Salam kedamaian buat semua….
KM jarang gunakan tajuk catatan negatif seperti ini. Tetapi kali ini KM hendak gunakan kerana ada kaitan dengan apa yang hendak KM sampaikan.
Bila bercakap pasal semangat, kita akan kaitkan dengan keazaman untuk mendapatkan sesuatu. Bila cakap pula pasal azam, kita akan kaitkan dengan azam tahun baru. Memang pada setiap tahun baru, kita akan bina azam baru. Masalahnya, tercapai atau tidak azam itu setiap tahun? Kalau tercapai, berapa peratus kejayaannya? Jika tidak tercapai, pernahkah kita kaji dan nilai kembali di mana silapnya berkenaan kegagalan azam tersebut?
Memang tidak salah berazam pada setiap tahun. Namun, KM pernah tuliskan dulu bahawa azam tidak semestinya berada di awal tahun. Kerana azam di awal tahun ini kekadang hanya ‘merosakkan’ kita.
Kenapa KM katakan merosakkan kita? Kerana azam pada awal tahun ini kebanyakkan hanya ikut-ikutan sahaja. Orang berazam, maka kita pun berazam. Lebih malang lagi bila kita sebenarnya tidak pun punya azam, tetapi bila kawan-kawan tanya, maka kita terus nyatakan sesuatu kononnya itulah azam kita.
Bila kita katakan itu (azam) maka sebenarnya kita telah memprogram minda kita. Sedikit atau banyak, program itu sebenarnya memang terjadi dalam minda bawah sedar dalam diri kita. Namun, di pertengahan tahun atau kurang lagi dari itu, kita mula lupakan azam tersebut. Ini menyebabkan kita sekali lagi telah memprogram dalam minda bawah sedar bahawa kita tidak mahukannya (azam) tersebut.
Bila kita lakukan perkara yang sama pada tahun berikutnya; berazam, maka minda bawah sedar bertindak balas menyatakan bahawa perkara ini sudah diprogramkan namun GAGAL. Nah, di sinilah yang dimaksudkan dengan ‘merosakkan’ diri kita!
Secara sedar atau tidak, kita telah mencipta satu program baru dalam minda bahawa azam itu memang tidak akan tercapai kerana ia telah cuba dilaksanakan pada tahun ini namun gagal, juga perkara yang sama gagal pada tahun lepas, dan tahun sebelumnya juga kecundang begitu sahaja.
Semangat dalam diri mula hilang walaupun kita cuba mencipta semangat baru kerana program kegagalan itu sudah wujud dalam diri. Mungkin sudah bertahun-tahun perkara yang sama berlaku dan ia semakin menebal dalam minda bahawa kita memang tidak akan berjaya dalam azam tersebut.
Jadi, apa yang perlu dilakukan?
Perkara utama yang perlu dilaksanakan adalah kita perlu memprogram semula minda bawah sedar kita. Kita perlu keluarkan dahulu maklumat kegagalan itu dan masukkan semangat baru. Namun harus diingat, jangan pula kita bersikap melepaskan batuk di tangga, hingga menyebabkan kita gagal lagi. Kegagalan lagi dan lagi itu akan lebih menyukarkan lagi untuk membuang program minda berkenaan kegagalan itu pada masa mendatang.
Semangat harus kuat dan konsisten, jangan biarkan semangat itu menghilang di tengah jalan bila kita membuang program kegagalan dalam minda dan bina program baru, kelak ia akan menjadi semakin parah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan