Memaparkan catatan dengan label meditasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label meditasi. Papar semua catatan

Sabtu, 22 Jun 2013

65 tahun…

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya DIA yang Maha Kaya dan memberi kekayaan.  Dengan kelembutan kasih sayangNya, aku izinkan semua kekayaan itu mengalir dalam kehidupanku.

Dengan izin ALLAH, aku suka berada dalam rumahku yang cantik ini bersama-sama isteriku tercinta, anak-anak yang sudah berjaya dalam kehidupan, dan cucu-cucuku yang comel dan beradab.

Aku merasa sangat bersyukur dengan dalam usia ini, aku masih sihat dan cergas, dapat pergi dan balik ke surau yang aku asaskan dan melaksanakan pengimarahan pengajian agama bersama dengan jiran-jiranku yang mesra dan serasi.

Wang sentiasa ada dan melimpah ruah dalam kehidupanku, semua keperluan dan keinginanku dapat dipenuhi dengan kelebihan ini.  Malah, aku sentiasa dapat menyumbangkan wang dan pendapatanku ke sekolah Ma'had Tahfiz yang berdekatan dengan rumahku ini.  Sering juga aku dapat menghadiah dan menaja rakan-rakan dan saudaraku untuk menunaikan haji di Mekkah.

Setiap tahun, aku dan keluarga dapat menunaikan umrah dan setiap 5 tahun kami semua akan menunaikan haji, berkali-kali kerana kenikmatan yang penuh dan melimpah ruah ini.

Dalam usia sebegini, aku masih dapat menikmati kehidupanku dengan penuh keceriaan dan kedamaian.  Masaku sentiasa cukup untuk bersama-sama dengan keluarga melancong dan berkunjung ke tempat-tempat menarik, menghayati keindahan alam ciptaan ALLAH ini.

Usiaku yang sebegini, aku bersyukur kepadaNya kerana masih dipinjamkan segala pancainderaku dengan penuh kesempurnaan.  Aku masih dapat membaca al-Quran setiap hari dengan lancar dan penuh kenikmatan.

Rumah-rumah sewaku yang aku beli pada tahun-tahun yang lalu sangat memberi erti kepadaku.  Wang pendapatan daripada sewa itu sentiasa melimpah ruah dalam kehidupanku ini.  Malah, semua penyewaku ini sangat rapat dan mesra denganku hingga aku menganggap mereka seperti sebahagian daripada kehidupanku.

Buku-buku tulisanku juga sangat laris dan mendapat sambutan yang menggalakkan.  Aku merasa sangat puas dan senang dapat berkongsi pandangan dan pendapat dalam buku-bukuku itu.  Hasil royalti buku tersebut dapatlah aku tambah untuk membeli dan melabur dalam harta berbentuk emas.  Hasilnya, simpanan emasku semakin bertambah dan sentiasa selamat dalam simpanan kami sekeluarga.

Ya ALLAH, aku bersyukur atas kenikmatanMu ini, aku bersyukur atas ketenangan ini, aku bersyukur atas kejayaan dan keharmonian ini.….

Khamis, 4 April 2013

Bercakap dengan Alam ~ 2

Salam kedamaian daripada KM buat semua…

air

Sudahkah anda berbicara dan bercakap dengan alam?  Kalau belum, cubalah…Manalah tau apa yang kita cakapkan itu akan memberi kesan, bukan kepada alam sahaja, malah kepada diri kita jua.

KM hendak kongsikan bagaimana cara KM pula bercakap dengan alam.  Sebenarnya, KM memang suka bercakap seorang diri, lebih jelas bermonolog.  Namun, kekadang KM juga suka bercakap dengan alam.  Antara yang KM paling suka adalah bercakap dengan air.

Mungkin pelik bagi sesetengah orang bila KM katakan yang KM suka bercakap dengan air, tapi itulah hakikatnya.

Nak tau macam mana KM bercakap dengan air?  Biasanya air yang paling KM suka bercakap dengannya adalah air untuk KM mandi, dan air kosong untuk diminum.

Inilah contoh perbicaraan KM dengan air….

Walau air, kau ni juga adalah ciptaan ALLAH.  Siramilah diriku ini dengan izinNya dan segarkanlah tubuhku dengan kehadiranmu.  Bersihkanlah diriku untuk aku jadi lebih suci untuk menghadapNya.

Walau air, kau ni juga adalah ciptaan ALLAH.  Aku merasa nikmat dengan meminummu.  Hilangkanlah hausku dengan keizinanNya…

Inilah dua contoh bagaimana KM bercakap dengan alam; air.

Sedar atau tidak, dengan bercakap dengannya, KM akan rasa sangat puas, sama ada mandi apatah lagi meminum air kosong.  Rasa kehadiran air itu menjadi sangat nikmat kepada diri KM.  Perasaan bersyukur pasti hadir selepas itu kerana dengan kehendakNya, air tercipta dan dapat kita nikmatinya.

Dari segi tubuh badan pula, KM rasa sangat segar dan bertenaga selepas mandi.  Memang rasa lain bila kita ucapkannya dan mandi dengan menggunakan air itu.  Rasa air itu lebih dekat dengan kita.  Andai kita bercakap dengannya dan minta dia memberi kesegaran kepada kita, pasti selepas itu kita akan berasa segar yang luar biasa.

Jumaat, 29 Mac 2013

Bercakap dengan Alam…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.  KM doakan, kita semua mendapat kebahagiaan yang hakiki daripadaNya…

Semasa KM muda aka budak sekolah rendah dulu, ada sebuah buku yang sangat KM minati dan baca berulang kali; Bercakap dengan Jin karangan Tamar Jalis.  Ada sesuatu aura menarik dalam penceritaan itu sehingga KM jadi terpukau untuk terus mengulang dan ulang bacaan ceritanya.

Namun, hari ini KM bukan hendak berbicara berkenaan bercakap dengan jin, tetapi Bercakap dengan Alam.  Nampak sama tapi bukan dia… Winking smile

Di sekeliling kita, pasti ada ramai rakan dan kenalan.  Dalam ramai itu, pasti ada yang dapat menjadi sahabat sejati untuk kita tumpang meluahkan perasaan dan masalah.  Namun, manusia ada pelbagai perasaan dan cara pemikiran yang terselindung, yang kita tidak dapat pastikan dengan jelas dan nyata tentang keikhlasannya, dan kejernihan hatinya.

Alam, iaitu pokok dan tumbuhan, dan haiwan pula adalah juga makhluk ALLAH yang tercipta di alam ini.  Alam, merupakan makhluk ALLAH yang patuh tanpa ada sedikit pun rasa sangsi tentang kewujudan dan kebesaran ALLAH.  Ini terbukti kerana ‘mereka’ sentiasa bertasbih dan berzikir memuji ALLAH.  Pokok-pokok, ikan di laut, semut yang melata, angin, awan, hujan, sungai yang mengalir, dan semuanya yang bernama alam, akan sentiasa patuh dengan arahanNya.  Justeru, ‘mereka’ sentiasa berada dalam gelombang yang rendah iaitu berada dalam tahap yang mendamaikan.

Jika kita ada masalah, dan berbicara dengan sahabat kita, pasti ia dapat meringankan sedikit rasa masalah itu.  Begitu juga jika kita meluahkan rasa bebanan itu kepada alam dengan bercakap dengan alam.

Kita mungkin pernah lihat ada manusia yang bercakap dengan kucing peliharaannya.  Kita dapat lihat, dia bercakap dengan bersungguh-sungguh seolah-olah kucing itu faham dan dapat memahaminya.

Kita juga mungkin pernah lihat ada manusia yang bercakap dengan pokok bunga.  Kita lihat dia bercakap tentang harapannya agar pokok bunga itu sentiasa segar dan berbunga dengan penuh keindahan.

Semua ini adalah contoh bercakap dengan alam.  Kerana manusia faham dan percaya bahawa, alam juga mampu untuk mendengar, mampu untuk memahami, dan mampu untuk meringankan perasaan manusia. 

Keindahannya, ada masalah yang seperti hadir jalan penyelesaiaannya selepas berbicara dengan kucing sendiri.  Masalah itu memang tidak akan selesai, atau kucing itu menyelesaikan masalah kita, namun selepas berbicara dengan kucing itu, jalan penyelesaian seperti hadir di hadapan kita.  Hanya kitalah yang perlu merebut peluang dan melaksanakan penyelesaian kepada masalah tersebut.

Keindahannya, bila berbicara dengan pokok, selepas itu nampak perubahan kepada pokok itu.  Ia seolah-olah faham dan hidup dengan lebih bersemangat.  Ia membesar dengan sihat, berbunga dengan indah, dan berbuah dengan rasa kenikmatan yang sebenar.

Semua ini adalah keindahan bercakap dengan alam.  Hanya orang yang memahami, merasai, dan melakukannya sahaja dapat faham erti sebenar bercakap dengan alam….

Khamis, 10 Januari 2013

Tarik rezeki di awal pagi…

Salam kedamaian kepada semua…

  1. Bangun awal.
  2. Mandi awal, sebelum azan subuh.
  3. Solat subuh dengan khusyuk.  Sebaiknya dapat solat secara berjemaah, kerana banyak rahsianya.  (Andai tidak mampu berjemaah di surau atau masjid kerana tuntutan tugasan lain, cubalah lakukan pada ketika cuti)
  4. Yakinkan diri bahawa rezeki ALLAH sangat luas untuk dikecapi oleh semua.
  5. Doa dengan penuh kerendahan diri memohon untuk mendapatkan kemewahan rezeki daripadaNya.
  6. Ketika membuka pintu rumah kali pertama untuk keluar, tarik nafas dengan penuh kelegaan, dan rasakan seolah-olah kita sedang membuka ‘pintu rezeki’.  Semasa keluar dari rumah untuk kali pertama di awal pagi itu, rasakan seolah-olah kita sedang masuk ke dalam ‘kamar rezeki’ yang sangat luas.

Perkara-perkara di atas, jika kita amalkan, ia seolah-olah satu bentuk meditasi dalam diri tentang rezeki yang kita akan terima pada hari itu.  Lakukan berterusan dengan penuh keyakinan dan kesungguhan.  Anda pasti dapat merasai tentang kemewahan rezeki yang anda terima seolah-olah ditarik-tarik kepada diri anda.

Isnin, 10 September 2012

Seronok ke Tempat Kerja…

Salam kasih sayang daripada KM kepada semua.

Apa khabar hari ni?  Ada rasa seronok dan gembira dalam hati?  Jika ada, maka anda akan tergolong dalam golongan yang sudah berjaya membentuk diri menjadi lebih baik dari kelmarin.

Berbicara tentang rasa seronok, pernahkah anda rasa sangat seronok dan teruja untuk ke tempat kerja.  Mungkin sebahagian daripada kita akan dapat membentuk rasa keseronokan itu; atas beberapa faktor. 

Ada yang memang seronok nak melaksanakan tugasan, ada yang seronok ke tempat kerja kerana ada perjanjian kontrak yang bakal diterima hari ini, ada yang seronok kerana hari ni ada jemputan makan percuma di pejabat, atau mungkin ada yang seronok kerana ada buah hati sedang menunggu (atau mungkin kekasih gelahp…hahaha…)

Namun, ada juga yang merasa kurang selesa dan rimas untuk ke tempat kerja.  Rasa tertekan dan runsing kerana banyak kerja yang hendak dan perlu dilaksanakan, ada yang kurang senang kerana kesesakan jalan, ada yang sudah bosan dengan rutin kerja yang sama, dan sebagainya.

Apakah implikasi kepada perasaan yang sedang terpancar itu?

Cuba kita buat ujikaji ini pada diri sendiri.  Apabila bangun dari tidur, cuba paksa diri untuk bersemangat.  Bersiap awal untuk ke tempat kerja.  Sentiasa senyum dan cipta rasa seronok untuk ke tempat kerja.  Rasa senyuman itu biarlah dengan penuh keikhlasan. 

Walaupun, pada mulanya kita seolah-olah ‘buat-buat’ seronok untuk ke tempat kerja, namun percayalah, banyak perkara baik akan kita ‘tarik’ sepanjang hari itu, kesan daripada rasa seronok untuk ke tempat kerja yang hanya di’buat-buat’ itu tadi.

Kalau tak percaya, cubalah…!

Sabtu, 25 Ogos 2012

Pencuri oh Pencuri…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.

Catatan ini bukanlah untuk menarik perhatian dan pemikiran kita kepada pencuri, hanya sekadar ingatan dan panduan agar kita lebih bersedia.

Beberapa ketika lalu, rumah KM dimasuki pencuri.  Bukan sekali, tetapi 3 kali.  Ya, 3 kali dalam jangka masa sebulan.  Pada ketika kejadian, KM memang sedang sibuk sangat dengan aktiviti luar.  Lantaran itu, rumah KM memang sentiasa kosong tiada berpenghuni.

