Khamis, 2 September 2010
Minda dan Matlamat
Dalam kehidupan ini, setiap daripada kita pasti ada matlamat.
Matlamat ni macam impian, harapan, apa yang kita mahukan dalam kehidupan.
Jika kita tidak ada matlamat, maka rasanya pasti kita tergolong dalam golongan orang yang hanya berserah dan mengikut sahaja apa yang orang lain buat. Matlamat adalah hak kita. Kita yang tentukan apa yang kita mahukan dalam kehidupan ini. Ia tidak sama dengan matlamat orang lain, kerana kita sahaja yang tahu apa yang kita mahukan. Sebagai orang yang beriman, pastikan matlamat itu ada hubung kaitnya dengan 'kehidupan' kita nanti di sana...
Matlamat akan tercipta apabila kita mahukan sesuatu.
Di awal Ramadhan lalu, pasti terlintas di fikiran kita tentang apa yang kita mahukan sepanjang bulan mulia ini. Lantaran itu minda akan berfungsi sesuai dengan matlamat itu dan mengarahkan kita untuk melaksanakannya.
Jika anda seorang peniaga pasar Ramadhan, pasti matlamat anda adalah untuk mengaut seberapa banyak keuntungan penjualan sepanjang bulan ini. Itu adalah lumrah kepada 'peniaga bermusim' setiap tahun. Maka pada ketika itu matlamat akan menjana idea-idea di minda untuk mencari keuntungan. Bermula dengan merancang apa yang hendak dijual, di mana, dan bagaimana hendak beroperasi, hinggalah lebih jauh lagi ada yang sudah bermatlamat tentang apa yang hendak dilakukan dengan keuntungan yang bakal diterima.
Maha Suci ALLAH yang telah mengurniakan manusia dengan akal, setelah terlintas semua itu maka minda peniaga akan terus melaksanakan tugasnya dengan menentukan cara bagaimana matlamat itu dapat dilaksanakan. Hebat, bukan?
Pun begitu, kadang-kala kita perlu membuat penilaian semula. Sebagai peniaga, terutama peniaga makanan, janganlah terlalu mementingkan sangat tentang keuntungan. Apa yang perlu sama-sama difikirkan adalah kualiti makanan yang dijual. Jika peniaga makanan di pasar Ramadhan memikirkan tentang hal ini, pasti mereka akan dapat melaksanakan perniagaan dengan lebih sempurna. Pertama, mereka akan mendapat keuntungan hasil jualan, kedua mereka dapat memberikan keuntungan kepada pembeli dengan hidangan yang menyelerakan. Itulah sebenar-benar keuntungan yang harus ada pada matlamat setiap peniaga bermusim ini.
Pada akhir setiap matlamat itu pula, seharusnya kita perlu membuat penilaian semula tentang apa yang telah dilaksanakan. Kaji dan fikirkan tentang perjalanan untuk mendapatkan matlamat itu, jika ada yang compang-camping di sana sini, maka tamponglah ia agar matlamat itu menjadi lebih bererti untuk menjadi kejayaan yang kekal abadi...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan