Khamis, 28 Mac 2013

Tidurlah sayang…

Salam kedamaian daripada KM buat semua.

Catatan KM hari ini adalah perkara yang mudah sahaja; TIDUR.

Kata orang, kuat tidur tandanya malas.  Mungkin benar kata-kata ini, dan mungkin ada perkara yang menidakkan kebenarannya.  Orang yang sering tidur tanpa melakukan apa-apa, memang boleh kita anggap sebagai pemalas.  Namun, jika dengan tidurnya itu dapat ‘memberi sumbangan’, pasti dia bukan orang yang malas.  Benarkah tidur juga memberi sumbangan?

Semasa kita tidur, kita sebenarnya merendahkan gelombang otak kita ke tahap yang paling rendah iaitu gelombang delta.  Keadaan ini menyebabkan minda, dan jiwa kita berada dalam keadaan yang sangat tenang dan damai.  Kedamaian ini akan mengaktifkan minda untuk menjana idea yang sangat hebat dan tinggi nilainya.

Lihat sahaja kepada kanak-kanak kecil/bayi yang sering tidur dengan penuh kedamaian.  Bukankah mereka ini lebih kreatif dan sering kali mahu mencuba sesuatu yang tidak terfikir oleh kita?  Ini adalah kerana, tidur mereka membawa kepada tahap delta yang menyebabkan minda mereka menjadi sangat aktif dan mahu melakukan cubaan-cubaan baru dalam kehidupan.  Pun begitu, sebagai ibu bapa dan penjaga, kita harus pastikan agar kreativiti mereka tidak terlalu melampaui batasan dan norma kehidupan.

Dahulu, semasa KM masih dibangku sekolah menengah, tuan guru KM pernah memberi tips pembelajaran yang sangat asing dan lain dari yang lain.  Kata beliau, fokus kepada suatu tajuk yang hendak ditelaah.  Baca maklumat yang hendak dikuasai itu dalam masa 10-20 minit.  Kemudian, rehat selama 5 minit.  Setelah itu, baca sekali lagi petikan atau maklumat itu bersama dengan tandaan atau garisan (sekarang ni dengan menggunakan pen highlighter) kepada maklumat penting daripada petikan tersebut.  Setelah itu, rehat pula selama 5 minit.  Kemudian, cuba tulis kembali maklumat yang telah dikenalpasti ke dalam buku catatan.  Baca sekali lagi maklumat yang telah dicatat dalam buku catatan tersebut.  Selepas itu, tidur!

Wah, hebat sekali langkah terakhir itu iaitu tidur!

Tetapi, itu bukanlah langkah terakhir, langkah terakhir ialah, apabila bangun kembali dari tidur tadi, cuba ingat dan sebut kembali maklumat yang sudah kita kenalpasti sebelum kita TIDUR tadi.

Ajaibnya, apabila KM laksanakan cadangan tuan guru KM ini, bukan sahaja KM dapat ingat maklumat itu selepas dari bangun tidur tersebut, malah maklumat itu dapat KM sebut kembali sampai ke saat ini…!

Kenapa hal ini berlaku?  Kerana, semasa kita tidur, kita kembali menenangkan minda kita dan jiwa kita.  Ini akan menyebabkan maklumat baru diproses untuk diletakkan di bahagian hadapan kotak memori dan maklumat yang tidak penting akan dibawa ke bahagian belakang.  Maklumat yang tidak penting ini bukanlah hilang begitu sahaja, ingatlah bahawa setiap memori yang tersimpan dalam kotak memori manusia tidak akan terpadam selamanya.  Mungkin ia berada terlalu jauh ke belakang hingga sukar untuk kita ingat kembali.  Jika ‘dipaksa’ dan diminta untuk kembali, maka ingatan itu akan datang semula.

Tidur bukan suatu yang sia-sia.  Tidur yang berkualiti akan memberi kekuatan baru kepada diri dan kepada minda.  Orang yang dapat tidur dengan berkualiti akan memiliki minda yang lebih hebat dan mampu menguasai dunia….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan