Memaparkan catatan dengan label aura. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label aura. Papar semua catatan

Sabtu, 15 September 2012

Permudahkanlah sikap dengan orang lain…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.

Dalam kehidupan kita ini, yang biasa berurusan dengan pelbagai orang, tentu kita akan berjumpa dengan bermacam-macam jenis ragam manusia.  Ada yang mudah bersosial, ada yang tidak.  Ada juga yang moody, dan ada yang steady.  Hari ini KM nak berbicara tentang sikap manusia dan kesannya kepada kuasa minda yang kita tarik kepada diri kita sendiri…

Dalam banyak ragam manusia ini, mungkin kita biasa bersua atau terpaksa bersua dengan manusia yang hanya pentingkan diri sahaja.  Sikap pentingkan diri ini boleh dari segi pemikiran, mahupun tindakan.  Dalam kata lain, hanya dia sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah.  Keadaan ini pasti lebih membebankan jika orang itu adalah seorang ketua atau pemimpin.  Hal ini menyebabkan semua pandangan dan pendapat orang lain (walaupun bernas) namun akan ditolak mentah-mentah dan menerimapakai pendapat ‘dia’ walaupun ada pendapat dan tindakan itu memang tidak masuk akal.

Apa yang KM hendak utarakan adalah sikap ini seolah-olah menyusahkan dan membebankan orang lain.  Harus diingat bahawa, apabila kita memiliki sikap membebankan orang lain, pasti kita akan menarik sesuatu yang membebankan juga kepada diri kita.  KM maksudkan begini; apabila kita menyusahkan hidup orang lain, pasti hidup kita juga akan menjadi susah dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang datang tanpa diduga.  Ini adalah kerana orang yang kita bebankan itu pasti tidak suka kepada kita dan (andai lebih buruk lagi) akan menyumpah seranah di belakang kita.  Keadaan inilah yang akan memancarkan rasa tidak senang dan negatif kepada diri kita.

Pandangan KM; jika kita memudahkan urusan dengan orang lain, pasti orang itu akan merasa sangat gembira dan bersyukur.  Perasaan ini akan memancarkan rasa seronok, damai, dan ketenangan kepada orang.  Apa yang lebih jelas adalah apabila orang yang kita permudahkan itu akan mendoakan kesejahteraan kita semua.   Bukankah ini akan menjadikan hidup kita lebih damai dan menyenangkan?

Fikir-fikirkanlah….

Isnin, 5 Disember 2011

Takut Kepada Diri Sendiri…

Salam kedamaian buat semua…

Anda penakut?  Atau pernah rasa takut kepada sesuatu?

Perasaan takut adalah salah satu perasaan yang wujud dalam diri manusia.  Perasaan ini adalah normal dan tidak salah.  Malah, kita perlu ada rasa takut dalam diri kita.  Andai kita tidak punyai rasa takut, pasti banyak perkara bahaya dan akan menyusahkan diri, akan kita lakukan tanpa rasa takut.  Contohnya, berlari-lari di tengah jalan raya yang sibuk dengan kenderaan yang bergerak pantas.  Oleh kerana adanya rasa takut, maka kita tidak akan melakukan perkara seperti itu.

Pun begitu, perasaan takut jangan dibiarkan sentiasa menguasai diri.  Ini akan menyebabkan rasa takut itu berkembang dan menjadi ‘raja’ dalam perasaan diri kita.  Keadaan ini akan menimbulkan suatu situasi lain iaitu diri kita akan berubah menjadi seorang yang penakut.  Penakut bererti kita terlalu takut kepada sesuatu yang tidak sepatutnya kita takut. 

Bagaimana kita boleh mengubah rasa takut?  Caranya adalah dengan menghadapi dan melalui perasaan takut itu sendiri.  Jika kita takutkan kegelapan, maka kita perlu paksa diri untuk berada dalam kegelapan dengan tenang buat beberapa ketika.  Semasa berada dalam kegelapan itu, cuba bertenang dan pastikan diri tidak terlalu takut dan cemas.  Apabila hal ini berjaya dikawal oleh diri, maka ini bermakna kita telah berjaya mula mengawal rasa takut itu.  Sedikit demi sedikit, rasa takut itu akan mula hilang.

Kenapa, dan bagaimana hal ini terjadi (berubah dari rasa takut kepada berani)?  Hal ini berlaku kerana minda mula diprogramkan semula.  Andai dahulunya kita takutkan kegelapan dengan pelbagai andaian seperti hantu, momok, dan sebagainya, sekarang apabila kita berjaya duduk dalam kegelapan dengan SELAMAT, maka ada satu rasa tenteram dalam diri.  Ini akan memprogramkan semula minda kita bahawa gelap tidak bahaya, tiada hantu, dan tiada momok yang dapat memberi mudarat kepada kita.  Keadaan ini menyebabkan rasa takut itu semakin hilang dan jika tambah berjaya apabila takut mula ditukar kepada berani.

Sabtu, 12 November 2011

Semangat Keris

Salam kedamaian…

keris

Sudah beberapa kali Kampung Kecubung Atas diserang gerombolan lanun dari Selat Selatan.  Penduduk kampung sentiasa berada dalam kegelisahan dan keresahan.  Manakan tidak, harta benda mereka sentiasa dirampas dan paling menyedihkan anak-anak gadis dilarikan dan hilang tanpa khabar berita.  Kegetiran ini membuatkan ketua Kampung Kecubung Atas mula membuat persiapan seadanya untuk mempertahankan keselamatan dan maruah mereka.  Anak-anak muda dikerah untuk belajar dan berlatih seni mempertahankan diri; silat.  Guru utama yang dahulunya dipinggirkan, kita menjadi orang paling disanjung dan dihormati.

Setiap malam Jumaat, mereka akan memperasap dan menjampi keris masing-masing secara beramai-ramai.  Semangat keris terus dipuja dan disebatikan dalam diri.  Jiwa mereka seolah-olah bersatu dan bangun bersama keris.  Bagi mereka, keris inilah yang menjadi pembakar semangat dan kekuatan untuk menentang apa sahaja kekuatan yang datang mencabar mereka.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Petikan di atas adalah gambaran bagaimana masyarakat Melayu dahulu sentiasa menjadikan keris sebagai barangan peribadi yang penting.  Ia menjadi sebahagian daripada diri dalam kehidupan.  Biasanya mereka yang sudah meningkat dewasa akan mula mempelajari seni mempertahankan diri dan mula menjadikan keris sebagai teman.  Pada ketika itu, yang kuat itu raja dan yang lemah itu hamba.  Oleh itu, silat dan keris memainkan peranan untuk menjadi pertahanan kepada diri mereka.

Bagaimana sebenarnya keris boleh menjadi pembakar semangat?  Adakah kerana sifat keris itu sendiri yang boleh menjadi senjata, atau ada unsur mistik lain yang dipuja kepada keris tersebut?

Suatu masa dahulu, ketika KM masih kecil, segar diingatan ini bagaimana melihat keris dimandi, diperasap, dan dipuja.  Amalan orang dulu-dulu yang penuh dengan unsur mistik dan mencampurkan amalan yang tidak pasti itu membuatkan KM sentiasa berfikir, apa yang sebenarnya berada dalam semangat keris tersebut?

Memang KM akui, ada unsur lain yang berada dalam keris yang dipuja.  Namun, pada hakikatnya, tidak semua keris yang dikatakan bersemangat itu ada unsur mistik itu.  Ada keris yang hanya sekadar keris, namun masih mampu untuk menjadi semangat kepada si pemakai. 

Andainya kita berada dalam situasi cerita di atas, dan kita dibekalkan dengan keris oleh tuan guru silat yang disanjung tinggi di kampung itu, apakah yang kita rasa?  Pasti ada satu perasaan bersemangat yang mengalir keluar dari dalam diri.  Ini adalah kerana kita merasa yakin bahawa keris itu mampu untuk meningkatkan semangat kita dan keadaan ini menyebabkan kita menjadi semakin berani.  Sebenarnya, semangat itu timbul dari dalam diri kita sendiri.  Apabila kita memegang keris yang dihadiahkan, diri kita sendiri membina satu semangat yang kononnya datang daripada keris tersebut.  Semangat inilah sebenarnya yang timbul dan menjadikan kita lebih hebat dan berani.  Apa lagi jika pada ketika saat-saat yang genting untuk mempertahankan diri, keluarga, dan maruah.

Sebenarnya, semangat datang daripada dalam diri kita sendiri.  Kita mampu untuk mencipta dan mengeluarkan semangat tersebut, jika kita mahu….

Jumaat, 24 Disember 2010

AURA ~ 5

Salam penuh AURA kasih daripadaku….

Kenapa kita perlu ada AURA yang baik?  AURA datang daripada getaran daripada dalam tubuh kita.  Jika kita seorang yang tulus, maka kita akan memancarkan warna AURA yang terbaik di sekeliling kita.  Warna AURA itu jika dapat dilihat, seperti sebutir telur yang mengelilingi tubuh kita, dari kaki hingga ke atas kepala.  Warna yang dipancarkan ini akan mengelilingi tubuh dalam bentuk putaran arah lawan jam.  Jika kita berjaya memancarkannya dengan kuat, maka ia akan menjadi semakin besar dan meluas di sekeliling kita.

Pancaran yang luas daripada AURA tubuh akan membentuk jaringan yang kuat dengan orang yang berada di sekeliling kita.  Keadaan ini akan menyebabkan orang yang berada di sekeliling kita akan merasa sangat senang, tenang, damai, dan tertarik kepada kita.  Hal inilah yang akhirnya timbul ungkapan seperti ‘dia ada AURA…’  Ungkapan ini sebenarnya menunjukkan yang orang lain merasa seronok apabila bersama dengan kita.  Malah, apabila melihat wajah, atau mendengar suara kita, akan membuatkan seseorang itu ‘tertawan’.

Namun, bagaimana cara untuk memancarkan AURA yang terbaik, dan sekaligus menarik perhatian orang lain?  Seperti yang telah dimaklumkan, AURA datang daripada dalam diri.  Jika kita baik, berhati mulia, tenang, dan sentiasa berfikiran positif, maka pasti kita memancarkan AURA yang terbaik untuk menarik perhatian orang lain.  Malah, daya tarikan itu akan kekal terasa selagi mana kita berjaya mengekalkannya.

Cara terbaik untuk mengekalkan pancaran AURA adalah dengan melakukan solat dan bermeditasi (zikir, tahajjut, suluh).  Ketika melakukan aktiviti seperti ini, diri akan menjadi sangat tenang.  Ketenangan inilah yang akan memancarkan AURA yang terbaik daripada dalam diri.  Perhatikan tuan-tuan guru, ulama’, ustaz….golongan ini biasanya sentiasa berada dalam keadaan yang tenang kerana melakukan aktiviti seperti di atas.  Ketenangan inilah yang terpancar dan menjadi AURA.

AURA seperti sebutir telur itu mungkin sekali akan bocor!  Kebocoran ini akan menyebabkan warna AURA yang terpancar daripada dalam diri tidak akan berada dalam lingkungan kita.  Hal ini akan menyebabkan kita tidak berjaya menarik perhatian orang lain.  Malah, orang lain akan merasa gelisah, rimas, dan tidak sehaluan.  Kebocoran ini berlaku apabila kita tidak lagi mengekalkan ketenangan itu.  Ini amatlah merugikan diri kita…

Rabu, 22 Disember 2010

AURA ~ 4

Salam penuh kasih sayang daripadaku….

Pertama sekali ingin aku memaklumkan tentang pergerakanku beberapa hari yang lalu.  Seusai peperiksaan OUM untuk kertas terakhir bagi semester ini, aku telah bergegas ke utara semenanjung kerana membantu rakanku yang menganjurkan sebuah kursus ikhtiar hidup.  Jadi sepanjang aku berada di sana, aku telah kehilangan arah untuk meneruskan catatanku di sini.  Alhamdulillah, setelah kembalinya aku ke sini, maka dapatlah aku menulis kembali.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

AURA juga terdapat di alam semesta ciptaan ALLAH ini.  Ini memang berlaku jika kita dapat perhatikan tentang perubahan warna alam di sekeliling kita.  Namun, bukan semua warna alam itu terpancar jelas di pandangan mata.  Berikut adalah beberapa warna alam yang dapat kita hayati bersama berdasarkan perubahan masa….

Waktu Subuh ~ Alam berwarna biru muda.  Pada waktu ini, AURA alam akan mempengaruhi metabolisma badan.  Oleh itu, ia dikaitkan dengan penawar, dan sumber rezeki.  Ini bersesuaian dengan perintah ALLAH untuk kita menunaikan solat Subuh di awal waktu, dan anjuran untuk tidak lagi tidur selepas solat Subuh.  Ini adalah kerana pada waktu ini, AURA alam akan mempengaruhi keadaan badan kita.  Orang yang selalu meninggalkan solat Subuh, atau melewat-lewatkannya akan beransur-ansur menjadi semakin lemah dan mudah dijangkiti penyakit.  Mereka juga berpotensi untuk menghadapi masalah dalam komunikasi dan sumber rezeki.

Waktu Zohor ~ Alam berwarna hijau pada awalnya dan beransur-ansur menjadi warna kuning.  Warna kuning ada kaitan dengan sistem pencernaan dan keceriaan.  Ini sesuai kerana pada waktu ini, lumrahnya manusia akan makan dan berehat seketika.  Jadi, unsur warna alam ini membantu pencernaan dan penghadaman kepada sistem tubuh manusia.

Waktu Asar ~ Warna alam bertukar kepada spektrum oren.  Pada ketika ini, ia mempengaruhi kepada sistem reproduksi (pembiakan) dan kreativiti.  Orang yang sering tertinggal solat pada spektrum warna ini biasanya akan mempengaruhi sistem peranakannya dan daya pemikiran mereka.  Aku masih ingat sewaktu kecil dahulu sering diingatkan agar tidak tidur pada waktu ini kerana jika diamalkan akan menjadi gila.  Sekarang baru terbukti kerana pada waktu ini warna AURA alam sedang mempengaruhi daya kreativiti manusia.

Waktu Maghrib ~ Alam berubah menjadi warna merah.  Perhatikan betul-betul warna di dada langit pada waktu ini, warna merah akan tampak jelas dari kejauhan.  Warna merah ini juga ada kaitan dengan spektrum warna jin dan iblis.  Lantaran itu kita disuruh berada di dalam rumah, surau, untuk mengelak daripada warna alam ini.  Ilmu mistik juga mengakui bahawa suasana pada ketika ini memudahkan seseorang yang lemah semangat akan mudah dikuasai oleh jin.  Rahsia AURA pada waktu ini adalah berkaitan dengan keyakinan.  Jika seseorang itu berada dalam khusyuk semasa solat pada AURA alam ini, akan memudahkan dia mendalamkan lagi keyakinannya kepada ALLAH.

Waktu Isyak ~ Warna AURA alam bertukar menjadi warna indigo.  Pada ketika ini warna mempengaruhi ketenteraman dan kedamaian.  Sesuai dengan kehidupan manusia, pada ketika inilah masa untuk mereka berehat yang sebenarnya.

Waktu tengah malam ~ Warna alam berubah-ubah menjadi warna putih, merah jambu, dan ungu.  Warna ini sesuai untuk fungsi otak dan ketahanan tubuh.  Orang yang berada dalam keadaan rehat pada ketika ini akan menyerap AURA warna ini.  Ini sesuai kerana pada ketika ini manusia sedang tidur dan berehat untuk membetulkan semula fungsi tubuh.  Namun, bagi yang bangun untuk menunaikan solat (qiamullail) akan mendapat lebih banyak manafaat.  Ini berdasarkan fakta tubuh sedang menyerap lebih banyak AURA alam ketika berada dalam keadaan aktif, namun tenang.  Malah, udara pada waktu ini adalah udara yang sangat segar dan diserap terus oleh badan manusia.

Kenapa semua fakta AURA alam ini aku kaitkan dengan waktu solat?  Ini adalah sebagai bukti bahawa setiap waktu yang telah ditetapkan oleh ALLAH untuk menemuinya adalah suatu masa yang sangat indah dan berharga.  Ia akan memberi kebaikan kepada manusia secara langsung.  Ini adalah kerana, semasa solat, kita akan berada dalam keadaan yang sangat tenang seperti bermeditasi.  Oleh itu, tubuh akan menyerap AURA alam dengan lebih baik dan menyeluruh.  

Khamis, 16 Disember 2010

AURA ~ 3

Salam penuh AURA keceriaan daripadaku….

Apakah warna AURA yang akan terpancar daripada dalam diri kita?  Dan, apakah pengertian setiap daripadanya?

  1. Merah ~ Warna emosi yang terbit daripada dalam diri manusia.  Orang yang terlalu beremosi akan memancarkan warna ini di sekelilingnya.  Emosi dan perasaan ketika marah, dapat terpancar jelas pada wajah manusia.  Namun, di sekelilingnya juga terpancar AURA ini yang akan memberi kesan kepada pertimbangannnya.  Begitu juga emosi dalam kasih sayang.  Adakah ini warna ‘LOVE’?
  2. Oren ~ Warna yang menunjukkan semangat, sifat kreatif, dan emosi.  Warna ini baik dan memberi kesan positif kepada diri.  Jika kita memancarkan warna ini, semangat kita akan membara, emosi akan stabil dan cemerlang, dan daya kreativiti akan bertambah.
  3. Kuning ~ Warna ini akan dipancarkan oleh orang yang pintar, cerdik, bersifat intelek.  Semakin kuat warna ini terhasil, semakin kritis pemikiran seseorang itu.
  4. Hijau ~ Warna yang melambangkan sifat sensitif, dan cita-cita terhadap sesuatu yang sangat tinggi.  Orang yang memancarkan warna ini adalah orang yang berdikari, boleh dipercayai, pandai bersahabat, dan bersifat terbuka.  Namun, jika warna ini terlalu gelap, ia melambangkan orang itu terlalu gopoh, dan sangat kuat cemburunya.
  5. Biru ~ Warna yang melambangkan kepercayaan dan keyakinan.  Orang yang memancarkan warna ini adalah orang yang memiliki keunggulan dalam mentadbir.
  6. Indigo ~ Warna yang dipancarkan oleh orang yang bersifat penyayang, dan suci.  Warna ini paling sukar dilihat kerana lapisan warnanya sangat kecil dan sedikit.
  7. Ungu ~ Warna ini sangat hangat.  Ia akan mempengaruhi hati dan minda, iaitu gabungan fizikal dan rohani.  Orang yang baik hatinya, dan suka melakukan kerja kebaikan akan memancarkan warna ini dengan jelas.

Semua maksud warna ini adalah hasil daripada kajian yang dilakukan dengan menggunakan kamera fotografi Kirlian.  Untuk mendapatkan khidmat mengambil dan menganalisa sifat AURA kita, perlu dilakukan oleh golongan profesional yang ada kamera jenis ini sahaja.  Dan pastinya ia melibatkan sedikit kos.

Maksud yang tersirat daripada analisa fotografi ini bukanlah seperti meramal dan menujum seseorang.  Pancaran cahaya yang berlaku adalah daripada diri kita sendiri.  Kita tidak akan mampu untuk menipu diri kita atau menipu teknologi fotografi itu.  Ia berlaku secara semulajadi berdasarkan sifat diri kita sendiri.  Jika kita mampu untuk mendapatkah khidmat fotografi ini, tujuannya hanya satu; iaitu untuk menilai kembali diri kita berdasarkan sifat peribadi kita daripada dalam.

Catatan seterusnya akan membincangkan tentang warna AURA alam...

Sabtu, 11 Disember 2010

AURA ~ 1

Salam penuh kasih sayang kepada semua…

Sudah lama aku tidak ke sini.  Ini adalah disebabkan masaku banyak ditumpukan kepada membuat ulang kaji.  Ya, ulang kaji!  Kerana musim peperiksaan OUM sudah kembali….

Untuk catatan hari ini dan seterusnya, aku akan membicarakan tentang AURA.  Aku akan menjelaskan secara sepintas lalu apa yang dimaksudkan dengan aura, keadaannya sesuai dengan kuasa minda kita, dan pandangan Islam berkenaan dengannya.

Anda tahu apa itu aura?

mawi

Bila sebut pasal aura, ada yang teringatkan MAWI.  Maaf, aku bukanlah peminat Mawi, atau mana-mana artis, namun aku terpaksa menggunakan subjek Mawi sebagai gambaran.  Suatu masa dahulu, heboh diperkatakan, ‘Mawi ada AURA tersendiri…’  Jadi, apa sebenarnya AURA?

Adakah AURA hanya ada pada seorang yang bergelar artis sahaja?

Bagaimana pula dengan individu ini?

tok guru

Dan ini?

 mahathir

Adakah mereka juga mempunyai AURA tersendiri?  Sebenarnya, AURA ada pada setiap manusia.  Kuulangi, setiap manusia ada AURA, termasuk diriku dan diri kalian.  AURA adalah liputan molekul cahaya yang dikeluarkan daripada minda kita, meliputi seluruh badan kita.  Ia akan melingkari badan kita keseluruhannya berbentuk seperi ‘telur ayam’.  Lingkarannya akan berpurat mengikut arah lawan jam. 

Bagaimana ia terbentuk?

Apa kebaikan dan keburukannya kepada kita?

Nanti jawapannya, nak sambung study sikit lagi…. :)