Jumaat, 3 September 2010

Minda dan Matlamat ~ Bahagian 2

Apakah matlamat kita dalam tempoh 10 tahun dari sekarang?
Jika kita tidak pernah memikirkan tentang matlamat jangka panjang (contoh 10 tahun) maka kita masih merugikan diri kita sendiri.

Kajian telah menunjukkan, jika seseorang itu ada atau pernah memikirkan matlamat jangka panjangnya, maka sebenarnya ia telah mengaktifkan kuasa mindanya untuk mencapai matlamat tersebut. Itulah kurniaan ALLAH yang sangat hebat kepada manusia; MINDA. Lantaran itu, janganlah kita mensia-siakannya.

Cuba duduk dan bertenang.
Tarik nafas dan damaikan jiwa.
Kemudian fikirkanlah matlamat jangka panjang anda dengan rasional.
Bukan berangan kosong, bukan berkhayal cuma.
Sebaliknya fikirkan matlamat anda dengan sempurna.

Apa yang membezakan memikir matlamat dengan berangan-angan?
Bezanya adalah pada rasional dan kemampuan untuk kita memperolehinya.
Jika kita meletakkan impian untuk mendapat RM1 juta dalam tempoh 10 tahun dari sekarang, adakah ia suatu matlamat atau angan-angan? Jawapannya; ia suatu matlamat. Ini adalah kerana tidak mustahil perkara itu dapat dilakukan dengan melakukan usaha-usaha tertentu untuk mendapat dan mengumpulkan wang menjadi RM1 juta. Ia bukan angan-angan kerana telah terbukti ada orang yang mampu untuk mendapatkan RM1 juta (malah ada yang lebih dari itu).

Apabila kita meletakkan suatu matlamat, pastikan matlamat itu adalah apa yang kita benar-benar mahukan, bukan apa yang kita lihat orang lain ada dan kita mengikut dengan hati yang alpa. Tentukan apa yang benar-benar kita mahu dan perlukan dalam kehidupan. Jelaskan matlamat itu dengan tindakan untuk mendapatkannya. Dalam pada itu, kuasa minda yang ada pada kita akan turut bekerja dan melaksanakan tugasnya menarik dan mendapatkan apa yang kita impikan.

Pastikan juga matlamat itu adalah matlamat yang baik dan memberi kebaikan kepada semua. Kuasa minda yang ALLAH berikan kepada kita tidak mengenal sama ada perkara itu baik atau buruk. Ia hanya terus bekerja dan melaksanakan tugasnya dengan sempurna. Akibatnya, jika kita sentiasa memikirkan perkara yang tidak baik/negatif, maka perkara tidak baik/negatif itulah yang akan tertarik kepada kita.

* Suatu masa dahulu aku pernah memikirkan untuk menjadi seorang guru ~ kini aku benar-benar seorang guru.

** Suatu masa dahulu aku pernah mengidamkan sebuah kereta ~ kini aku benar-benar menggunakan kereta dan jenis yang aku idamkan (rugi tak idamkan kereta yang lebih best, hehehe)

*** Suatu masa dahulu aku pernah mendambakan kasih seorang gadis ~ kini dia benar-benar menjadi isteriku (alhamdulillah dah ada dua anak dah pun)

SEKARANG...?
Aku meneruskan matlamat jangka panjangku dengan memikirkannya dan melaksanakan tindakan untuk mendapatkannya. Semoga setiap usaha dan tindakan akan mendapat keberkatanNya jua.

Apa pula matlamat jangka panjang anda?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan