Selasa, 13 Julai 2010

Affirmasi di depan cermin

Teknik ini adalah salah satu teknik affirmasi @ pernyataan diri yang selalu aku lakukan. Keberkesanannya adalah 80 - 90 % lebih daripada teknik-teknik yang dinyatakan sebelumnya. Teknik affirmasi yang dimaksudkan adalah bercakap dengan diri di hadapan cermin.
Kaedah ini menunjukkan bagaimana anda, berada di hadapan cerminn dan bercakap dengan anda. Nyatakan dengan jelas affirmasi yang ingin anda masukkan dalam pemikiran anda sambil menatap anda yang berada dalam cermin. Anda nyatakan dengan jelas apa yang anda mahu bayang-bayang anda lakukan dan secara tidak nyata keadaan ini berlaku seolah-olah bayangan dalam cermin itulah yang berkata kepada anda yang berada di luar.
"Man, kau ni semakin hebatlah. Kerja kau semakin cemerlang, berkesan, dan proaktif. Aku sangat pasti kau akan terus cemerlang dan mendapat anugerah pekerja contoh tahun ini...Man kau ni memang hebatlah..!"
Kata-kata yang anda ucapkan ini akan membangkitkan kuasa minda dan getaran rasa kehebatan dalam diri. Keadaan ini seolah-olah ada orang lain yang sedang memuji dan memberikan keyakinan kepada anda. Situasi ini pasti akan membangkitkan lagi keyakinan dan semangat anda. Pada ketika inilah kuasa minda anda akan terus diprogramkan tentang kehebatan anda, kecemerlangan anda, dan keunggulan kerja anda. Ini akan membuatkan tahap kerja dan kecemerlangan anda pasti akan meningkat dan berjaya.
Cubalah teknik ini kerana teknik ini sangat berkesan kepada saya....

Isnin, 12 Julai 2010

Bercakap dengan diri sendiri

Bercakap dengan diri sendiri, adalah juga merupakan affirmasi.
Sering kali kita berkata-kata dengan diri. Namun, kata-kata itu hanya terbit dalam lintasan fikiran dan rasa dalam hati kita sahaja. Cuba keluarkan kata-kata itu secara nyata, jangan dibiarkan hanya bermain di fikiran dan kata hati semata-mata. Sebaliknya, luahkanlah ia dengan kata-kata yang jelas dan nyata.
"Aku ini pekerja yang sangat hebat"
"Aku mencapai kejayaan cemerlang 5A dalam peperiksaan UPSR"
Cuba perhatikan ungkapan kata-kata di atas, yang diucapkan dengan jelas dan bersemangat. Apa yang akan anda rasakan apabila mengucapkannya dengan penuh yakin?
Bersemangat, bukan?
Keadaan ini adalah satu kenyataan. Semakin kerap kita berkata-kata dengan diri sendiri (affirmasi), maka semakin kuat keyakinan diri yang terbentuk dalam diri dan kekuatan minda kita...

Affirmasi dalam Tulisan

Affirmasi atau pernyataan diri juga dapat dilaksanakan dalam bentuk bertulis. Apa yang diperlukan adalah kita menulis sesuatu tentang pernyataan diri kita. Tulisan boleh dilakukan pada sekeping kertas besar dan ditampal di suatu kawasan yang sering kita lihat, seperti di depan cermin muka. Apabila setiap hari kita melihat affirmasi (dalam bentuk tulisan), maka kuasa minda kita akan berfungsi dengan lebih hebat.
Sebagai contoh, seorang pelajar menulis kata-kata affirmasi yang memberikan semangat dan membangkitkan getaran rasa kejayaan. 'Aku adalah pelajar yang hebat dan memiliki kemampuan otak yang luar biasa hebat untuk menguasai pelajaran-pelajaran aku...' Apabila ungkapan affirmasi ini sering kali disebut-sebut setiap hari, maka kuasa minda yang berada dalam diri pelajar tersebut akan bangkit dan melaksanakan tugasnya dengan menguatkan keupayaan otak dan pemikiran pelajar tersebut. Inilah yang dinamakan kehebatan kuasa minda. Kita yang membentuk dan menaikkan kuasanya tanpa perlu menggunakan alatan yang mahal atau ubat-ubatan yang belum pasti selamat.
Selain menulis pada kertas besar, kita juga boleh melakukan affirmasi bertulis ini pada kepingan-kepingan kertas kecil. Tulislah affirmasi diri masing-masing pada kepingan kertas kecil itu, dan masukkan ke dalam poket baju. Pada setiap jam, atau sekerap yang mampu, keluarkan kepingan tulisan affirmasi tersebut dan bacalah ia dengan jelas dan nyata. Perlakukan ini juga akan membangkitkan kuasa minda dengan lebih hebat lagi. Cuba anda bayangkan jika kita mampu melihat affirmasi yang membangkitkan semangat kita setiap jam dalam sehari, pasti diri kita akan menjadi sangat hebat dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab seharian kita.