Khamis, 2 Januari 2014

Bersyukurlah, jangan merungut….

Salam kasih sayang penuh kedamaian daripada KM buat semua….

Kerap kali kita diingatkan untuk bersyukur.  Bersyukur ada kaitannya dengan hukum tarikan dan kuasa minda.  Semakin banyak kita bersyukur, semakin banyaklah kenikmatan lain yang akan kita tarik mendekati kita.

Tetapi, sedar atau tidak kita kekadang lebih banyak merungut daripada bersyukur.  Keadaan merungut ini sebenarnya hadir kerana rasa tidak berpuas hati.  Rasa tidak berpuas hati ini merupakan keadaan negatif dalam jiwa.  Andai negatif yang kita pancarkan, maka negatif jugalah yang akan kita terima.

KM utarakan perkara ini kerana suatu kejadian yang berlaku di hadapan KM beberapa hari lalu.  Kejadian berlaku di sebuah kedai makan melibatkan sebuah keluarga kecil; suami isteri, dan seorang anak perempuan berusia lingkungan 10 tahun. 

Ketika itu KM makan tengah hari, betul-betul bersetentang meja dengan keluarga itu.  Nampak mereka makan dengan penuh kenikmatan.  ‘Tragedi’ berlaku ketika hendak membayar makanan tersebut.  Si suami yang membayar di kaunter tiba-tiba menengking dan memarahi petugas di situ.  Keadaan agak tegang kerana si suami merasakan makanan yang terpaksa dibayar agak mahal.  Pun begitu, dia tetap membayar dan keluar dari kedai itu bersama keluarga dengan penuh rasa kemarahan.

KM yang masih makan di situ hanya memerhati mereka sekeluarga masuk ke dalam kereta dan hendak berlalu pergi.  ‘Tragedi’ sekali lagi berlaku apabila ketika mengundurkan kereta, si suami yang memandu terlanggar seorang buta yang lalu di bahagian belakang kereta tersebut.  Memang si suami tersebut sempat membrek dan pelanggaran berlaku tidaklah terlalu kuat, namun ia masih tetap tragedi yang terbawa-bawa kesan daripada tragedi sebelumnya.

Memang KM akui, ramai di kalangan kita sekarang agak tertekan kerana kenaikan harga barangan.  Namun, ini bukan penghalang untuk kita berhenti merungut dan tambahkan kesyukuran.  KM sendiri berasa dengan kenaikan ini, namun KM cuba didik diri untuk tidak memikirkan tekanannya dan cuba bersyukur kerana masih ‘mampu’ untuk membeli makanan walaupun harganya agak berbeza daripada dulu.

Pernahkah kita fikirkan; kita merungut kerana hanya ada RM10 dalam dompet namun terlupa bersyukur kerana masih ada RM50 dalam akaun bank?

Pernahkah kita fikirkan; kita merungut kerana makanan tidak sedap, sedangkan terlupa untuk bersyukur kerana makanan yang tidak sedap tadi telahpun masuk semuanya ke dalam perut kita?

Pernahkah kita fikirkan; kita merungut kerana kereta kita sudah tua dan uzur, namun terlupa untuk bersyukur kerana kereta tua itu masih setia mampu berkhidmat untuk bergerak untuk kita?

KM ingatkan diri KM sendiri;

Wahai diri….bersyukurlah kerana nikmat yang ada akan lebih bermakna bila kita bersyukur.  Jauhkanlah rasa tidak puas hati dan merungut kerana ia hanya membuatkan jiwa kita makin berserabut.

Wahai diri, bersyukurlah…..

2 ulasan:

  1. Banyak ilmu berguna yg saya dapat dari blog ni..terima kasih penulis.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Semoga kita mendapat kebaikan daripada tulisan dan pandangan KM ini.

      Jika ada apa-apa kekurangan atau teguran, KM bersedia menerimanya.

      Padam