Salam kedamaian daripada KM buat semua……
Setiap orang mahukan yang terbaik dalam diri. Kita sentiasa mahukan keupayaan kewangan yang baik, keupayaan mendapat kasih sayang yang terbaik, keupayaan mendapat kehidupan yang terbaik, tetapi sayangnya….ada antara kita yang tidak mampu memiliki semua itu.
Hal ini terjadi kerana kita tidak tahu cara untuk memilikinya. Dan pada hari ini, KM akan ungkaikan 3 rahsia untuk menjadikan diri kita lebih baik dan seterusnya menuju ke landasan keupayaan memiliki semua yang kita mahukan itu.
Rahsia pertama : Berfikir dengan fikiran yang baik.
Hal ini sudah acap kali kita dengar, sentiasa berfikiran positif, sentiasa beremosi yang tenang, sentiasa damai dalam jiwa, dan banyak lagi perkara positif. Tetapi kenapa hal-hal negatif masih berlegar di sekeliling kita? Kerana salahnya ialah kita terus membiarkan perkara negatif itu hadir.
Jika pada pagi hari itu, kita penuh bersemangat dan berazam untuk berfikiran positif, tetapi di pertengahan hari ada kejadian yang negatif berlaku. Salahnya kita adalah kita terus membiarkan perkara negatif itu terus mengganggu kita. Sepatutnya, apabila ada sesuatu cabaran dan masalah yang berlaku di pertengahan hari itu, maka terus berusaha dan kembali untuk berfikiran positif semula. Jangan terbawa-bawa dengan hal-hal negatif itu dan terus berlanjutan hingga ke malam hari.
Bila ada sahaja fikiran negatif yang menyapa, terus HENTIKAN! Jangan dilayan, jangan dibawa dalam diri dan jiwa. Katakan dengan tegas dan bersemangat pada diri bahawa kita tidak mahu melayan fikiran negatif itu, dan kembali semula kepada pemikiran yang positif dan baik. Terus berusaha dan kuatkan semangat, pasti kita akan berjaya mengekalkan rasa positif dalam diri.
Rahsia kedua : Program semula minda bawah sedar.
Sedar atau tidak, kita banyak memprogram ketidakupayaan kita dalam minda bawah sedar kita sejak kecil. Contohnya kita ini tidak pandai, kita tidak cantik, suruh buat tu susah, suruh buat ni susah…. Semua itu menunjukkan yang kita telah memprogram dalam minda bawah sedar kita bahawa kita ini sentiasa tidak mampu.
Cuba program semula semua maklumat itu dengan maklumat baru yang lebih baik, yang lebih menjurus kepada kejayaan dan keupayaan. Suatu masa dahulu, ada sebuah lagu yang sangat baik untuk memprogram minda bawah sedar; Katakan boleh. Liriknya menjelaskan bahawa jika kita fikirkan yang kita boleh, maka pasti kita mampu untuk melakukannya. Perkara-perkara seperti inilah yang sebenarnya kita perlu lakukan untuk memprogram semula minda kita. Sentiasa ucap dan katakan kepada diri (affirmasi) sesuatu perkara yang kita mahukan.
Ada rakan KM katakan, bila buat affirmasi ni macam bercakap sorang-sorang. Memang konsep pernyataan diri atau affirmasi ni untuk bercakap dengan diri sendiri sahaja, jangan biar orang lain tahu apa yang kita katakan (programkan) untuk diri kita. Kerana dikhuatiri kita akan diejek dan diperlekehkan, dan akhirnya kita akan jatuh semangat semula.
Programkan kembali minda bawah sedar kita setiap hari, jika kita takutkan kegelapan, ucapkan bahawa kita berani dan bersedia menghadapi kegelapan kerana kegelapan itu tidak menjejaskan apa-apa kepada kita. Jika kita takutkan ketinggian, katakan kita bersedia menghadapi ketinggian dan yakin dengan diri sendiri…
Rahsia ketiga : Biarkan masa lalu pergi dan bersedia hadapi masa depan.
Jika suatu masa dulu, kita pernah gagal dalam sesuatu pekerjaan yang dilakukan, LEPASKANLAH ia berlalu pergi. Jangan difikirkan kegagalan dan kekalahan lalu. Sebaliknya tumpukan perhatian, perancangan, dan tindakan untuk menghadapi masa hadapan.
Masa lalu yang memberi kenangan perit buat kita boleh kita kenang sebagai satu bentuk refleksi sahaja, jangan dikenang untuk melemahkan semangat. Kata orang, yang baik jadikan tauladan, yang jahat jadikan sempadan. Maksudnya, kegagalan lalu cukup difikirkan untuk jadi sempadan supaya kita tidak melakukan kesalahan yang sama hingga menyebabkan kegagalan itu terjadi.
Terus fokus kepada masa hadapan yang sedang kita rancang untuk menempa kejayaan itu. Ini lebih baik daripada kita asyik memikir dan meratap tentang kesilapan lalu. Yang lalu biarkan berlalu dan jadikan sempadan. Yang hadapan teruskan berlari dan mengejar untuk kita capai dan rangkulkan ia menjadi milik kita.
Inilah sebahagian cara yang boleh kita lakukan untuk menjadikan diri kita lebih baik, dan menjurus kepada kejayaan untuk kita mencapai setiap yang kita mahukan. Jika kita terus berusaha dan bersedia menghadapi cabaran dengan bersemangat, pasti kita akan berjaya membentuk diri kita ‘yang baru’ yang lebih bersemangat dan berjaya…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan