Selasa, 20 Ogos 2013

Rezeki secupak…

Salam kedamaian daripada KM buat semua.

BERAS SECUPAK

Gambar daripada internet

Pepatah Melayu mempunyai simbol dan pengajaran yang sangat luas, dan kekadang tajam kepada sesiapa yang terkena.  Banyak pepatah dan ungkapan bangsa Melayu yang berbentuk pengajaran dan ingatan, dalam sindiran dan secara terangan kepada yang memahaminya.

Dalam banyak-banyak pepatah Melayu, KM terpanggil untuk membicarakan tentang ‘rezeki secupak takkan jadi segantang’.  Ada rakan KM berkata bahawa inilah gambaran kemalasan orang Melayu yang merasa cukup-cukup sahaja dengan apa yang ada.  Memang pada dasarnya ungkapan ini menunjukkan keadaan seperti yang dinyatakan oleh rakan KM itu; orang Melayu bila dah dapat beras secupak, terima sahajalah kerana ia takkan jadi segantang.  Namun, jika kita fikirkan lagi, sebenarnya ia ada maksud lain yang lebih mendalam lagi.

Rezeki secupak yang kita terima tidak akan jadi segantang merupakan gambaran cabaran kepada kita.  Bila kita terima rezeki secupak, jangan harap ia akan jadi segantang jika kita tidak terus berusaha untuk menjadikannya segantang.  Gambaran ini sebenarnya berbentuk cabaran iaitu meminta agar kita terus berusaha, jangan hanya terima sahaja secupak yang ada itu.  Kita seharusnya teruskan lagi.  Jika hendak segantang, maka kuatkan lagi usaha.  Jika usaha kita secupak cuma, maka mana mungkin kita akan terima segantang.  Jika kita mahukan segantang maka usaha juga haruslah ‘segantang’.

Minda kita juga begitu.  Kita mudah terima apa yang ada.  Jika hanya dapat itu, maka itulah.  Sepatutnya, kita perlu kuatkan lagi minda untuk mengimpikan dan mencipta lebih banyak lagi peluang dan kejayaan dalam diri kita.  Bukan hanya sekadar menerima sahaja apa yang ada.

Ini bukan bermaksud kita tidak bersyukur.  Bersyukur dengan apa yang ada itu adalah baik.  Namun usaha untuk mendapatkan lebih banyak lagi adalah perlu untuk diri kita.

1 ulasan:

  1. amat bersetuju, kita perlu berusaha untuk mencapai apa yang kita inginkan dalam kehidupan...

    BalasPadam