah seorang pemimpin daripada komponen pembangkang;

KITA TIDAK KALAH, KITA CUMA BELUM MENANG…

Kata-kata ini sebenarnya sangat memberi semangat.  Inilah yang KM katakan, menang dalam jiwa…  Walaupun mereka kalah, namun mereka menang kerana mereka tidak menunjukkan kekalahan itu, mereka tidak bersedih dan keluh kesah, mereka tidak patah semangat, sebaliknya mereka terus memberi kekuatan jiwa antara satu sama lain dengan ungkapan di atas. 

Cuba bayangkan jika kita berada dalam komponen parti pembangkang, dan mendengar ungkapan di atas.  Apa yang kita rasa?  Jika cuba hayati kata-kata itu, dan ternyata memang meremang bulu roma, naik semangat KM.  Apa yang KM rasa adalah untuk teruskan perjuangan melakukan sesuatu untuk memastikan kemenangan pada masa akan datang.  Itulah rasa KM walaupun KM bukan ‘pejuang’ di kalangan pembangkang.  Jika orang luar seperti KM sendiri merasa sangat bersemangat mendengar ungkapan ini, pasti semangat itu lebih hebat di kalangan mereka sendiri.

Inilah yang dinamakan jiwa yang menang.  Pemimpin harus berjiwa besar.  Pemimpin tidak wajar menunjukkan kelemahan jiwa mereka kepada pengikut dan penyokongnya.  Dengan jiwa yang besar, mereka akan membentuk lebih banyak jiwa yang besar di kalangan mereka.

Apapun, semangat yang tinggi pasti akan memberi kesan baik yang tinggi juga.  Jika kita lemah dan lumpuh semangat, pasti kita akan menjadi sangat daif dan tidak bermaya.

Siapapun anda, siapapun saya, yang penting kita perlu kuatkan semangat.  Semangat datang dari dalam, memancar keluar dan akan menarik semangat yang sama untuk bersatu dengan diri kita.  Jika dari dalam kita sendiri sudah merasa kalah, maka kekalahanlah yang sesuai untuk diri kita, kesan daripada semangat kita sendiri….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan