Memaparkan catatan dengan label LOA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label LOA. Papar semua catatan

Khamis, 17 Januari 2013

Hukum Tarikan; suatu penjelasan ~3

Salam kedamaian daripada KM buat semua….

KM sengaja mencatatkan kembali penerangan berkenaan Hukum Tarikan (LOA) dan dinamakan suatu penjelasan ini kerana, ada seorang kawan yang menganggap hukum ini adalah palsu.  Malah, kawan ini mengatakan yang KM terikut-ikut dengan ilmuan barat yang cuba memesongkan akidah.

Pertamanya, KM memohon maaf andai apa yang KM tulis dalam blog ini dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kuasa minda tidak disenangi.  Bukan KM katakan yang kita ini akan dapat apa sahaja melalui minda kita, tetapi itulah sebenarnya yang berlaku.

KM nak imbau kembali tentang persamaan hukum graviti dan hukum tarikan.  Graviti adalah hukum yang ALLAH tetapkan berlaku di bumi ini.  Ia akan menarik apa sahaja mendekatinya.  Lantaran itu, kita tidak akan terapung-apung di awangan.  Graviti akan menarik apa sahaja, tidak kita baik atau buruk.  Andai ada meteor (batuan besar di angkasa) yang menghampiri bumi, ia tetap akan ditarik.  Dan jika batuan itu sampai ke bumi sebelum sempat terbakar di atmosfera, maka pasti bencana besar akan berlaku di bumi.  Pun begitu, ALLAH masih maha kuasa lebih daripada kuasa graviti itu.  Jika ALLAH katakan tidak kepada tarikan graviti, maka pasti batuan besar itu terus terapung dan menjauh daripada memasuki bumi.

Sama juga dengan hukum tarikan.  Hukum ini juga ciptaan ALLAH, bukan ciptaan ahli sains Barat.  Dalam hukum ini, manusia akan menarik apa sahaja yang difikirkan untuk mendekatinya.  Tidak kita perkara itu baik atau buruk, maka pasti ia akan menghampiri kita kerana kita yang menariknya melalui hukum tarikan.  Namun, jika ALLAH katakan tidak kepada apa yang difikirkan, maka pasti ia tidak akan berlaku jua kerana ALLAH lebih berkuasa daripada hukum tarikan.

Penjelasan KM kepada kawan KM yang tidak berpuas hati itu, hukum ini adalah hukum ALLAH.  DIA menciptakannya kepada manusia, dan hanya manusia yang tahu sahaja akan berjaya menggunakan hukum tarikan ini.  Beruntunglah kepada mereka yang telah menguasainya.  Malangnya, rugilah orang yang mempersendakannya kerana sentimen Islam vs Barat.  Bagi KM, kita wajar untuk terus mengkajinya dan mencari jawapan tentang hukum ini, bukan meminggirkannya hanya semata-mata ia telahpun terlebih dahulu dikaji oleh ilmuan dari Barat.

Selasa, 15 Januari 2013

Hukum Tarikan, suatu penjelasan ~ 2

Salam keceriaan daripada KM buat semua…

Menyambut catatan KM yang lalu berkaitan hukum tarikan…

Manusia mengeluarkan gelombang melalui otak.  Gelombang itu hanya dapat dikesan dan ditunjukkan melalui alat EEG, sejenis alat yang dapat memaparkan aktiviti gelombang dalam alam semesta.

Semasa manusia memikirkan perkara positif, maka gelombang positif sahaja yang akan dikeluarkan.  Begitu juga jika manusia memikirkan perkara negatif, maka gelombang negatif sahaja yang akan dikeluarkan.  Ini menjelaskan bahawa, dalam satu-satu masa, hanya satu gelombang sahaja yang akan aktif melalui pemikiran manusia dipancarkan ke alam semesta.

Teori gelombang menjelaskan bahawa akan menarik gelombang yang mempunyai frekuansi yang sama menghampiri pemancarnya.  Gambarkan manusia sebagai pemancar, dan mengeluarkan gelombang positif, maka perkara baik yang positif akan tertarik kepada manusia (pemancar).

Inilah yang dinamakan hukum tarikan.  Penjelasannya, apabila manusia memikirkan perkara baik, maka kita MENARIK perkara yang baik itu menghampiri kita. 

Ahad, 13 Januari 2013

Hukum Tarikan; suatu penjelasan

Salam kedamaian daripada KM buat semua…

Sebelum ini pun, KM sudah pernah menulis tentang hukum tarikan (Law of Attraction – LOA), namun kali ini KM mahu menulis lagi tentang hukum ini.

LOA sama sahaja seperti hukum-hukum alam yang lain.  Contohnya hukum graviti.  Tiada siapa pun yang menafikan bahawa graviti akan menarik apa sahaja mendekatinya.  Walaupun kita tidak nampak, dan tidak dapat menunjukkan graviti secara nyata, namun ia tetap ada dan hukum graviti tetap melakukan tugasnya seperti yang diperintahkan ALLAH.

Begitu juga dengan hukum tarikan aka LOA.  Ia juga adalah hukum alam yang wujud dan tidak dapat kita tunjukkan dengan jelas.  Apa yang pasti, ia ada dan tetap melakukan tugasnya seperti yang diperintahkan ALLAH.

Apakah hukum tarikan?  Hukum tarikan sebenarnya adalah apa sahaja yang ‘ditarik’ kepada kita sesuai dengan apa yang kita fikirkan.  Diri kita ini adalah seperti magnet besar yang menarik sesuatu kepada kita.  Andai kita memikirkan tentang keseronokan, maka keseronokan akan datang kepada kita.  Andai kita memikirkan kesusahan, maka kesusahan akan datang kepada kita.  Andai kita memikirkan kekayaan, maka kekayaan akan datang kepada kita.  Andai kita memikirkan tentang kesempitan hidup, maka kesempitan hidup akan datang kepada kita.

Dalam bahasa yang mudah, apa sahaja yang kita fikirkan maka kita akan menarik perkara itu kepada kita.  Tidak kiralah sama ada perkara itu baik atau buruk, maka kita akan tetap menariknya mendekati diri kita.

Jadi, jaga cara pemikiran kita.  Fikirkan yang baik-baik, maka yang baik-baik itu akan menjadi milik kita.

Khamis, 10 Januari 2013

Tarik rezeki di awal pagi…

Salam kedamaian kepada semua…

  1. Bangun awal.
  2. Mandi awal, sebelum azan subuh.
  3. Solat subuh dengan khusyuk.  Sebaiknya dapat solat secara berjemaah, kerana banyak rahsianya.  (Andai tidak mampu berjemaah di surau atau masjid kerana tuntutan tugasan lain, cubalah lakukan pada ketika cuti)
  4. Yakinkan diri bahawa rezeki ALLAH sangat luas untuk dikecapi oleh semua.
  5. Doa dengan penuh kerendahan diri memohon untuk mendapatkan kemewahan rezeki daripadaNya.
  6. Ketika membuka pintu rumah kali pertama untuk keluar, tarik nafas dengan penuh kelegaan, dan rasakan seolah-olah kita sedang membuka ‘pintu rezeki’.  Semasa keluar dari rumah untuk kali pertama di awal pagi itu, rasakan seolah-olah kita sedang masuk ke dalam ‘kamar rezeki’ yang sangat luas.

Perkara-perkara di atas, jika kita amalkan, ia seolah-olah satu bentuk meditasi dalam diri tentang rezeki yang kita akan terima pada hari itu.  Lakukan berterusan dengan penuh keyakinan dan kesungguhan.  Anda pasti dapat merasai tentang kemewahan rezeki yang anda terima seolah-olah ditarik-tarik kepada diri anda.

Selasa, 8 Januari 2013

Penapis RAS ~ 3

Salam kedamaian daripada KM buat semua…

KM hendak membeli sebuah kereta.  Maka KM menetapkan apakah jenis kereta yang hendak dibeli.  Niat KM, dengan adanya kereta itu, dapatlah KM gunakan dengan lebih selesa berbanding dengan kereta yang ada sekarang kerana sudah terlalu uzur.  KM percaya dan sangat yakin bahawa kereta yang KM idamkan itu sangat istimewa dan baik untuk kegunaan KM.  Ini adalah berdasarkan saranan kawan-kawan yang sudah pernah menggunakan jenis kereta yang sama.  KM selalu memikirkan tentang kereta itu dan yakin KM mampu untuk memilikinya.  Tahu apa yang KM rasa setiap kali ‘terserempak’ dengan jenis kereta yang sama di jalan?  Pastilah rasa berbunga-bunga di dalam hati.  Seronok sangat, seolah-olah kereta itu memang sudah menjadi milik KM.

Inilah gambaran yang KM lakukan pada tahun lepas.  Alhamdulillah, semakin KM fikir-fikirkan tentang kereta itu, dan menetapkan hati untuk memilikinya, semakin kerap KM ‘terserempak’ dengannya di jalan ( hukum LOA ).  Tidak sampai 4 bulan KM ‘bermain-main’ dengan RAS dalam minda, syukur alhamdulillah kereta itu sudah menjadi milik KM.

Semasa KM ‘bermain-main’ itu, sebenarnya RAS sudah berfungsi.  Kereta lain (yang mungkin lebih hebat) tidak langsung terlintas di hati KM.  Inilah yang dilakukan oleh RAS, menapis keinginan terhadap kereta jenis lain.  Pandangan sebahagian rakan-rakan yang cuba membunuh hasrat KM untuk memiliki kereta itu juga tidak berjaya, mereka menyatakan kereta itu mahal, sukar dijaga, dan sebagainya.  Semua pandangan itu tidak berjaya masuk ke dalam minda KM kerana RAS menapis hasutan itu dengan jayanya.  Alhamdulillah, setelah memakai kereta ini, ternyata semua yang rakan-rakan katakan itu tidak benar belaka.

KM sentiasa berfikiran positif dari segi kemampuan dan keupayaan kewangan untuk memiliki kereta ini.  Alhamdulillah, kewangan KM lebih dari cukup untuk membayar kereta ini.  Sekali lagi RAS berfungsi untuk menolak semua rasa kesukaran dari segi pembayaran.

Emosi KM jadi makin hebat dan berbunga-bunga setiap kali dapat memandu kereta ini.  Alhamdulillah, rakan-rakan yang dahulunya memberikan ‘hasutan’ akhirnya turut merasa sangat selesa dan rasa lain apabila naik kereta yang KM miliki ini.

Inilah yang benar-benar berlaku.  Alhamdulillah, KM rasa sangat bersyukur dan gembira kerana apa yang KM idamkan telah menjadi kenyataan dan menambahkan lagi keyakinan KM.

Sabtu, 5 Januari 2013

Penapis RAS ~ 2

Salam penuh kasih sayang daripada KM buat semua…

Meneruskan penerangan berkenaan Reticular Activating System (RAS) yang KM nyatakan dalam catatan yang lalu. 

Jika kita amati, penapis ini (RAS) sangat rapat dengan kita.  Ini adalah kerana, ia berfungsi dan bertindak dalam sistem saraf tunjang dalam otak.  Ini membuatkan, setiap apa sahaja yang kita fikirkan (sama ada baik atau buruk) maka ia akan bertindak balas untuk menapis perkara yang tidak dikehendaki dalam diri kita.  Oleh itu, berhati-hatilah dengan apa yang kita sarankan kepada diri.

RAS akan berfungsi dengan 5 keadaan yang sangat sinonim dengan diri.  5 perkara itu adalah; matlamat, niat, kepercayaan, cara berfikir, dan emosi.  Kelima-lima perkara ini akan berkaitan antara satu sama lain dan menentukan apa yang akan ditapis oleh RAS, dan membiarkan perkara yang disarankan masuk ke dalam minda.

Matlamat; hala tuju dan kehendak.

Niat; keyakinan yang mendalam bahawa perkara itu dilakukan adalah kerana sesuatu.

Kepercayaan; keyakinan diri bahawa sesuatu itu pasti akan berlaku.

Cara berfikir; bagaimana olahan minda kita, sama ada positif atau negatif.

Emosi; elemen penting dalam diri untuk meningkatkan keyakinan bahawa sesuatu itu memang sesuai dengan kehendak diri.

Ahad, 16 Januari 2011

Hukum Penarikan ~ 7

Salam penuh kebahagiaan daripadaku untuk semua…

Lantaran ‘terperangkap’ di sebuah lokasi kerana ditugaskan untuk membuat perancangan aktiviti tahun 2011, maka aku tidak dapat menulis di sini.  Tangan terasa gatal-gatal kerana sudah lama tidak menaip.  Hanya malam tadi aku dapat sampai ke rumah dengan selamat.  Badan sudah terlalu letih, maka tidur adalah keutamaanku pada ketika itu.  Dan kini aku kembali menulis sahaja di pagi yang indah ini….

Ada seorang kawanku berkata, LOA adalah sebuah hukum yang dicipta oleh khayalan manusia.  Katanya, ini bukan hukum alam seperti hukum graviti (menurut seperti yang aku terangkan dulu).  Menurutnya, hukum graviti tidak pernah ‘gagal’, sebaliknya LOA tidak pernah berjaya dilakukan dalam kehidupannya.  Memang aku akui, kekadang kita akan merasakan seperti LOA itu tidak berjaya.  Namun, ia tidak berjaya bukan kerana hukum alam ini gagal, sebaliknya kitalah yang gagal untuk menarik sesuatu itu daripada terjadi.  Ini berdasarkan seperti yang aku jelaskan dahulu, ia berkaitan dengan cara pemikiran kita.  Jika kita masih ragu-ragu, atau kita sendiri menukarkan apa yang kita mahukan dalam proses kejayaan itu berlaku, maka segalanya akan berubah.  Lantaran itu, apa yang kita inginkan pada mulanya tidak akan berlaku.

Contohnya, jika kita meyakinkan diri, dengan berkata-kata semangat untuk berjaya cemerlang dalam PMR, kita berusaha dari segi fizikal (mengulangkaji pelajaran dan membuat latihan) dan mental (melakukan LOA).  Namun dipertengahan usaha itu dilakukan maka kita sering tertekan dan takut jika kita gagal.  Cuba perhatikan, pada ketika perasaan itu berlaku, adakah kita masih mengekalkan keyakinan itu?  Pasti sahaja jawapannya tidak.  Pada ketika itu, kita telah memikirkan kegagalan.  Maka, jika kita tidak berjaya, bukan kerana hukum LOA itu tidak berjaya.  Ia berlaku kerana kesalahan kita yang telah menukarkan ‘siaran’ tarikannya di tengah jalan.

Aku pernah bertanya kepada rakanku itu, berapa kalikah usaha yang dilakukan untuk membuktikan kebenaran LOA?  Katanya, dua atau tiga kali.  Aku katakan kepadanya bahawa, LOA adalah kaitan antara keinginan dengan kehebatan getaran kuasa minda kita untuk menarik perkara yang diinginkan itu untuk mendekati diri kita.  Aku telah jelaskan dahulu bahawa ia perlu dilatih.  Jika kita tidak melatihnya, maka pasti kita tidak akan berjaya membuktikannya akan berlaku.  Contohnya dulu, semasa kecil, tentu kita semua pernah belajar untuk menunggang basikal.  Adakah dengan sekali cubaan sahaja kita telah berjaya melakukannya?  Bagiku, setiap perkara baru yang sedang kita lakukan pasti sama seperti menunggang basikal.  Jika permulaan dulu, pasti kita pernah jatuh (gagal).  Namun semakin lama kita berlatih, maka semakin pandai kita untuk mengawalnya.  Malah ada yang benar-benar hebat hingga dapat menunggang basikal itu dengan melepaskan tangannya!

Kepada semua pembaca yang pernah mengikuti siri catatan LOA ini juga harus ingat bahawa setiap sesuatu yang berlaku itu tetap dengan keizinan ALLAH jua.  Jika apa yang kita ‘tarik’ masih belum berjaya, ini bukan bermakna kita gagal atau hukum LOA ini tidak wujud.  Kita perlu kembali semula kepada  Yang Maha Mencipta kehebatan ini.  Hanya DIA yang Maha Tahu kenapa kekadang apa yang kita mahukan itu gagal ditarik. 

Salam sayangku buat semua di pagi yang penuh semangat ini…

Rabu, 12 Januari 2011

Hukum Penarikan ~ 6

Salam penuh semangat kepada semua…

Masih lagi dalam membicarakan berkenaan hukum penarikan atau Law of Attraction (LOA).

Maha Suci ciptaan ALLAH yang telah menganugerahkan manusia dengan kehebatan minda.  Dalam minda kita, tercipta satu kebolehan iaitu ‘membayangkan’ sesuatu.  Dalam bahasa mudahnya adalah berangan-angan.  Tetapi awas, jangan terlebih berangan-angan kerana ia akan membazirkan masa sahaja.

LOA akan terlaksana mengikut hukum alam (dengan keizinanNya jua) apabila berlaku empat perkara.  Perkara yang dimaksudkan adalah keinginan, imaginasi dan kata-kata, emosi yang sesuai, dan keyakinan.

Dalam keadaan ini, pertama sekali manusia perlu ada apa yang diinginkan.  Kemudian kita perlu menggunakan kehebatan minda kita dengan mengimaginasikan keinginan tersebut.  Peringkat ini adalah peringkat yang paling penting untuk memastikan LOA berlangsung mengikut kehendak kita.  Kemudian, pastikan imaginasi itu disusuli dengan emosi yang sesuai.  Dan akhirkan dengan keyakinan bahawa perkara itu benar-benar akan berlaku…

Penerangan pada hari ini adalah berkenaan angan-angan.  Dalam bahasa sains minda dinamakan visualisasi dan dalam bahasa mudah yang lain disebut imaginasi.  Sebenarnya manusia dilengkapi dengan kemahiran memvisual.  Kekadang, kita perhatikan seseorang yang sedang berangan dengan hebat hingga pandangannya mampu untuk ‘menembusi dinding’ yang berada di hadapannya.  Apabila kita berdehem atau batuk-batuk kecil, barulah dia kembali ke alam nyata.  Sedarkah kita, sebenarnya pada ketika keadaan itu berlaku, orang itu sebenarnya sedang berada di tahap khayalan yang sangat tinggi.  Di hadapannya bukan lagi dinding, tetapi adalah gambaran kepada apa yang sedang divisualkan.  Tentu kita semua pun pernah mengalaminya…

Apa yang hendak dihuraikan di sini adalah, dengan melakukan visualisasi yang hebat seperti berangan-angan itu, akan memudahkan lagi LOA terlaksana.  Jika kita mampu untuk berangan sehingga tembus pandangan, kenapa kita tidak gunakan kemahiran itu untuk melakukan imaginasi / visualisasi?

Semasa seseorang itu sedang bervisualisasi, maka dia telah menghantarkan isyarat tentang visual itu ke getaran di alam semesta.  Hukum getaran akan menarik perkara yang sama.  Contohnya frekuansi yang ada di alam semesta akan ditarik oleh gelombang radio yang sama frekuansinya.  Sebab itu kita mampu untuk mengubah-ubah sesebuah siaran radio.  Berbalik kepada penerangan di atas, apabila kita membayangkan sesuatu terjadi dengan betul, maka ia akan menarik perkara itu menjadi kenyataan.  Hukum inilah yang dinamakan LOA, hukum bagaimana manusia mampu menarik sesuatu yang diinginkan.

Segalanya berlaku dengan kehendak ALLAH, namun asbab kejadian itu berlaku adalah berdasarkan kuasa minda yang telah ALLAH kurniakan kepada kita.  Jika hebat cara penggunaannya, maka hebatlah hasil yang akan kita perolehi.  Sama-sama kita kuasai minda kita kerana kita adalah antara yang terhebat dalam ciptaanNya…

Selasa, 11 Januari 2011

Hukum Penarikan ~ 5

Salam kasih sayang daripadaku buat semua…

Sambungan kepada emosi mempengaruhi LOA; akan kujelaskan lagi sekarang…

Ada yang berkata; sukar untuk mengawal emosi.  Ada yang berkata; sukar untuk mencipta emosi positif untuk melakukan penarikan LOA.  Sebenarnya, ia tidaklah sesukar mana.

Analogi;

Cuba lihat kepada atlet bina badan, yang memiliki otot pejal dan kental di seluruh badan mereka.  Adakah mereka memang dilahirkan begitu?  MasyaALLAH, kalaulah ada bayi yang dilahirkan terus dengan otot pejal dan berketul-ketul itu, pasti jadi berita hangat seluruh Malaya…

Apa yang dilakukan oleh atlet bina badan adalah dengan melakukan senaman dan latihan mengangkat berat.  Latihan dan rutin ini akan mengembang dan sekaligus memejalkan otot-otot mereka.  Keadaan ini diteruskan sehingga mereka benar-benar berpuas hati dengan bentuk badan yang diinginkan.  Makanan yang diambil juga harus seimbang dan mampu membina sel-sel badan.  Bro Ben Ashaari tolong betulkan jika salah ye…

Penjelasan;

Melalui latihan yang dilakukan mereka akan membina otot.  Melalui makanan yang sesuai yang diambil akan membina otot.  Rutin yang dilakukan seharian akan memastikan otot itu terbentuk dan kekal pada badan mereka.

Keadaan ini sama sahaja seperti membina emosi positif dalam diri.  Jika kita tidak melatih minda untuk memikirkan sesuatu yang positif, pasti emosi positif tidak akan hadir dalam diri kita.

Satu teknik yang sangat berkesan untuk memastikan kita mampu untuk mencipta emosi positif dalam minda adalah melalui imbasan kenangan.  Mungkin kita ada sesuatu peristiwa yang menunjukkan sesuatu kejayaan.  Contohnya peristiwa semasa menerima ijazah atau diploma pertama.  Semasa peristiwa itu berlangsung, pasti kita ada mengambil gambar.  Maka, teknik yang dimaksudkan adalah; gantungkan gambar kenangan kejayaan itu di suatu tempat yang sering dapat kita lihat.  Apabila kita melihat gambar itu, pasti kita akan merasa sangat seronok, bangga, dan berbunga di dalam hati.  Keadaan ini sebenarnya merangsang minda untuk mencipta lebih banyak emosi positif.

Suatu masa dahulu, aku pernah letakkan piala johan pidato di meja belajarku.  Aku sering lihat piala itu, dan kenangkan kembali kejayaan itu.  Kekadang, ibuku ada mengalihkan piala itu ke tempat yang lebih sesuai.  ‘Menyemakkan meja’ katanya.  Namun aku jelaskan bahawa piala itu memberikan semangat kepadaku.  Walaupun aku sudah tidak lagi aktif berpidato dan bersyarah ketika itu, namun piala itu memberi semangat kepadaku.

Lihat sahaja kepada pegawai-pegawai penting di syarikat-syarikat besar.  Apa yang digantung di dinding bilik mereka?  Pasti sahaja yang dibingkai kemas dan digantung adalah sijil dan anugerah penghargaan tertentu.  Sebenarnya, semua itu bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada tetamu yang berurusan di bilik itu, tetapi ia adalah merupakan simbol kejayaan.  Simbol ini apabila sering dilihat maka akan terus membakar semangat dan membina emosi yang sangat hebat dalam diri mereka.

Satu contoh lagi, seorang rakanku yang sama-sama pernah menyertai sukan silat olahraga (namun dia lebih berjaya, tahniah..!) sering menampalkan gambar Rozaidi Abd Rahman, salah seorang pesilat negara.  Ada juga tampalan gambar Bruce Lee dan Jackie Chan di dinding biliknya.  Katanya, sebagai pembakar semangat.  Ya, memang benar.  Gambar-gambar itu telah memberi kesan emosi yang sangat hebat kepada dirinya.  Lantaran itu dia sangat berjaya dalam sukan yang diceburinya itu (sekarang menjadi salah seorang jurulatih di MSSM Pulau Pinang).

Emosi mampu dicipta.  Kita boleh cipta emosi positif yang kita inginkan berdasarkan kejayaan-kejayaan kita yang lalu.  Sangat mustahil jika ada yang berkata, mereka langsung tidak pernah berjaya.  Sesungguhnya kita semua pernah berjaya, sama ada kecil atau besar.  Manafaatkan kejayaan itu untuk terus membina emosi yang sangat hebat untuk terus melakukan kejayaan-kejayaan yang lain.

Isnin, 10 Januari 2011

Hukum Penarikan ~ 4

Salam penuh kecemerlangan…

bahagiaGambar daripada internet 

Hari ini aku akan sambungkan bagaimana LOA akan terlaksana dengan perkaitan emosi.

Manusia adalah makhluk yang diberikan emosi yang sangat hebat.  Apabila kita bercakap berkenaan emosi, kita sering menggambarkan tentang kesedihan, merajuk, marah, dan sebagainya.  Bukankah itu semua perkara yang berkaitan dengan negatif?  Ya, semua yang di atas adalah perkara negatif.  Sebenarnya, emosi bukan hanya sekadar berkaitan dengan perkara-perkara yang negatif hingga ada ungkapan, 'dia tu kuat beremosi..’

Emosi juga berkaitan dengan perkara positif.  Gembira, seronok, bahagia, teruja, dan sebagainya adalah contoh emosi yang positif kepada manusia.  Itu adalah perkara yang perlu kita fahami….

Kenapa agaknya emosi dapat mempengaruhi LOA?

Apabila kita berkata kepada diri, apabila kita memikirkan dalam imaginasi kita; bahawa kita ingin berjaya mendapat kecemerlangan dalam pelajaran (contoh), tiba-tiba kita ‘diserang’ dengan perasaan emosi negatif seperti keraguan, ketidakpercayaan, dan sebagainya.  Pada ketika itu kita mula memikirkan bahawa kita memang lemah dalam subjek tertentu.  Kita jarang mendapat markah tinggi dalam pelajaran.  Adakah anda rasa bahawa imaginasi dan kata-kata bahawa kita mahukan kecemerlangan dalam pelajaran tadi akan berlaku?

Jawapannya pasti sahaja TIDAK!

Ini adalah kerana, emosi kita tidak selari dengan apa yang kita mahukan.  Sebaliknya, emosi negatif yang bersarang dalam diri akan menarik kegagalan itu menjadi kenyataan.  Maka, gagallah usaha untuk LOA melaksanakan tugas menarik kejayaan seperti yang kita impikan.

Apa yang perlu kita lakukan adalah mencipta emosi yang seimbang dengan imaginasi.  Jika kita inginkan kejayaan dalam sesuatu perkara, cuba rasakan apakah emosi kejayaan tersebut.  Rasakan bagaimana kita merasa seronok sangat kerana mencapai kejayaan tersebut, lahirkan rasa kesyukuran walaupun kejayaan itu belum berlaku lagi, cipta rasa sangat teruja untuk mencapai kejayaan tersebut.  Apabila ini berlaku, maka kita telah ‘menipu’ diri sendiri.  Penipuan ini akan menyebabkan minda merasa yang kita sangat yakin bahawa ia akan terlaksana.  Keadaan ini akhirnya akan membuatkan LOA akan melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

Namun, kadang kala kita sering tertewas.  Pasti ada juga rasa tidak percaya bahawa apa yang kita inginkan itu akan terlaksana atau tidak.  Jika rasa ini berlaku, maka cepat-cepat kuatkan semangat, cekalkan hati, dan terus ubah perasaan itu kepada emosi yang lebih positif.  Rasakan dan tukarkan ia sebenar-benarnya kerana kita pasti tidak mahu emosi negatif ini akan membantutkan kejayaan yang diimpikan.

Teruskan kekal cemerlang dengan emosi yang positif.  Pasti anda akan dapat lihat kesannya…

Ahad, 9 Januari 2011

Hukum Penarikan ~ 3

Salam penuh keceriaan buat semua…
Masih ingat dengan kisah Aiman Hanafi..?
Sebenarnya, penerangan berkenaan LOA bukan ada pada budak kreatif bernama Aiman tersebut.  Tetapi, LOA berlaku kepada Pak Hanafi (lakonan Aflin Shauki).  Apa yang ditunjukkan dalam klip iklan tersebut adalah Pak Hanafi sering melihat kepada gambar motosikal berkuasa tinggi dalam bekas tin simpanan wangnya.  Sebenarnya, apabila kita sering melihat kepada sesuatu objek, atau gambar, atau tulisan tertentu, yang sesuai dengan kehendak dan keinginan kita, maka di sinilah berlakunya LOA.  Semasa melihat sesuatu yang kita ingin miliki, dalam masa tersebut kuasa minda akan mengaktifkan tenaga bahawa kita inginkan perkara itu hadir dalam kehidupan kita.
Lantaran itu, walaupun Pak Hanafi tidak mampu untuk membeli motosikal berkuasa tinggi, namun ada ketikanya lalu sebuah motosikal yang diidamkan itu di hadapannya.  Malah, semakin kuat gambaran mental dan imaginasinya terhadap perkara itu membuatkan pada suatu ketika, anaknya sendiri (Aiman) pulang dengan menghadiahkan kepadanya motosikal yang diidamkan selama ini.
Dalam situasi ini menunjukkan, semakin kuat keinginan kita, semakin kuat imaginasi kita, semakin kuat kita bervisualisasi, atau dalam bahasa mudahnya, semakin kuat kita berangankan untuk memiliki sesuatu, maka akhirnya ia akan direalisasikan dalam kenyataan hidup kita.
Alangkah indah dan hebatnya jika Pak Hanafi dapat mengetahui tentang hal ini dari awal.  Maka tentu dia dapat melakukan imaginasi dan visualisasi terhadap perkara-perkara lain yang lebih hebat dari awal, seperti membayangkan dia memiliki sebuah kedai buah di bandar yang mampu menjana kejayaan dalam perniagaannya dengan lebih hebat.  Pasti kehidupan mereka sekeluarga tidak terlalu sempit hingga terpaksa menolak semua permintaan anaknya.
Alangah indah dan hebatnya, jika kita sendiri tahu dan faham dengan hukum tarikan ini / LOA, hingga kita dapat membayangkan kejayaan kita dengan lebih baik dan berjaya.
Cuba perhatikan, jika kita baru sahaja berpindah ke sebuah kawasan baru kerana mendapat kerja.  Dalam masa yang sama kita tercari-cari sebuah rumah sewa yang sesuai dan berdekatan dengan tempat kerja tersebut.  Ada yang dari awal merasakan sangat ragu dengan kejayaan untuk mendapat rumah sewa dengan mudah.  Apabila kita meragukan dan membayangkan susahnya untuk mendapat rumah sewa di kawasan itu, maka kita telah mengaktifkan tenaga untuk menarik keraguan itu.  LOA akan bekerja dan membuatkan semua usaha kita mendapat rumah sewa tidak berjaya.
Contoh mendapatkan rumah sewa ini aku berikan berdasarkan apa yang aku pernah lalui suatu ketika dahulu.  Lebih kurang empat tahun lalu, aku berpeluang untuk melanjutkan pelajaran (dalam masa yang sama cuti dengan bergaji, alhamdulillah).  Tempat pembelajaran itu memang sebuah tempat yang sangat padat dengan penduduk hingga dari awal lagi semua orang mengatakan bahawa kawasan tersebut sukar untuk mendapatkan rumah sewa.  Namun, aku bulatkan hati dan semangat.  Lebih kurang seminggu sebelum melapor diri, aku telah mengaktifkan kuasa penarikan daripada kuasa minda dalam diriku.  Aku sering bayangkan bagaimana mudahnya aku menemui seseorang dan berjaya mendapat sebuah rumah sewa.
Dalam bayangan imaginasiku itu, aku bayangkan dengan jelas bertemu dengan seorang lelaki tua, aku bayangkan aku membayar sejumlah wang kepadanya, aku bayangkan lelaki tua itu menyerahkan kunci kepadaku, dan aku bayangkan menggunakan kunci itu untuk membuka sebuah rumah dan masuk, dan tidur di dalamnya…..  Aku bayangkan perkara itu dengan penuh semangat dan penuh emosi (rasa seronok dan bersyukur). 
Pada hari melapor diri, aku berkenalan dengan beberapa orang rakan yang turut sama mencari rumah sewa.  Setelah selesai semua urusan, maka kami memulakan misi untuk mencari rumah sewa yang berdekatan.  Kebetulan ketika itu hampir masuk waktu Zohor, maka kami mengambil keputusan untuk solat di masjid terlebih dahulu.  Selesai bersolat, ada seorang lelaki bertanyakan kami (kerana seperti asing di kawasan tersebut).  Dalam percaya dengan tidak, rupanya lelaki itu ada sebuah rumah sewa yang baru sahaja penghuninya perpindah minggu lepas.  Maka terjadilah terus apa yang aku bayangkan.
Lihatlah, betapa mudahnya (dengan ketentuan ALLAH jua), kuasa minda manusia menarik apa yang kita inginkan menjadi kenyataan.  Inilah LOA.  Inilah hukum penarikan.  Inilah kehebatan kuasa minda manusia yang dianugerahkanNya kepada kita.  Dan percayalah, kita semua mampu untuk menarik apa sahaja yang kita inginkan.
Ikuti sambungannya….

Sabtu, 8 Januari 2011

Hukum Penarikan ~ 2

Salam kecemerlangan daripadaku buat semua…

Aku kini sedang menyiapkan beberapa siri penerangan berkenaan Hukum Penarikan / Law of Attraction (LOA).

Seperti yang dinyatakan sebelum ini bahawa, kuasa minda manusia adalah satu bentuk penarikan kepada hukum ini.  Apa yang menyebabkan kuasa minda dapat berfungsi sebagai penarik kepada hukum ini? 

Kuasa minda menjadi seperti magnet untuk menarik sesuatu melalui imaginasi.  Imaginasi atau gambaran mental juga disebut sebagai visualisasi.  Apabila manusia berimaginasi tentang sesuatu dengan menggambarkan dalam pemikiran kita, sebenarnya kita telah mewujudkan suatu bentuk tenaga.  Imaginasi yang dilakukan sama seperti suatu bentuk gambaran yang dirakam dalam minda manusia.  Apabila ini berlaku, maka ia akan menarik perkara atau situasi itu untuk berlaku dengan nyata.

Minda separa sedar manusia tidak akan tahu sama ada perkara itu baik atau buruk.  Apabila kita telah menggambarkannya dalam imaginasi maka ia akan ‘menangkap’ gambaran tersebut untuk direalisasikan. (Itulah kehebatan kuasa minda yang dianugerahkan ALLAH kepada setiap manusia).

Bagaimana imaginasi ini dapat direalisasikan adalah daripada kuasa ALLAH.  Hanya DIA yang tahu bagaimana hukum ini terjadi dan terlaksana.  Namun ia akan benar-benar berlaku.  Hal inilah yang dinamakan penarikan iaitu apa yang kita fikirkan maka itulah yang akan tertarik kepada kita dan menjadi kenyataan.

Catatan ini diakhiri dengan satu contoh mudah…

imagesCANQKQ4F Gambar internet

Beberapa tahun lalu ada sebuah iklan tv berkenaan seorang budak lelaki kreatif dan inovatif bernama Aiman Hanafi.  Dalam klip iklan tersebut, budak ini selalu meminta untuk dibelikan barangan permainan kepada bapanya, seorang penjual cempedak (lakonan Aflin Shauki).  Namun permintaan itu sering dihampakan kerana bapanya ‘tidak mampu’.  Ini membuatkan Aiman sentiasa mencipta sendiri barang permainannya.

Satu sedutan dialog yang masih aku ingat…"Aiman, kalaulah pokok cempedak ayah tu berdaunkan emas, usahkan kereta….kereta kebal pun ayah akan belikan…”

Sebenarnya, si ayah bukanlah tidak mahu melayan kehendak Aiman, sebaliknya iklan ini menunjukkan sikap si ayah yang sentiasa berjimat cermat…Setiap wang hasil pendapatannya sering dikumpulkan walaupun dengan beberapa keping syiling.  Semua wang itu dikumpulkan dahulu dalam sebuah bekas tin sebelum dimasukkan ke dalam bank.

Di sinilah perkara yang berkaitan dengan imaginasi berlaku….  Jika kita masih dapat dipaparkan dengan klip iklan itu maka kita akan dapati bahawa si ayah sering melihat gambar sebuah motosikal berkuasa tinggi yang dilekatkan pada bahagian dalam penutup tin simpanan wangnya itu.  Malah, kadang kala ada sahaja motosikal berkuasa tinggi lalu di hadapan gerai jualannya itu.

Klip iklan itu diteruskan dengan kejayaan Aiman mendapat tawaran ke pusat pengajian tinggi dan kali ini ‘permintaan’nya kepada si ayah tidak dihampakan lagi kerana si ayah sudah cukup dengan wang yang disimpan.  Dan di akhir klip iklan ini, Aiman pulang dengan sebuah motosikal berkuasa tinggi dengan katanya…"Ayah, motor ini, ayah yang punya..!”

Bersambung le pulak…!

Jumaat, 7 Januari 2011

Hukum Penarikan

Salam penuh kecemerlangan kepada semua…

magnet Gambar daripada internet

Hukum Penarikan atau dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai Law of Attraction (LOA) merupakan salah satu hukum dalam alam semesta ini.  Sama seperti hukum graviti, setiap hukum alam tidak dapat disangkalkan lagi.  Contoh, hukum graviti menyatakan setiap objek, tidak kita berapa berat jisimnya, pasti akan tertarik semula ke bumi.  Ini adalah kerana, graviti dalam bumi mempunyai hukumnya tersendiri iaitu menarik apa sahaja yang ada dalam medannya untuk mendekatinya.  Hukum ini telah kita fahami sejak dahulu dan tiada siapa dapat menyangkalkan hingga kini.

Seperti hukum graviti, LOA juga adalah satu hukum alam.  Namun, bukan semua orang terdedah dengan maklumat hukum ini menyebabkan ia sedikit asing kepada kita.  LOA merupakan kesinambungan kepada hukum kuasa minda dalam diri manusia.  Jika hukum graviti bermula dari tarikan graviti daripada bumi, maka LOA pula adalah tarikan daripada kuasa minda manusia…!

Adakah manusia mampu untuk menarik sesuatu mendekatinya?  Jawapannya adalah; YA.  Malah sekarang ini juga, kita sedang menarik sesuatu mendekati kita.  Siri catatan ini akan berlangsung selanjutnya dengan memberi penerangan berkenaan dengan LOA…

Khamis, 15 Julai 2010

Kuasa Soalan dalam Hukum Tarikan

'Kenapalah aku ni bodoh sangat?'
'Kenapalah aku terjumpa dengan Mamat ni...?'
'Kenapalah aku ni tak kaya-kaya..?'
'Kenapalah subjek ni susah sangat..?'

Pernahkah anda mendengar soalan-soalan keluhan seperti ini daripada sesiapa di kalangan anda? Atau adakah soalan-soalan ini anda sendiri yang mengeluarkannya? Apa yang anda rasakan apabila mengeluarkan soalan-soalan seperti ini?

Apabila anda mengeluarkan soalan, anda akan menarik jawapan. Itulah sebahagian daripada hukum tarikan @ Law of Attraction (LOA). Pada ketika ini, apa sahaja yang anda fikirkan, minda anda akan menariknya, tidak kira sama ada ia betul atau tidak, dan tidak kira sama ada ia positif atau tidak.

Jika anda menyoal diri anda dengan soalan yang berkualiti, maka jawapan berkualitilah yang akan anda perolehi. Jika soalan menyakitkan hati yang anda soalkan, maka jawapan menyakitkan hatilah yang akan anda perolehi. Itulah hukum alam yang sangat simple dan mampu menarik apa sahaja yang kita fikirkan.

Cubalah mengubah persoalan dalam diri kita dengan soalan yang lebih 'berwibawa' untuk membina diri dan keyakinan yang berwibawa juga. Jika kita ingin memiliki sebuah rumah mewah, jangan biarkan persoalan dalam kepala kita berbunyi seperti ini; "mampu tak aku memperolehi rumah seperti ini..?" Cuba tukarkan persoalan itu dengan; "Bagaimanakah caranya untuk aku memiliki rumah ini..?"

Cubalah bandingkan persoalan antara keduanya.
Soalan pertam yang dikeluarkan telah menunjukkan kita bersoal tentang mampu atau tidak. Maka jawapan yang ditarik (berdasarkan LOA) pasti sahaja sama ada kita mampu atau tidak. Namun yang pasti jika kita mengeluarkan soalan mampu atau tidak ini pastilah kita ini tidak mampu, jika kita mampu sudah pasti kita tidak bersoal tentang kemampuan itu. Keadaan ini pasti akan membantukan usaha untuk mendapatkan rumah tersebut kerana sedari awal lagi kita sudah bersoal tentang kemampuan untuk mendapatkannya.

Berbanding dengan soalan yang kedua, kita menyoal tentang bagaimana cara untuk memastikan kita memiliki rumah tersebut. Keadaan ini menunjukkan beberapa situasi. Situasi yang pertama adalah kita telahpun merasa yakin dalam diri tentang kita memang mahukan rumah tersebut. Lantaran itu, kita ingin memilikinya dan bersoal tentang cara untuk memilikinya. Maka pada ketika ini LOA sudah mula bekerja atas kerana keyakinan kita menyatakan tentang keinginan untuk memiliki rumah tersebut. Situasi yang kedua, soalan yang kita ajukan adalah berbentuk permintaan positif iaitu cara untuk memiliki rumah tersebut. Maka jawapan-jawapan yang ditarik (berdasarkan LOA) adalah jawapan-jawapan yang akan memungkinkan kita memiliki rumah tersebut. Keadaan ini sebenarnya telah menarik gelombang dan hukum tarikan terhadap keinginan dan kehendak yang kita pancarkan.

Cubalah kita fikirkan kembali kenyataan yang diberikan di atas ini.
Bandingkan cara kita bersoal dengan diri kita selama ini dan lihatlah kepada kehidupan kita kesan daripada soalan yang kita pancarkan...

Isnin, 24 Mei 2010

Visualisasi (3)

Tips 3
Bina Vision Board

Jika kita berasa agak sukar untuk melakukan visualisasi secara terus, maka kita boleh membina vision board untuk menarik perhatian minda kita kepada perkara-perkara yang ingin divisualisasikan. Kaedah ini sangat berkesan kerana lama kelamaan, minda akan terarah kepada perkara yang selalu 'disuapkan' kepadanya dan menjadi satu perkara yang kukuh baginya.

Vision board ialah papan visi yang memaparkan apakah kehendak dan keingainan kita. Pada kebiasaannya, vision board ini dilakukan pada sekeping poster yang sederhana besarnya dan diletakkan pada tempat yang paling mudah untuk kita lihat. Namun, ada juga yang melakukan vision boardnya pada background komputer peribadinya. Terpulang kepada kita tentang bagaimana dan di mana vision board ini ingin diletakkan. Apa yang pasti ia akan mampu untuk mendidik kita melakukan visualisasi dengan lebih baik.

Caranya, ambil sekeping poster yang sederhana besar. Lekatkan poster itu dengan gambar-gambar menarik yang kita impikan seperti rumah banglo, kereta Honda terbaru, wang berjuta, itu...ini...
Pastikan gambar yang diletakkan itu adalah benar-benar yang kita impikan. Pastikan juga gambar yang dilekat itu mampu memberi rangsangan yang menarik kepada kita. Contohnya gambar kereta yang dilekatkan itu haruslah gambar kereta yang cantik, menarik, masih baru, bukannya gambar kereta yang sudah buruk, kusam warna gambarnya...

Apabila sudah siap vision board itu haruslah dilekatkan di suatu sudut yang selalu dapat kita perhatikannya. Contohnya di depan cermin muka di rumah kita. Hari-hari kita akan mengadap cermin muka itu, bukan? Maka setiap hari jugalah kita akan dapat menatap vision board kita itu. Keadaan ini akan merangsang minda kita berkenaan gambar-gambar yang dilihat. Rangsangan itu akan memberi isyarat kepada minda bahawa perkara-perkara itulah yang kita impikan. Maka, minda akan melaksanakan tugasnya untuk menuju ke arah tercapainya setiap perkara itu. Semakin kerap kita menatap vision board kita, semakin kuatlah semangat dan kuasa minda bekerja. Oleh itu sentiasalah menatapnya, impikannya, dan rasai emosinya apabila setiap kali kita menatap vision board tersebut...

Sabtu, 22 Mei 2010

Visualisasi (2)

Tips 2
Bervisualisasi ketika berada dalam keadaan tenang

Bervisualisasi adalah cara untuk anda berkomunikasi dengan minda anda. Oleh itu, untuk berkomunakasi dengan baik dan berjaya, anda dan minda anda perlu berada dalam keadaan yang sangat tenang. Pada kebiasaannya, anda disarankan untuk melakukan sedikit ritual meditasi untuk meringankan gelombang minda anda (agar lebih tenang) Anda juga boleh mendapatkan ketenangan itu dengan mendengar alunan muzik klasik, atau muzik meditasi yang boleh didapati di pasaran. Pada ketika ini juga, rentak pernafasan juga harus teratur, tidak terlalu pantas dan tidak terlalu perlahan, untuk memastikan badan dan minda benar-benar berada dalam keadaan tenang.

Cara yang biasanya saya lakukan adalah dengan melakukan zikir. Berzikir adalah salah satu cara untuk menenangkan badan dan minda, serta merendahkan gelombang getaran minda. Melalui berzikir, kita akan melakukan sebutan yang berulang-ulang. Ini merupakan salah satu kaedah untuk merendahkan gelombang getaran minda. Selain itu, alunan zikir yang didengar dalam diri kita sendiri itu boleh menjadi 'muzik' yang dapat menenangkan minda. Zikir juga dapat mengatur alunan nafas yang teratur, jika dilakukan secara berkala dan telah dibiasakan. Namun, pastikan berzikir secara perlahan, dan mengamalkan alunan zikir yang tenang dan mudah disebut. Ini untuk memastikan kita dapat lebih fokus kepada penyebutan dan alunannya.

Kenapa kita perlu berada dalam keadaan tenang sebelum bervisualisasi?
Ini adalah kerana, gelombang getaran minda yang tenang akan dapat mengalirkan gelombang keinginan kita itu ke alam semesta dengan lebih berkesan. Pada kebiasaannya, tahap alpha dan theta adalah tahap getaran gelombang yang terbaik dan berkesan untuk melaksanakan tugasnya itu

Jumaat, 21 Mei 2010

Kuasa Visualisasi

Setelah memahami tentang hukum tarikan atau Law of Attraction (LOA), kita akan dapat mengetahui bahawa setiap yang difikirkan, dikatakan, dan digambarkan dalam minda adalah isyarat jelas ke alam semesta. Isyarat ini adalah seperti gelombang radio yang terpancar tanpa dapat kita lihat dengan gambaran mata kasar. Isyarat ini, sama seperti gelombang yang lain yang akan menarik gelombang yang sama untuk mendekati gelombang yang dipancarkan tadi. Itulah hukum alam...

Visualisasi adalah kehebatan yang dimiliki oleh setiap manusia. Setiap daripada kita mampu untuk bervisualisasi. Dalam erti kata yang lain, kita mampu membayangkan sesuatu dalam fikiran kita. Keadaan ini samalah seperti angan-angan. Seperti cerita Mat Jenin dengan angan-angannya yang pernah diutarakan sebelum ini. Memang perkara ini; membina imaginasi dan gambaran mental, adalah keupayaan setiap manusia. Kadang kala kita membayangkan kesenangan seperti kejayaan memiliki sesuatu, dan kadang kala kita membayangkan kesusahan seperti kemalangan yang mungkin menimpa, dan sebagainya. Kenapa kita membayangkan keadaan-keadaan itu adalah berpunca daripada sebab-sebab yang kita sendiri tentukan.


Apa yang penting adalah, keyakinan kita bahawa gambaran mental atau visualisasi ini pasti akan berlaku kerana hukum tarikan akan berlaku kesan daripada gelombang visualisasi yang kita pancarkan. Oleh itu, sentiasalah berwaspada dengan visualisasi yang kita lakukan. Pastikan kita sentiasa membayangkan gambaran yang memberi kesenangan kepada kita dan bukannya gambaran kesusahan, kerana ia benar-benar akan berlaku.


Tip 1

Visualisasikan apa yang anda impikan dua kali sehari.

Sebelum tidur, dan selepas bangun dari tidur, adalah masa yang sangat sesuai untuk anda melakukan visualisasi. Sebenarnya tiada had masa yang terbaik yang perlu anda ikuti untuk melakukan visualisasi. Namun, keadaan sebelum tidur, dan selepas bangun dari tidur adalah masa yang menunjukkan anda berada dalam keadaan yang sangat tenang. Ketenangan dan kedamaian fikiran pada ketika ini adalah situasi yang sangat ampuh untuk anda memancarkan gelombang keinginan anda.


Berapa panjang dan lama masa anda bervisualisasi juga bukan menjadi faktor kejayaan keinginan anda berlaku. Sebaliknya, kualiti visualisasi anda itulah yang menjadi penyebab untuk sesuatu impian itu terhasil. Dalam erti kata yang lain, jika anda bervisualisasi tentang kejayaan diri selama 5 minit sebelum dan sesudah bangun dari tidur, dilakukan pada setiap hari, adalah lebih baik dan sempurna jika dibandingkan anda melakukan visualisasi selama 30 minit tetapi hanya dilakukan sebulan sekali.


Apa yang lebih penting adalah, visualisasi yang dilakukan itu haruslah sama dan sepadan pada setiap hari. Jika anda membayangkan akan memiliki sebuah kereta Honda keluaran terkini di pasaran pada hari pertama, maka teruskanlah memvisualkannya pada setiap hari dan tidak mengubahnya kepada jenis-jenis kereta yang lain. Jika anda menukar-nukarkan gambaran mental anda, maka memang sukar untuk kuasa minda separa sedar anda mengetahui perkara yang manakah yang sebenarnya anda impikan. Keadaan kekeliruan ini akan menyebabkan keinginan ini tidak kesampaian, malah hukum LOA juga tidak dapat bekerja dengan jayanya.

Khamis, 20 Mei 2010

Gambaran mental untuk lebih baik

Telah dinyatakan dahulu bahawa hukum tarikan (LOA) akan sentiasa datang kepada kita kerana apa yang kita fikirkan, dan katakan, telah menarik getaran yang sama untuk mendekati diri kita. Justeru, sering diingat agar kita sentiasa menjaga kata-kata dan cara bagaimana kita berfikir, untuk memastikan kita sentiasa mengaktifkan LOA ke arah sesuatu yang baik dan memberi keuntungan kepada kita.

Sering kali kita mendengar ungkapan; 'susah le nak buat...!'
Ungkapan ini dan ungkapan-ungkapan lain yang senada dengannya adalah suatu kata-kata dan getaran rasa yang menarik LOA. Jika susah yang kita fikir dan katakan, maka pasti sesuatu itu benar-benar menjadi susah kepada kita, malah ada pelbagai kesusahan dan kesukaran lain lagi yang akan menghampiri kita akibat LOA tadi.

Jadi, sentiasalah bertenang dan fikirkan yang terbaik untuk kita.
Minda separa sedar peka kepada visual atau gambaran mental. Ia akan merakam apa sahaja yang anda lihat atau gambarkan dalam fikiran. Oleh itu, sentiasalah berfikiran dan menggambarkan kejayaan dan kemenangan, kerana gambaran mental ini akan membantu mengaktifkan LOA dengan lebih berkesan.

Jika anda seorang penuntut di universiti, cuba sentiasa gambarkan suasana kemeriahan semasa menerima ijarah di atas pentas dewan yang gah. Gambarkan dengan jelas betapa ramainya hadirin membanjiri dewan tersebut, dengan bunyi-bunyian gamelan sebagai pembuka majlis, tepukan penonton dan sanak saudara yang hadir, jelas kedengaran apabila anda naik ke pentas untuk menerima segulung ijazah. Gambarkan gambaran mental ini dengan hati yang penuh berbunga. Rasakan emosi dan getarannya. Segala yang anda bayangkan pasti akan terhasil, tanpa anda percaya, bagaimana ianya boleh terjadi...
Itulah yang dinamakan kuasa minda, yang menggunakan LOA untuk menarik hukum alam ini untuk menjadi sebahagian daripada kita. Segala-galanya benar, dan ingatlah bahawa kuasa minda inilah anugerah ALLAH yang sangat tinggi nilainya kepada manusia sehingga membezakan antara manusia dengan makhlukNya yang lain.

Oleh itu, sentiasalah menggunakan nikmat ini sebaik mungkin.
Jangan siakan kuasa minda yang ALLAH kurniakan ini dengan memikirkan perkara-perkara yang negatif, yang akhirnya akan memberi kesan buruk kepada kita jua. Fikirkan tentang kejayaan dan kecemerlangan. Pasti ia akan berjaya dilaksanakan dengan mudah dan sempurna.

Selasa, 18 Mei 2010

Emosi dari hati yang tenang

Bagaimana dengan emosi anda hari ini?
OK? Stabil? Atau biasa-biasa sahaja?

Emosi adalah getaran perasaan yang sangat penting untuk dikawal. Cara bagaimana untuk mengawal emosi adalah bergantung kepada individu masing-masing. Namun, emosi itu memang sangat penting kerana ia mempengaruhi LOA.

Jika anda sedang menghadapi masalah dan anda melayan perasaan anda dalam masalah itu, maka sesungguhnya pada ketika itu anda telah mengaktifkan penarikan-penarikan kepada masalah-masalah yang lain menghampiri anda. Melayan perasaan dalam masalah itu sebenarnya adalah berpunca dari kita tidak mampu untuk mengawal emosi. Memang, apabila kita bermasalah, kita akan sedikit beremosi. Namun cubalah kawal ia agar diri kita tidak terlalu terikut-ikut dengan getaran emosi itu sehingga mengaktifkan pula LOA kepada masalah lain.

Bagaimanakah cara untuk mengawal emosi?
Mengawal emosi dapat dilaksanakan apabila kita berjaya mengawal hati. Hati manusia adalah suatu organ yang sangat memainkan peranan dalam membentuk perasaan dan tingkah laku. Jika baik hati itu maka baiklah diri kita. Begitu juga sebaliknya. Dan hati itu mestilah sentiasa dididik untuk membentuknya menjadi hati yang baik.
Cara mendidik hati adalah dengan sentiasa berzikir. Zikir akan melapangkan fikiran dan menenangkan hati. Hati yang tenang akan mudah dikawal getaran emosinya. Selain berzikir, ada juga yang melakukan sesi meditasi (bertafakur). Kaedah meditasi ini mungkin memerlukan beberapa kaedah pelaksanaan untuk kita menguasainya. Namun apabila berjaya menguasainya, maka kita akan dapat mengawal hati dengan baik.

Isnin, 17 Mei 2010

Law of Attraction

Pernahkah anda mendengar tentang Law of Attraction (LOA)?
LOA adalah hukum penarikan. Hukum ini adalah sebahagian daripada kuasa minda yang terdapat pada setiap daripada kita.

Apakah perbezaan antara LOA dengan kuasa minda?
Sebenarnya tiada perbezaan antara keduanya. Kuasa minda separa sedar adalah lebih umum manakala LOA adalah lebih khusus. LOA adalah frasa yang lebih moden digunakan pada masa kini bagi frasa kuasa minda.

Untuk memanfaatkan LOA, kita perlu menguasai kemahiran membina dan membangunkan visualisasi. Kita perlu mengawal apa sahaja cabang dan gambaran dalam fikiran kita. Ini adalah kerana gambaran yang terbentuk dalam minda atau apa sahaja yang kita fikirkan akan terakam dalam minda separa sedar kita, keadaan ini akan menarik dan menangkap situasi yang digambarkan itu dan mendekati kita secara sedar ataupun tidak.

Minda separa sedar kita tidak pernah tahu tentang baik atau buruknya visualisasi yang kita ciptakan itu. Apabila 'dia' terima sahaja visualisasi yang terlintas dalam pemikiran kita maka 'dia' akan terus menangkapnya dan merealisasikannya dalam kehidupan kita. Tindakan secara automatik inilah yang dinamakan LOA atau hukum penarikan. Apa sahaja yang kita fikirkan, ia akan berlaku, hanya masa yang menentukannya...

Kita boleh menjadi cemerlang dengan mudah dan berkesan jika kita bijak membina visualisasi dan memanfaatkan LOA.
Kita juga boleh menjadi sebaliknya, jika kita tidak berusaha untuk mengubah cara pemikiran kita...kerana sesungguhnya LOA akan terus bekerja tanpa henti, menarik apa sahaja yang kita fikirkan mendekati kita, kerana ia adalah HUKUM PENARIKAN yang tiada noktah.