Memaparkan catatan dengan label bahasa tubuh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bahasa tubuh. Papar semua catatan

Jumaat, 29 Mac 2013

Bercakap dengan Alam…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.  KM doakan, kita semua mendapat kebahagiaan yang hakiki daripadaNya…

Semasa KM muda aka budak sekolah rendah dulu, ada sebuah buku yang sangat KM minati dan baca berulang kali; Bercakap dengan Jin karangan Tamar Jalis.  Ada sesuatu aura menarik dalam penceritaan itu sehingga KM jadi terpukau untuk terus mengulang dan ulang bacaan ceritanya.

Namun, hari ini KM bukan hendak berbicara berkenaan bercakap dengan jin, tetapi Bercakap dengan Alam.  Nampak sama tapi bukan dia… Winking smile

Di sekeliling kita, pasti ada ramai rakan dan kenalan.  Dalam ramai itu, pasti ada yang dapat menjadi sahabat sejati untuk kita tumpang meluahkan perasaan dan masalah.  Namun, manusia ada pelbagai perasaan dan cara pemikiran yang terselindung, yang kita tidak dapat pastikan dengan jelas dan nyata tentang keikhlasannya, dan kejernihan hatinya.

Alam, iaitu pokok dan tumbuhan, dan haiwan pula adalah juga makhluk ALLAH yang tercipta di alam ini.  Alam, merupakan makhluk ALLAH yang patuh tanpa ada sedikit pun rasa sangsi tentang kewujudan dan kebesaran ALLAH.  Ini terbukti kerana ‘mereka’ sentiasa bertasbih dan berzikir memuji ALLAH.  Pokok-pokok, ikan di laut, semut yang melata, angin, awan, hujan, sungai yang mengalir, dan semuanya yang bernama alam, akan sentiasa patuh dengan arahanNya.  Justeru, ‘mereka’ sentiasa berada dalam gelombang yang rendah iaitu berada dalam tahap yang mendamaikan.

Jika kita ada masalah, dan berbicara dengan sahabat kita, pasti ia dapat meringankan sedikit rasa masalah itu.  Begitu juga jika kita meluahkan rasa bebanan itu kepada alam dengan bercakap dengan alam.

Kita mungkin pernah lihat ada manusia yang bercakap dengan kucing peliharaannya.  Kita dapat lihat, dia bercakap dengan bersungguh-sungguh seolah-olah kucing itu faham dan dapat memahaminya.

Kita juga mungkin pernah lihat ada manusia yang bercakap dengan pokok bunga.  Kita lihat dia bercakap tentang harapannya agar pokok bunga itu sentiasa segar dan berbunga dengan penuh keindahan.

Semua ini adalah contoh bercakap dengan alam.  Kerana manusia faham dan percaya bahawa, alam juga mampu untuk mendengar, mampu untuk memahami, dan mampu untuk meringankan perasaan manusia. 

Keindahannya, ada masalah yang seperti hadir jalan penyelesaiaannya selepas berbicara dengan kucing sendiri.  Masalah itu memang tidak akan selesai, atau kucing itu menyelesaikan masalah kita, namun selepas berbicara dengan kucing itu, jalan penyelesaian seperti hadir di hadapan kita.  Hanya kitalah yang perlu merebut peluang dan melaksanakan penyelesaian kepada masalah tersebut.

Keindahannya, bila berbicara dengan pokok, selepas itu nampak perubahan kepada pokok itu.  Ia seolah-olah faham dan hidup dengan lebih bersemangat.  Ia membesar dengan sihat, berbunga dengan indah, dan berbuah dengan rasa kenikmatan yang sebenar.

Semua ini adalah keindahan bercakap dengan alam.  Hanya orang yang memahami, merasai, dan melakukannya sahaja dapat faham erti sebenar bercakap dengan alam….

Jumaat, 22 Mac 2013

Pinjamkan sedikit….

Salam kedamaian daripada KM buat semua…

Sebut pasal pinjam meminjam ni, kadang kala ada yang tidak suka.  Rasa tidak suka ini hadir kerana ada yang memberi pinjam tetapi tidak pernah dapat semula apa yang diberi pinjam.  Kalau sedikit tak apalah, tapi kalau yang diberi pinjam itu barang berharga, tentu rasa sayang dan rugi sebab lesap begitu saja.

Tapi, ‘pinjam’ yang KM nak kongsikan dalam catatan hari ini bukan pinjam barang, tetapi sebaliknya pinjam SEMANGAT.  Ya, pinjam semangat daripada orang lain.

Mungkin kita semua pernah dengar perkataan ‘memberi semangat’.  Kata-kata ini sebenarnya meminjamkan semangat daripada seseorang kepada seseorang lain yang rasa kehilangan.  Inilah yang KM maksudkan dengan pinjam semangat.  Tetapi, biasanya ‘memberi semangat’ hanya diberikan oleh orang lain kepada kita (apabila diperlukan).  Tetapi hari ini, cuba jangan tunggu orang ‘memberi semangat’ itu, sebaliknya kita terus pinta dan pinjam semangat itu daripadanya.

Aku rasa sedih, boleh pinjamkan semangat kau?

Aku rasa marah, boleh pinjamkan kesabaran kau?

Aku rasa kecewa, boleh pinjamkan kedamaian kau?

Aku rasa sunyi, boleh pinjamkan keriangan kau?

Pernah tak anda lakukan ini?  Mungkin ada yang pernah dan ada yang akan rasa sinis dengan apa yang KM utarakan ini.  Tetapi sebenarnya, ia boleh berlaku dan dapat memberi semangat baru kepada kita.

Sepasang suami isteri harus saling berkongsi semangat.  Andai si suami berada dalam keadaan tegang, si isteri boleh memberikan semangatnya kepada suami, dan keadaan pasti akan menjadi tenang semula. 

Begitu juga jika dalam persahabatan.  Sahabat yang baik adalah pemberi pinjaman semangat yang baik kepada sahabatnya. 

Cubalah fikirkan….

Khamis, 21 Februari 2013

KM, teman, dan cermin….

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

KM selalu mengingatkan diri KM untuk sentiasa menjadi yang terbaik.  Muhasabah diri penting untuk membangunkan potensi diri.  Namun, kekadang kita lalai dan lupa untuk muhasabah dan menilai diri kita.  Lantaran itulah, kita perlukan orang lain untuk menilai dan memberi pandangan tentang diri kita di mata mereka.

Dalam erti kata yang lain, ada masanya kita perlukan rakan, sabahat, atau pasangan hidup untuk menyatakan kesalahan diri kita jika kita ada melakukan kesalahan.

Andai ada yang dapat menyatakan kesalahan diri kita dengan jujur dan ikhlas, maka terimalah ia dengan hati terbuka.  Cepat-cepat muhasabah diri tentang kebenaran kata-kata dan teguran itu.  Jika benar kita salah, maka perbetulkan segera.  Jangan saluti diri dengan keegoan hingga kita menutup mata dan telinga sekiranya kita ditegur.

Untuk memastikan kita ditegur dengan ikhlas, maka kita perlu ada orang yang baik-baik di sekeliling kita.  Orang yang baik yang menjadi teman itu pasti akan dapat memberi teguran yang nyata kepada diri kita.  Jika teman-teman di sekeliling kita hanya pandai membodek sahaja, maka pasti kita akan lebih tersasar dalam melakukan kesalahan dan kesilapan.

Untuk mendapat dan memastikan teman di sekeliling kita itu adalah teman yang baik, maka nilaikan diri kita.  Adakah kita baik dengan mereka?  Jika kita juga ada menyimpan dendam dan iri hati kepada teman di sekeliling kita, pasti mereka juga akan bersikap begitu kepada kita.  Dalam kata lain, pasti mereka juga adalah teman yang tidak baik kepada kita.

Pernah dalam satu sesi muhasabah diri, KM ambil sebuah cermin dan lihat diri KM.  KM ambil masa beberapa minit untuk melihat diri KM sendiri dalam cermin tersebut.  Bukan bercermin untuk lihat keindahan KM, atau jerawat batu yang timbul, tetapi bercermin untuk melihat dan menilai diri KM sendiri.

Bila KM senyum, pasti bayangan wajah KM dalam cermin itu juga tersenyum kepada KM.  Begitu juga sebaliknya.  Inilah gambaran kita dengan teman-teman di sekeliling kita.  Jika kita mudah tersenyum kepada mereka, pasti mereka akan mudah tersenyum kepada kita juga.  Dan begitu juga sebaliknya.

Oleh itu, KM ingatkan diri KM untuk sentiasa baik dengan semua orang di sekeliling KM, agar mereka juga baik dengan KM hingga ke tahap dapat memberi pandangan, teguran, dan nasihat berguna kepada KM.

Ahad, 18 September 2011

Pandangan Mata…

Salam ceria daripada KM buat semua…

Kata orang; ‘dari mata turun ke hati….’

Kata KM; ‘dari mata turun ke hati, naik semula ke minda’…

Kenapa KM tambahkah ayat di atas?  Kerana, ungkapan biasa; dari mata turun ke hati, ada kaitannya dengan perasaan.  Kononnya, apabila mata sudah bertentangan mata, maka hati mula bergelora.  Awas, jangan mudah terperangkap dengan cinta pandang pertama..!  Kerana minda perlu diutamakan lebih dari segalanya.  Bukan mata atau hati yang perlu membuat keputusan, sebaliknya mindalah yang perlu diutamakan.  Tanya semula dalam diri kita, buat keputusan yang terbaik, bukan hanya berserah kepada gelora jiwa yang mudah terpedaya…

muka 1

Gambar ni KM lukis menggunakan paint…KM memang tak pandai melukis, tapi rasanya memang jadi dah muka orang, ye tak?

Apa yang KM nak nyatakan di sini adalah cara atau kaedah terbaik untuk kita memerhati muka seseorang semasa berkomunikasi.  Semasa berkomunikasi, memang kita digalakkan untuk bersemuka.  Ini adalah untuk memastikan komunikasi itu berlangsung secara berkesan dan memberi impak yang diharapkan.  Namun begitu, komunikasi antara lelaki dengan perempuan haruslah ada landasannya yang wajar, jangan hingga menimbulkan fitnah di kemudian hari.

Bagaimana cara terbaik untuk kita menatap wajah seseorang semasa berkomunikasi?  Ada beberapa keadaan yang harus diberi perhatian.  Antaranya adalah sejauh mana kita mengenali seseorang itu, dan apakah topik komunikasi yang dibicarakan.  Untuk catatan kali ini, KM akan nyatakan keadaan jika seseorang itu baru kita kenali.  Mungkin di lain masa, KM akan jelaskan pula apabila seseorang itu sudah kenal lama dan sebagainya.

Bagi seseorang yang baru kita kenali, kita haruslah cuba bersemuka dengannya.  Kenali namanya dan perhatikan apakah keistimewaan yang ada di waahnya.  Contohnya jika seseorang itu ada tahi lalat di pipi, atau rambutnya yang bercacak-cacak, atau dagunya berlekuk, dan sebagainya.  Cuba sebut nama orang itu semasa berkomunikasi contohnya ‘Rahman berasal dari mana?’  Penggunaan awak, mungkin boleh digunakan di lain masa.  Ini adalah kerana, dengan memerhatikan keunikan wajah seseorang, dan menyebut namanya semasa komunikasi berlangsung, akan membolehkan kita mengingati individu itu dengan lebih baik.  Hal ini sangat berguna kepada seseorang yang sering berurusan dengan ramai orang dan memerlukan komunikasi selanjutnya pada masa akan datang.

muka 2

Rajah 1

Semasa berkomunikasi dengan seseorang yang baru kita kenali, cuba perhatikan kedua-dua matanya.  Gerakkan pandangan mata kita dari mata kanan ke mata kiri individu itu secara perlahan dan perhatikan matanya satu persatu.  Selang selikan pandangan matanya dalam beberapa kali dan kemudian berhenti di tengah-tengah antara anak panah itu lebih kurang di atas batang hidungnya.  Setelah beberapa ketika pandangan mata dihentikan di tengah-tengah garisan anak panah itu, lakukan kembali gerakan mata kita ke matanya secara berselang seli seperti tadi.  Lakukan beberapa ketika lagi dan berhenti semula di tengah-tengah seperti tadi.

Perlakuan ini haruslah dilakukan serentak semasa komunikasi berlangsung.  Ia mungkin agak sukar dilakukan pada permulaan kerana kita asyik memikirkan untuk menggerakkan pandangan dan dalam masa yang sama melaksanakan komunikasi.  Namun setelah beberapa ketika kita melaksanakannya, kita akan mula merasa selesa.

Apakah kebaikan pandangan mata ini dilakukan seperti yang disaran?  Kelebihannya adalah orang yang lawan komunikasi dengan kita itu akan menumpukan lebih perhatian semasa kita sedang berbicara.  Kita seolah-olah telah ‘memukau’nya untuk berkomunikasi dengan kita, malah mungkin apa sahaja saranan kita akan diturutinya.  Biasanya kaedah ini sangat digunapakai oleh orang yang ingin menjual sesuatu barangan kepada kita.  Jika kita berjaya menyesuaikan diri dengan cara pandangan ini, kita akan berjaya melakukan komunikasi dengan lebih berkesan dengan seseorang walaupun baru sahaja kita kenali.

Pada catatan yang lain, KM akan nyatakan pula teknik pandangan jika individu itu sudah rapat dan biasa dengan kita….

Sabtu, 28 Mei 2011

Bahasa Tubuh…

Salam penuh kebahagiaan…  Salam penuh ingatan buat semua.

Sejak beberapa ketika ini, aku sudah jarang dapat menulis di sini.  Beberapa siri latihan dan kursus terpaksa aku lalui hingga menyebabkan aku tidak langsung dapat bersantai di dunia blog.  Tambahan pula aku sekarang sedang mengumpul bahan dan maklumat untuk membina modul ‘Tak Nak Obes’ (obesiti) untuk murid-murid sekolah rendah.  Pembinaan modul ini walaupun dilakukan secara berkumpulan, namun memang sangat menuntut komitmen dan peranan yang sangat besar.  Apapun, aku berharap agar semua aktiviti dan pekerjaan ini akan membuahkan hasil yang baik dan dapat berguna kepada semua.

Beberapa hari yang lalu, (dalam sebuah kursus) rakanku mencuitku dan berbisik; “Perlukah bahasa tubuh dalam perbualan kita..?”

Aku menjawab dengan tersenyum; “Ya, memang perlu..”

Kenapa aku katakan yang aku menjawab soalan rakanku itu dengan tersenyum.  Aku tersenyum kerana sudah pasti soalan rakanku itu dilakukan kerana tertarik dengan cara, dan gaya penyampaian fasalitator yang melaksanakan kursus tersebut.  Fasalitator tersebut memang dari awal lagi aku perhatikan, mempunyai ciri menarik yang tertentu semasa berbicara.  Bukan hanya sekadar pergerakan tangan dan bahu, malah memek mukanya memang sangat menjadi dan memberi kesan.  Kesan inilah yang mampu menarik perhatian orang yang sedang berlawan bicara dengannya.

Suatu masa dahulu, aku juga pernah mengikuti kursus personaliti dan psikologi manusia.  Dalam kursus ini dibentangkan tentang psikologi manusia dan kesannya yang akan menggambarkan personalitinya.  Salah satu hasil bentangan adalah berkenaan bahasa tubuh.  Tubuh badan manusia berkait rapat dengan minda.  Kita akan menggunakan bahasa tubuh tanpa dikawal oleh minda sedar.  Maksudnya, ia berlaku sendiri tanpa kita sedari.  Walaupun kita berjaya mengawalnya untuk tujuan tertentu, namun pasti ada juga bahasa tubuh yang melambangkan sesuatu yang membuktikan siapa diri kita sebenarnya.

Sebagai contoh, seseorang yang dituduh melakukan sesuatu kesalahan pasti akan menunjukkan sesuatu tanda pada bahasa tubuhnya yang menggambarkan sesuatu, sama ada dia bersalah atau tidak.  Contohnya wajahnya berubah pucat, berpeluh secara sederhana, tangan selalu digosok-gosok atau digenggam, mata yang tidak tetap pandangan iaitu selalu melarikan pandangan daripada orang yang sedang menyoalnya, atau getaran suara yang tidak teratur…

Semua gambaran tubuh tadi melambangkan getaran mindanya (minda separa sedar) yang dipancarkan kepada tubuh.  Walaupun orang itu berpura-pura seperti biasa, pasti ia akan menunjukkan juga sesuatu tanda tentang situasi sebenarnya.

Bahasa tubuh memang sangat penting.  Kepentingannya berlaku kepada penyampai untuk tujuan menarik perhatian audien, dan kepada penerima untuk mengetahui sama ada penyampaian itu benar atau tidak…