Selasa, 31 Disember 2013

Semangat Yang Hilang….

Salam kedamaian buat semua….

KM jarang gunakan tajuk catatan negatif seperti ini.  Tetapi kali ini KM hendak gunakan kerana ada kaitan dengan apa yang hendak KM sampaikan.

Bila bercakap pasal semangat, kita akan kaitkan dengan keazaman untuk mendapatkan sesuatu.  Bila cakap pula pasal azam, kita akan kaitkan dengan azam tahun baru.  Memang pada setiap tahun baru, kita akan bina azam baru.  Masalahnya, tercapai atau tidak azam itu setiap tahun?  Kalau tercapai, berapa peratus kejayaannya?  Jika tidak tercapai, pernahkah kita kaji dan nilai kembali di mana silapnya berkenaan kegagalan azam tersebut?

Memang tidak salah berazam pada setiap tahun.  Namun, KM pernah tuliskan dulu bahawa azam tidak semestinya berada di awal tahun.  Kerana azam di awal tahun ini kekadang hanya ‘merosakkan’ kita.

Kenapa KM katakan merosakkan kita?  Kerana azam pada awal tahun ini kebanyakkan hanya ikut-ikutan sahaja.  Orang berazam, maka kita pun berazam.  Lebih malang lagi bila kita sebenarnya tidak pun punya azam, tetapi bila kawan-kawan tanya, maka kita terus nyatakan sesuatu kononnya itulah azam kita.

Bila kita katakan itu (azam) maka sebenarnya kita telah memprogram minda kita.  Sedikit atau banyak, program itu sebenarnya memang terjadi dalam minda bawah sedar dalam diri kita.  Namun, di pertengahan tahun atau kurang lagi dari itu, kita mula lupakan azam tersebut.  Ini menyebabkan kita sekali lagi telah memprogram dalam minda bawah sedar bahawa kita tidak mahukannya (azam) tersebut.

Bila kita lakukan perkara yang sama pada tahun berikutnya; berazam, maka minda bawah sedar bertindak balas menyatakan bahawa perkara ini sudah diprogramkan namun GAGAL.  Nah, di sinilah yang dimaksudkan dengan ‘merosakkan’ diri kita!

Secara sedar atau tidak, kita telah mencipta satu program baru dalam minda bahawa azam itu memang tidak akan tercapai kerana ia telah cuba dilaksanakan pada tahun ini namun gagal, juga perkara yang sama gagal pada tahun lepas, dan tahun sebelumnya juga kecundang begitu sahaja.

Semangat dalam diri mula hilang walaupun kita cuba mencipta semangat baru kerana program kegagalan itu sudah wujud dalam diri.  Mungkin sudah bertahun-tahun perkara yang sama berlaku dan ia semakin menebal dalam minda bahawa kita memang tidak akan berjaya dalam azam tersebut.

Jadi, apa yang perlu dilakukan?

Perkara utama yang perlu dilaksanakan adalah kita perlu memprogram semula minda bawah sedar kita.  Kita perlu keluarkan dahulu maklumat kegagalan itu dan masukkan semangat baru.  Namun harus diingat, jangan pula kita bersikap melepaskan batuk di tangga, hingga menyebabkan kita gagal lagi.  Kegagalan lagi dan lagi itu akan lebih menyukarkan lagi untuk membuang program minda berkenaan kegagalan itu pada masa mendatang.

Semangat harus kuat dan konsisten, jangan biarkan semangat itu menghilang di tengah jalan bila kita membuang program kegagalan dalam minda dan bina program baru, kelak ia akan menjadi semakin parah.

Jumaat, 27 Disember 2013

Tarik nafas dan bertenanglah….

Salam kasih sayang daripada KM.

Dalam SRJ kali ini, KM nak teruskan penerangan tentang cara untuk kita lebih fokus dan khusyuk semasa solat.  Maklumat ini KM dapat daripada seorang tuan guru yang memberi panduan tentang khusyuk dalam salah satu kuliahnya di surau kawasan KM tinggal.

Kata tuan guru;

Tariklah nafas dan bertenang dalam setiap rukun atau perlakuan dalam solat itu sebelum kita membaca apa yang perlu ketika itu.

Maksudnya, dalam setiap rukun seperti bertakbirratul ihram, tarik nafas dulu dan rasakan ketenangannya kemudian barulah bertakbir dan niat tentang solat yang hendak dikerjakan itu.

Bila tangan sudah dikiamkan, tarik nafas dan tenanglah dulu sebelum kita membaca surah Al-Fatihah.

Semasa ruku’, betulkan kedudukan ruku’ itu dulu, tarik nafas dan bertenang, kemudian baru lakukan bacaan dalam ruku’ itu.

I’tidal, bangunlah dari ruku’ dan betulkan kedudukan dulu, kemudian tarik nafas dan bertenang, disusuli dengan ungkapan dalam bacaan I’tidal.

Begitulah seterusnya hingga ke salam…

Maksud yang tuan guru tersebut nak terangkan adalah, kita sentiasa membetulkan dulu kedudukan dalam setiap rukun itu, kemudian ambil nafas dulu, rasakan ketenangannya, dan barulah mula membaca apa yang perlu dibaca semasa rukun-rukun tersebut.  Semasa membaca itu perlu juga kita ingat maksud atau intipati maksud bacaan itu.  Hal-hal ini pasti akan membuatkan kita jadi lebih khusyuk dan fokus semasa bersolat.

Jika difikirkan secara logik pun, memang bila kita lakukan satu persatu dan rasa bertenang, pasti kita akan lebih fokus.  Berbanding jika kita bersolat seolah-olah mengejar masa, memang nampak kita tidak bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. 

Rabu, 25 Disember 2013

Affirmasi diriku….

Salam kedamaian buat semua…

Affirmasi adalah pernyataan diri.  Apa yang kita mahukan, katakanlah kepada diri kita sendiri.  Ia sebenarnya berbentuk langkah atau proses kita memprogram semula minda bawah sedar kita.

Suatu masa dahulu ketika KM masih giat aktif dalam sukan tempur, jurulatih aka tok guru KM sudah mengajar KM berkenaan affirmasi ini.  Cuma masa tu KM tidak tahu ia adalah berkaitan sains minda.  Memang orang dulu sudah melaksanakannya, cuma kita tidak sedar dan tidak tahu.

Biasalah, bila terlibat dengan sukan tempur, maknanya kita perlu bertempur.  Jadi, keyakinan diri perlu ditingkatkan.  Percayalah bahawa sehebat mana atau sejaguh mana seorang ahli tempur itu, pasti dia akan merasa berdebar dan gusar sebelum acara bermula.  Apatah lagi bila lawannya itu lebih besar, dan kelihatan lebih gagah daripada kita, atau kita sudah tahu profilnya tentang sejarah kemenangan dan jumlah pingat yang pernah dia miliki dahulu.  Rasa gentar itulah yang boleh kita hapuskan dengan affirmasi.

Jurulatih KM akan sarankan untuk KM buat affirmasi di hadapan cermin.  Duduk depan cermin di bilik persalinan atau di mana-mana sebelum acara, dan mula katakan kepada diri bahawa kita bersedia dan ‘mampu’ untuk mengalahkan lawan kita walau siapapun dia itu.

Jurulatih KM akan suruh lakukan affirmasi yang mudah, ringkas tetapi menyeluruh, dan dilakukan dalam 3 keadaan intonasi suara.  Dan KM mula mereka-reka affirmasi itu dan lakukan.  Percaya atau tidak, KM memang rasa lebih yakin, lebih mampu berhadapan dengan lawan, dan 90% daripada pertempuran itu KM berjaya takluki lawan dengan lebih mudah.

“Aku bersedia menghadapinya…”

“Aku adalah juara dan berkuasa….”

“Aku berjaya melakukan pukulan yang tepat dan hebat….”

“Aku adalah pemenang dan selalu jadi pemenang….”

Ayat-ayat ini KM ulang dalam 3 intonasi suara di hadapan cermin.  Intonasi pertama dalam bentuk berbisik, kedua dalam intonasi biasa, dan ketika dalam keadaan yang agak kuat seperti mahu melaungkan semangat. (ingat, jangan lakukan ditempat awam, nanti ada yang tertanya-tanya bila kita melaung begitu….)

Kita boleh lakukan apa sahaja affirmasi untuk diri.  Bayangkan bila kita lakukan di hadapan cermin dan dalam 3 intonasi suara tadi.  Pasti rasa semangat dan penuh keyakinan akan menjelma dalam diri.  Kita akan jadi lebih bersedia dan yakin.  Seolah-olah ada keajaiban tercipta bila semuanya serba menjadi.

Cubalah….namun harus diingat, terus berdoa kepadaNya jangan dilupa.  Affirmasi adalah untuk meningkatkan kekuatan kuasa minda kita, dan setiap keputusan atau menjadi tidak sesuatu itu tetap dengan izinNya jua….

Isnin, 23 Disember 2013

3 Rahsia….

Salam kedamaian daripada KM buat semua……

Setiap orang mahukan yang terbaik dalam diri.  Kita sentiasa mahukan keupayaan kewangan yang baik, keupayaan mendapat kasih sayang yang terbaik, keupayaan mendapat kehidupan yang terbaik, tetapi sayangnya….ada antara kita yang tidak mampu memiliki semua itu.

Hal ini terjadi kerana kita tidak tahu cara untuk memilikinya.  Dan pada hari ini, KM akan ungkaikan 3 rahsia untuk menjadikan diri kita lebih baik dan seterusnya menuju ke landasan keupayaan memiliki semua yang kita mahukan itu.

Rahsia pertama : Berfikir dengan fikiran yang baik.

Hal ini sudah acap kali kita dengar, sentiasa berfikiran positif, sentiasa beremosi yang tenang, sentiasa damai dalam jiwa, dan banyak lagi perkara positif.  Tetapi kenapa hal-hal negatif masih berlegar di sekeliling kita?  Kerana salahnya ialah kita terus membiarkan perkara negatif itu hadir.

Jika pada pagi hari itu, kita penuh bersemangat dan berazam untuk berfikiran positif, tetapi di pertengahan hari ada kejadian yang negatif berlaku.  Salahnya kita adalah kita terus membiarkan perkara negatif itu terus mengganggu kita.  Sepatutnya, apabila ada sesuatu cabaran dan masalah yang berlaku di pertengahan hari itu, maka terus berusaha dan kembali untuk berfikiran positif semula.  Jangan terbawa-bawa dengan hal-hal negatif itu dan terus berlanjutan hingga ke malam hari.

Bila ada sahaja fikiran negatif yang menyapa, terus HENTIKAN!  Jangan dilayan, jangan dibawa dalam diri dan jiwa.  Katakan dengan tegas dan bersemangat pada diri bahawa kita tidak mahu melayan fikiran negatif itu, dan kembali semula kepada pemikiran yang positif dan baik.  Terus berusaha dan kuatkan semangat, pasti kita akan berjaya mengekalkan rasa positif dalam diri.

Rahsia kedua : Program semula minda bawah sedar.

Sedar atau tidak, kita banyak memprogram ketidakupayaan kita dalam minda bawah sedar kita sejak kecil.  Contohnya kita ini tidak pandai, kita tidak cantik, suruh buat tu susah, suruh buat ni susah….  Semua itu menunjukkan yang kita telah memprogram dalam minda bawah sedar kita bahawa kita ini sentiasa tidak mampu.

Cuba program semula semua maklumat itu dengan maklumat baru yang lebih baik, yang lebih menjurus kepada kejayaan dan keupayaan.  Suatu masa dahulu, ada sebuah lagu yang sangat baik untuk memprogram minda bawah sedar; Katakan boleh.  Liriknya menjelaskan bahawa jika kita fikirkan yang kita boleh, maka pasti kita mampu untuk melakukannya.  Perkara-perkara seperti inilah yang sebenarnya kita perlu lakukan untuk memprogram semula minda kita.  Sentiasa ucap dan katakan kepada diri (affirmasi) sesuatu perkara yang kita mahukan.

Ada rakan KM katakan, bila buat affirmasi ni macam bercakap sorang-sorang.  Memang konsep pernyataan diri atau affirmasi ni untuk bercakap dengan diri sendiri sahaja, jangan biar orang lain tahu apa yang kita katakan (programkan) untuk diri kita.  Kerana dikhuatiri kita akan diejek dan diperlekehkan, dan akhirnya kita akan jatuh semangat semula.

Programkan kembali minda bawah sedar kita setiap hari, jika kita takutkan kegelapan, ucapkan bahawa kita berani dan bersedia menghadapi kegelapan kerana kegelapan itu tidak menjejaskan apa-apa kepada kita.  Jika kita takutkan ketinggian, katakan kita bersedia menghadapi ketinggian dan yakin dengan diri sendiri…

Rahsia ketiga :  Biarkan masa lalu pergi dan bersedia hadapi masa depan.

Jika suatu masa dulu, kita pernah gagal dalam sesuatu pekerjaan yang dilakukan, LEPASKANLAH ia berlalu pergi.  Jangan difikirkan kegagalan dan kekalahan lalu.  Sebaliknya tumpukan perhatian, perancangan, dan tindakan untuk menghadapi masa hadapan.

Masa lalu yang memberi kenangan perit buat kita boleh kita kenang sebagai satu bentuk refleksi sahaja, jangan dikenang untuk melemahkan semangat.  Kata orang, yang baik jadikan tauladan, yang jahat jadikan sempadan.  Maksudnya, kegagalan lalu cukup difikirkan untuk jadi sempadan supaya kita tidak melakukan kesalahan yang sama hingga menyebabkan kegagalan itu terjadi. 

Terus fokus kepada masa hadapan yang sedang kita rancang untuk menempa kejayaan itu.  Ini lebih baik daripada kita asyik memikir dan meratap tentang kesilapan lalu.  Yang lalu biarkan berlalu dan jadikan sempadan.  Yang hadapan teruskan berlari dan mengejar untuk kita capai dan rangkulkan ia menjadi milik kita.

Inilah sebahagian cara yang boleh kita lakukan untuk menjadikan diri kita lebih baik, dan menjurus kepada kejayaan untuk kita mencapai setiap yang kita mahukan.  Jika kita terus berusaha dan bersedia menghadapi cabaran dengan bersemangat, pasti kita akan berjaya membentuk diri kita ‘yang baru’ yang lebih bersemangat dan berjaya…

Jumaat, 13 Disember 2013

Aku menghadapMu…

Salam kasih sayang…

Baru-baru ni KM menghadiri sebuah kuliah agama di sebuah surau.  Dalam kuliah bulanan ini, tuan guru berbicara tentang solat.  (Alhamdulillah) Memang kita semua sudah berjaya melaksankaan solat, namun berkualitikah solat kita itu?  Perkara inilah yang dihuraikan oleh tuan guru tersebut.

Menurut tuan guru, kita mungkin sukar untuk khusyuk dalam solat kerana kita tidak faham apa yang dibaca.  Bukan kita sahaja, malah orang Arab yang faham pun belum tentu berjaya sampai ke tahap khusyuk dalam solat.

Jadi, tuan guru sarankan beberapa perkara.  Pertamanya, semasa kita berdiri tegak dan bersiap sedia untuk niat dan bertakbir, pada ketika ini rasakan dalam diri bahawa kita sedang menghadap Agong yang Maha Besar.  Rasakan betapa kecilnya kita dan sedang menghadap ALLAH yang mampu lakukan apa-apa sahaja kepada kita walaupun semasa kita solat ini.  Cadangan tuan guru, kalau nak rasakan kekerdilan kita, bayangkan yang ALLAH akan menarik nyawa kita seandainya kita lalai semasa bersolat itu.  Pasti sahaja selepas itu kita akan rasa sangat kecil berada di hadapan ALLAH.

Dan nyata sekali rasa takut itu akan membuatkan kita menumpukan sepenuh perhatian semasa bersolat.  Andai kita masih lagi ‘dibawa’ khayalan kita, cepat-cepat hentikan dan katakan ‘aku sedang bersolat’.  Namun, jangan katakan secara zahir di mulut kerana perbuatan itu akan membatalkan solat.  Katanya ia di dalam hati yang paling dalam.  Pasti selepas itu kita akan tertumpu semula kepada solat kita.

Ada beberapa lagi perkara yang perlu kita lakukan, tetapi cukup dulu yang pertama ini KM nyatakan.

KM telah mencuba apa yang disarankan oleh tuan guru.  Alhamdulillah, KM dapat rasakan yang solat KM semakin tertumpu hanya kepadaNya dan tiada lagi gangguan lain .   KM dapat rasakan yang KM betul-betul menghadapNya…  Semoga anugerah dan kenikmatan menghadap ALLAH yang Maha Agung ini akan terus dapat KM rasakan.

Selasa, 10 Disember 2013

Benarkan ia…~siri 2

Salam kasih sayang…

Jika kita berjaya ‘membenarkan’ sesuatu dalam minda kita, sebenarnya kita telah berjaya memprogram sesuatu untuk minda kita bertindak.  Minda akan faham dan percaya bahawa apa yang kita benarkan itu adalah yang betul dan perlu dilaksanakan.

Benarkan dalam minda bahawa kita ini hebat, maka minda akan bertindak untuk menjadikan kita hebat.  Segala macam kehebatan itu akan berlaku dengan kehendakNya.

Benarkan dalam minda bahawa kita berjaya dalam pelajaran, maka minda akan bertindak untuk menjadikan kita berjaya.  Segala maklumat dan persoalan dalam pelajaran itu akan dirasakan sangat mudah selepas itu untuk kita lalui.  Segalanya adalah ketentuanNya jua.

Benarkan dalam minda bahawa kita ini disayangi, maka minda akan membentuk diri kita seperti sebuah magnet kasih sayang yang berjaya menarik perhatian semua orang di sekeliling kita. 

Inilah kehebatan minda yang ALLAH ciptakan.  Jika kita berusaha dan berjaya membenarkan sesuatu dalam minda, maka kita akan menjadi orang yang sangat hebat dan berjaya.

Khamis, 5 Disember 2013

Fakta Otak

30Salam kedamaian buat semua….

Otak hanyalah satu organ kecil sebenar 1.5 kg.  Namun, kewujudannya adalah sesuatu yang sangat besar dan hebat.  Malah, ALLAH mampu untuk menciptakan sesuatu yang lebih kecil lagi daripada itu namun mempunyai kehebatan tersendiri.  Yakinlah itu….

Otak manusia terbahagi kepada dua bahagian iaitu conscious mind (minda sedar) dan subconscious mind (minda separa sedar).

Fungsi otak pula dilihat daripada dua bahagian iaitu otak kiri yang menggunakan logik dan otak kanan yang lebih kepada imaginasi dan naluri.

Petikan daripada Aktifkan Otak Kanan dengan Solat; Nabilah Abdul Jalil, buku yang sedang KM kaji sekarang….

Ahad, 1 Disember 2013

Benarkan ia….

Salam kedamaian daripada KM buat semua…

Kita semua tentu pernah jatuh….Tak kiralah sama ada jatuh basikal, jatuh pokok, jatuh tangga, tergelincir, dan sebagainya (Jatuh cinta tak termasuk dalam perkara yang KM maksudkan ini….hehehe)

Apa yang kita rasa bila jatuh?  Tentulah sakit, kan?

Sebenarnya, ia adalah hukum.  Bila kita jatuh, kita menghentam sesuatu di tempat yang kita jatuh itu.  Dan hentaman itu membawa maksud ke saraf otak.  Saraf otak pula akan mentafsir, dan membenarkan rasa sakit kita rasai.  Lantaran itu, mulalah kita merasa sakit.  Hal ini terjadi dengan sangat pantas.

Berapa lama kita sakit itu, terpulang kepada kekuatan hentaman tadi, dan SATU lagi yang penting adalah; BAGAIMANA KITA MENGAWAL PEMIKIRAN KITA untuk membenarkan rasa sakit itu berterusan atau berhenti.

OK, begini.  Tentu kita rasa boleh ke kita mengawal rasa sakit itu supaya berhenti mengikut kehendak kita?  Memang boleh, cuma kita perlu bersedia untuk memprogram minda kita atau tidak.

Mungkin sukar untuk kita lakukan jika kesakitan itu berlaku dalam keadaan cedera parah.  Tapi apa kata kalau kita lakukan eksperimen kecil di bawah….

Kita lakukan dalam kesakitan yang ringan dulu iaitu, gatal akibat gigitan semut.  Biarkan semut gigit kaki atau tangan kita.  Kemudian beberapa ketika kemudian kita akan rasa gatal.  OK, sekaranglah masa untuk bereksperimen.  Tumpukan sepenuh perhatian dan katakan kepada diri bahawa kita tidak rasa pun gatal itu.  Percayalah, lepas dua sangat, kita akan dapati tempat gigitan itu tidak lagi gatal.  Beberapa ketika kemudian, kita akan rasa gatal kembali.  Buat lagi arahan kepada minda bahawa tempat itu tidak gatal, dan kita akan rasa kesannya.

Apa berlaku jika kita dapat lakukan eksperimen dan latihan ini beberapa kali?  Tentu sahaja, dengan mudah kita akan dapat mengawal rasa kesakitan itu dengan lebih mudah.

Tapi awas!  Minda dan jiwa harus selari.  Apa maksudnya?  Ikuti tulisan KM yang seterusnya……