Kejadian pertama berlaku semasa KM tiada di rumah kerana melaksanakan tugasan di Pulau Redang.  Aktiviti jabatan biasanya dilaksanakan selama 3 hari 2 malam.  Selepas habis tugasan di Pulau Redang, KM balik ke rumah dan alangkah terkejutnya KM apabila melihat keadaan rumah yang tunggang langgang dikerjakan pencuri bajingan!  KM cuba kenal pasti apakah barangan KM yang diambil.  Ternyata hanya tabung berisi syiling yang hampir penuh sahaja yang sudah hilang.

Bukan kehilangan itu yang menjadi kesukaran kepada KM, tetapi KM mati akal memikirkan cara pencuri itu masuk.  Tiada langsung kesan pecah rumah, yang ada hanya kesan laluan keluar.  KM sangat yakin kerana hanya pintu belakang yang terbuka untuk pencuri itu meloloskan diri.  Amat mustahil pencuri itu dapat membuka pintu belakang itu kecuali dibuka dari dalam.

Seperti yang KM nyatakan tadi, ketika itu KM sangat sibuk dengan aktiviti Pendidikan Luar.  Kerana panggilan tugas, KM terlibat dengan satu lagi aktiviti beberapa hari kemudian.  Apabila balik, keadaan yang sama berlaku.

Begitulah juga dengan kejadian yang ketiga.  KM memang sangat pasti, tiada apa barangan berharga yang hilang.  Ini adalah kerana di rumah KM itu memang tiada apa pun barangan berharga.  Tiada simpanan wang bawah tilam, tiada laptop yang ditinggalkan, apatah lagi barangan kemas.  Yang pasti, selepas kejadian pertama, pencuri itu masih cuba masuk dan menggeledah kerana mungkin mereka menyangkakan dapat sesuatu yang berharga dijumpai.  Kalaupun ada, bukan kehilangan itu yang menyesakkan KM, tetapi keadaan rumah yang haru biru yang perlu dikemaskan menjadikan KM rasa sangat marah.

KM memang jarang bercerita tentang hal-hal seperti ini.  Namun, kejadian sebanyak 3 kali ini dengan tanda tanya bagaimana ‘mereka’ masuk menyebabkan KM berbicara dengan beberapa ‘orang tua’ di kampung ini semasa bersantai di surau.

Seorang pak cik akhirnya memberikan bacaan ayat untuk diamalkan.

doa elak pencuri

Cara mengamalkan ayat ini adalah dengan membacanya pada setiap kali selepas solat 5 waktu.  Dan, semasa kita hendak meninggalkan rumah.

Sejak hari itu, KM mula mengamalkan bacaan ayat ini, dan alhamdulillah, tiada lagi kejadian yang tidak diingini berlaku.

Pun begitu, haruslah kita ingat bahawa, yang tetap menjadi penjaga kepada keselamatan diri dan rumah kita tetaplah ALLAH Yang Maha Kuasa.  Selepas sahaja membaca ayat ini sebagai amalan, kita haruslah berdoa kepadaNya agar diberikan perlindungan yang berkekalan.

Semoga catatan ini dapat memberi kebaikan kepada semua.

Sabtu, 3 Mac 2012

Cara Tingkatkan Kesyukuran…

Salam kedamaian daripada KM buat semua.  KM doakan kita semua sentiasa berada dalam keadaan yang setiasa dimurahkan rezeki dan menjadi orang yang sentiasa bersyukur dengan rezeki tersebut.

Pada catatan yang lalu, (sudah seminggu yang lalu KM terbitkan) ada KM catatkan tentang kesyukuran.  Memang kita perlu sentiasa bersyukur, dan insyaALLAH akan ada sesuatu yang menjadi kebaikan dengan kesyukuran itu akan menjadikan nikmat kita semakin bertambah dan berganda.

Namun, ada seorang kenalan KM yang bertanya; bagaimana hendak melazimkan diri untuk bersyukur?

Caranya mudah sahaja…  Kita perlu buat bandingan dengan orang lain, dan rasai kenikmatan yang ada, kemudian pasti kita akan merasa sangat bersyukur.

Apabila membuat bandingan, jangan dibandingkan dengan orang yang ‘lebih’ daripada kita, sebaliknya bandingkan dengan orang yang kurang daripada kita.  Contohnya jika kita punya sebuah kereta Kancil; kecil, comel, cute, biasa-biasa aja…cuba ketika itu kita bandingkan dengan orang yang hanya punya motosikal.  Ketika itu pasti kita akan merasai nikmat punya kereta, walaupun hanya kereta Kancil.  Kerana, walaupun hanya berkereta yang ‘biasa-biasa aja’, namun kita masih terlindung semasa hujan berbanding orang yang hanya bermotosikal.  Kita terlindung daripada panas dan kesukaran pemanduan, berbanding orang yang bermotosikal yang sangat terdedah dengan bahaya.

Kenikmatan itu, akan menjadikan kita lebih bersyukur walaupun hanya memiliki sebuah kereta comel seperti Kancil.

Inilah yang KM katakan, bandingkan dengan orang lain, rasai kenikmatannya, dan selepas itu pasti kita akan menjadi lebih bersyukur.

Sabtu, 12 November 2011

Semangat Keris

Salam kedamaian…

keris

Sudah beberapa kali Kampung Kecubung Atas diserang gerombolan lanun dari Selat Selatan.  Penduduk kampung sentiasa berada dalam kegelisahan dan keresahan.  Manakan tidak, harta benda mereka sentiasa dirampas dan paling menyedihkan anak-anak gadis dilarikan dan hilang tanpa khabar berita.  Kegetiran ini membuatkan ketua Kampung Kecubung Atas mula membuat persiapan seadanya untuk mempertahankan keselamatan dan maruah mereka.  Anak-anak muda dikerah untuk belajar dan berlatih seni mempertahankan diri; silat.  Guru utama yang dahulunya dipinggirkan, kita menjadi orang paling disanjung dan dihormati.

Setiap malam Jumaat, mereka akan memperasap dan menjampi keris masing-masing secara beramai-ramai.  Semangat keris terus dipuja dan disebatikan dalam diri.  Jiwa mereka seolah-olah bersatu dan bangun bersama keris.  Bagi mereka, keris inilah yang menjadi pembakar semangat dan kekuatan untuk menentang apa sahaja kekuatan yang datang mencabar mereka.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Petikan di atas adalah gambaran bagaimana masyarakat Melayu dahulu sentiasa menjadikan keris sebagai barangan peribadi yang penting.  Ia menjadi sebahagian daripada diri dalam kehidupan.  Biasanya mereka yang sudah meningkat dewasa akan mula mempelajari seni mempertahankan diri dan mula menjadikan keris sebagai teman.  Pada ketika itu, yang kuat itu raja dan yang lemah itu hamba.  Oleh itu, silat dan keris memainkan peranan untuk menjadi pertahanan kepada diri mereka.

Bagaimana sebenarnya keris boleh menjadi pembakar semangat?  Adakah kerana sifat keris itu sendiri yang boleh menjadi senjata, atau ada unsur mistik lain yang dipuja kepada keris tersebut?

Suatu masa dahulu, ketika KM masih kecil, segar diingatan ini bagaimana melihat keris dimandi, diperasap, dan dipuja.  Amalan orang dulu-dulu yang penuh dengan unsur mistik dan mencampurkan amalan yang tidak pasti itu membuatkan KM sentiasa berfikir, apa yang sebenarnya berada dalam semangat keris tersebut?

Memang KM akui, ada unsur lain yang berada dalam keris yang dipuja.  Namun, pada hakikatnya, tidak semua keris yang dikatakan bersemangat itu ada unsur mistik itu.  Ada keris yang hanya sekadar keris, namun masih mampu untuk menjadi semangat kepada si pemakai. 

Andainya kita berada dalam situasi cerita di atas, dan kita dibekalkan dengan keris oleh tuan guru silat yang disanjung tinggi di kampung itu, apakah yang kita rasa?  Pasti ada satu perasaan bersemangat yang mengalir keluar dari dalam diri.  Ini adalah kerana kita merasa yakin bahawa keris itu mampu untuk meningkatkan semangat kita dan keadaan ini menyebabkan kita menjadi semakin berani.  Sebenarnya, semangat itu timbul dari dalam diri kita sendiri.  Apabila kita memegang keris yang dihadiahkan, diri kita sendiri membina satu semangat yang kononnya datang daripada keris tersebut.  Semangat inilah sebenarnya yang timbul dan menjadikan kita lebih hebat dan berani.  Apa lagi jika pada ketika saat-saat yang genting untuk mempertahankan diri, keluarga, dan maruah.

Sebenarnya, semangat datang daripada dalam diri kita sendiri.  Kita mampu untuk mencipta dan mengeluarkan semangat tersebut, jika kita mahu….

Khamis, 15 September 2011

Emosi Mempengaruhi Pemikiran, Atau Sebaliknya..?

Salam kasih sayang daripada KM.

Persoalan; emosi yang tidak stabil (berada dalam keadaan cemas, susah hati, sedih) akan mempengaruhi tindakan kita.  Adakah emosi akan mempengaruhi pemikiran kita?  Atau pemikiran yang seharusnya mempengaruhi emosi?

Jika persoalan ini diajukan kepada KM, maka KM akan katakan, seharusnya pemikiranlah yang berkuasa untuk mempengaruhi emosi dan perasaan kita. 

Memang KM akui, apabila kita berada dalam keadaan yang tertekan, maka emosi yang tidak stabil ini akan mempengaruhi pemikiran kita.  Inilah yang akan berlaku dan menyebabkan kita bertindak di luar jangkaan.  Ada yang hanya menangis sepanjang hari (teringat cerita Ibu Mertuaku), ada yang bertindak melulu seperti marah kepada semua orang yang ada di sekeliling, malah yang lebih tragis, ada yang bertindak untuk membunuh diri.  Adakah dengan melakukan semua tindakan ini akan menstabilkan semula emosi itu?  Jawapannya tentu sekali tidak.  Kita bukan menstabilkan emosi itu, sebaliknya memburukkan lagi keadaan dengan tindakan-tindakan itu.

Seharusnya, kita berusaha untuk bertenang.  Apabila bertenang, pemikiran akan berada di atas daripada emosi.  Apabila pemikiran sudah rasional, emosi dapat didamaikan seketika.

Seperti biasa, KM akan mencadangkan agar kita tidak fokus kepada masalah yang dihadapi hingga menyebabkan emosi kita terganggu.  Sebaliknya, cuba fikirkan jalan penyelesaian.  Dengan memikirkan kepada jalan penyelesaian, kita akan fokus kepada tindakan yang hendak dilakukan untuk menyelesaikan masalah.  Ini akan membuatkan pemikiran kita bekerja untuk menyelesaikan masalah, bukannya untuk mencipta lebih banyak masalah.

Dalam Islam sendiri menganjurkan untuk kita beristighfar.  Istighfar bukan hanya apabila mengenangkan kesalahan yang dilakukan.  Istighfar boleh dilakukan apabila kita ditimpa masalah.  Cuba beristighfar dan ia akan menenangkan perasaan kita.  Apabila perasaan dan emosi sudah bertenang, barulah minda dapat bekerja dengan lebih rasional.

Rabu, 22 Disember 2010

AURA ~ 4

Salam penuh kasih sayang daripadaku….

Pertama sekali ingin aku memaklumkan tentang pergerakanku beberapa hari yang lalu.  Seusai peperiksaan OUM untuk kertas terakhir bagi semester ini, aku telah bergegas ke utara semenanjung kerana membantu rakanku yang menganjurkan sebuah kursus ikhtiar hidup.  Jadi sepanjang aku berada di sana, aku telah kehilangan arah untuk meneruskan catatanku di sini.  Alhamdulillah, setelah kembalinya aku ke sini, maka dapatlah aku menulis kembali.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

AURA juga terdapat di alam semesta ciptaan ALLAH ini.  Ini memang berlaku jika kita dapat perhatikan tentang perubahan warna alam di sekeliling kita.  Namun, bukan semua warna alam itu terpancar jelas di pandangan mata.  Berikut adalah beberapa warna alam yang dapat kita hayati bersama berdasarkan perubahan masa….

Waktu Subuh ~ Alam berwarna biru muda.  Pada waktu ini, AURA alam akan mempengaruhi metabolisma badan.  Oleh itu, ia dikaitkan dengan penawar, dan sumber rezeki.  Ini bersesuaian dengan perintah ALLAH untuk kita menunaikan solat Subuh di awal waktu, dan anjuran untuk tidak lagi tidur selepas solat Subuh.  Ini adalah kerana pada waktu ini, AURA alam akan mempengaruhi keadaan badan kita.  Orang yang selalu meninggalkan solat Subuh, atau melewat-lewatkannya akan beransur-ansur menjadi semakin lemah dan mudah dijangkiti penyakit.  Mereka juga berpotensi untuk menghadapi masalah dalam komunikasi dan sumber rezeki.

Waktu Zohor ~ Alam berwarna hijau pada awalnya dan beransur-ansur menjadi warna kuning.  Warna kuning ada kaitan dengan sistem pencernaan dan keceriaan.  Ini sesuai kerana pada waktu ini, lumrahnya manusia akan makan dan berehat seketika.  Jadi, unsur warna alam ini membantu pencernaan dan penghadaman kepada sistem tubuh manusia.

Waktu Asar ~ Warna alam bertukar kepada spektrum oren.  Pada ketika ini, ia mempengaruhi kepada sistem reproduksi (pembiakan) dan kreativiti.  Orang yang sering tertinggal solat pada spektrum warna ini biasanya akan mempengaruhi sistem peranakannya dan daya pemikiran mereka.  Aku masih ingat sewaktu kecil dahulu sering diingatkan agar tidak tidur pada waktu ini kerana jika diamalkan akan menjadi gila.  Sekarang baru terbukti kerana pada waktu ini warna AURA alam sedang mempengaruhi daya kreativiti manusia.

Waktu Maghrib ~ Alam berubah menjadi warna merah.  Perhatikan betul-betul warna di dada langit pada waktu ini, warna merah akan tampak jelas dari kejauhan.  Warna merah ini juga ada kaitan dengan spektrum warna jin dan iblis.  Lantaran itu kita disuruh berada di dalam rumah, surau, untuk mengelak daripada warna alam ini.  Ilmu mistik juga mengakui bahawa suasana pada ketika ini memudahkan seseorang yang lemah semangat akan mudah dikuasai oleh jin.  Rahsia AURA pada waktu ini adalah berkaitan dengan keyakinan.  Jika seseorang itu berada dalam khusyuk semasa solat pada AURA alam ini, akan memudahkan dia mendalamkan lagi keyakinannya kepada ALLAH.

Waktu Isyak ~ Warna AURA alam bertukar menjadi warna indigo.  Pada ketika ini warna mempengaruhi ketenteraman dan kedamaian.  Sesuai dengan kehidupan manusia, pada ketika inilah masa untuk mereka berehat yang sebenarnya.

Waktu tengah malam ~ Warna alam berubah-ubah menjadi warna putih, merah jambu, dan ungu.  Warna ini sesuai untuk fungsi otak dan ketahanan tubuh.  Orang yang berada dalam keadaan rehat pada ketika ini akan menyerap AURA warna ini.  Ini sesuai kerana pada ketika ini manusia sedang tidur dan berehat untuk membetulkan semula fungsi tubuh.  Namun, bagi yang bangun untuk menunaikan solat (qiamullail) akan mendapat lebih banyak manafaat.  Ini berdasarkan fakta tubuh sedang menyerap lebih banyak AURA alam ketika berada dalam keadaan aktif, namun tenang.  Malah, udara pada waktu ini adalah udara yang sangat segar dan diserap terus oleh badan manusia.

Kenapa semua fakta AURA alam ini aku kaitkan dengan waktu solat?  Ini adalah sebagai bukti bahawa setiap waktu yang telah ditetapkan oleh ALLAH untuk menemuinya adalah suatu masa yang sangat indah dan berharga.  Ia akan memberi kebaikan kepada manusia secara langsung.  Ini adalah kerana, semasa solat, kita akan berada dalam keadaan yang sangat tenang seperti bermeditasi.  Oleh itu, tubuh akan menyerap AURA alam dengan lebih baik dan menyeluruh.  

Khamis, 9 Disember 2010

Gelombang Otak ~ 3

Salam penuh keceriaan buat semua…

Mampukah untuk kita mengawal gelombang otak kita?  Kerana, ada yang berkata; gelombang otak jika berada dalam keadaan yang terlalu tinggi sama bahayanya dengan tsunami…

Betul tu, aku sendiri setuju.  Justeru, telah tersurat bahawa setiap sesuatu itu memang ada kebaikannya.  Namun jika sangat berlebih-lebihan, pasti ia membawa mudarat.  Sama juga dengan gelombang otak kita.  Jika ia berlebih-lebihan dan naik terlalu tinggi, maka pasti ia membawa keburukan.  Oleh itu kita perlu untuk sentiasa mengawal keadaan getarannya.  Jangan terlalu tinggi (beta) dan jangan terlalu rendah (delta).

Sains dan teknologi telah membuktikan bahawa muzik atau gelombang bunyi dapat mengawal gelombang otak.  Oleh itu, terciptanya brainwave entertainment.  Setakat ini terdapat dua jenis ‘rawatan’ gelombang muzik yang dapat mengawal gelombang otak; menggunakan rentak binaural, dan tona isokronik.  Biasanya, kita akan menggunakan headphone untuk mendengar gelombang dan bunyi muzik itu dengan lebih baik.

Penggunaan gelombang ini dikatakan dapat menstabilkan gelombang otak kerana otak yang terbahagi kepada dua bahagian akan saling bergantungan antara satu sama lain.  Konsepnya, dengan menggunakan headphone yang agak baik, akan menghasilkan bunyi tona yang tidak sekata.  Telinga kiri diperdengarkan dengan muzik berfrekuansi 30Hz, manakala telinga kanan diperdengarkan dengan gelombang 20Hz.  Otak akan mentafsirkan kekuatan gelombang yang berbeza ini menyebabkan gelombang otak menurun ke 10Hz.  Ini menunjukkan bahawa otak telah berjaya menurun ke tahap alpha (tenang dan damai).

Namun begitu, ada satu lagi kaedah yang sangat unik dan mudah untuk mengawal gelombang otak.  Aktiviti menyatakan sesuatu secara berulang-ulang juga dapat mengawal dan menurunkan gelombang otak.  Zikir, adalah perkara yang dimaksudkan.  Ini memang telah terbukti, apabila otak mentafsirkan pengucapan yang diulang-ulang (beta), semakin lama ia menurun ke tahap alpha apabila sampai ke suatu jangka masa yang tertentu.  Ini akan terjadi dengan lebih baik jika suasana berzikir itu dilakukan semasa hari dan keadaan yang tenang, contohnya di tengah malam, atau subuh.

Lihat situasi ini;  semasa berada dalam keadaan marah contohnya dalam kesesakan jalan raya (gelombang otak beta), kita tersedar akan kemarahan itu tidak baik dan mula berzikir, dan beristighfar.  Apa yang akan berlaku?  Pasti sahaja kita akan merasa tenang dan tidak marah lagi.  Ini adalah kerana kita telah berjaya mengawal gelombang otak dari beta menurun ke alpha dengan menggunakan kaedah berzikir.

Pernah dengar tentang hipnosis?  Ini juga satu bentuk menurunkan gelombang otak dengan pengucapan berulang…  Aku pernah mengkaji bidang ini suatu masa dahulu, namun kerana sesuatu keadaan yang tidak mengizinkan, aku terpaksa menghentikannya.  Mungkin, jika ada peluang yang lain, kajian itu akan kusambung nanti.

Sabtu, 20 November 2010

Meditasi…

Apabila bercakap pasal meditasi, ramai antara kita membayangkan amalan tertentu.  Sebenarnya tidak!  Meditasi adalah duduk diam seketika, berada dalam keadaan tenang dan damai, memusatkan pemikiran dan minda kepada sesuatu dengan sebaik mungkin.  Itulah meditasi….

Dalam Islam sendiri ada meditasi.  Sejak dahulu lagi kita telah diajar untuk bermeditasi.  Meditasi dalam Islam yang dimaksudkan adalah solat.  Pun begitu, jangan samakan solat dengan meditasi lain.  Ia adalah sama hanya dari segi konsepnya sahaja, namun tidak menyamai dengan mana-mana agama selain Islam.

Cuba bayangkan, semasa bersolat, kita dianjurkan untuk berada dalam keadaan yang sangat tenang.  Tanpa memikirkan hal-hal lain, melainkan hanya kepadaNya.  Pada ketika itu, kita harus menumpukan pusat pemikiran kita kepada rukun solat, dan bacaan dalam solat.  Hanya orang yang sudah benar-benar mengerti pengertian solat sahaja dapat bermeditasi dalam solat.

Semasa solat, jiwa dan raga kita akan berada dalam keadaan yang sangat tenang dan damai.  Pada ketika inilah, kuasa minda kita akan terpancar dengan sangat hebat.  Getarannya bergetar dengan getaran alam yang sangat mendamaikan.  Justeru, kita sering dianjurkan untuk bersolat jika berada dalam kesusahan apa lagi bila berada dalam keadaan senang.

Malah, jika sedang marah, kita disuruh bersolat.  Solat akan mendamaikan, sama konsepnya dengan bermeditasi.

Semasa dirundung masalah, kita disuruh bersolat.  Solat akan memberikan ilham (daripada ALLAH) untuk keluar dari masalah tersebut, sama konsepnya dengan meditasi.

Semasa senang, kita disuruh bersolat, tanda bersyukur yang amat sangat.

Solat adalah satu bentuk meditasi kepada orang Islam.  Hanya orang-orang yang tahu rahsianya akan mengerti bagaimana kuasa minda menjadi sangat hebat dengan bersolat…